Halaman

04 November 2013

Pulau peranginan mula ditutup pada November

Kerajaan negeri menjangkakan segala aktiviti pelancongan di pulau peranginan di Terengganu akan mula ditutup selewat-lewatnya November depan atau bergantung pada keadaan cuaca berikutan musim tengkujuh di Pantai Timur akan bermula.

 Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee berkata, pada kebiasaannya operasi di pulau ditutup selama empat bulan mulai pertengahan Oktober.
Katanya, perjumpaan bersama pengusaha chalet, resort dan bot akan diadakan dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara itu.

 “Walaupun arahan belum dikeluarkan, tetapi mereka (pengusaha) telah mula membuat persediaan kerana setiap tahun musim tengkujuh akan bermula pada akhir Oktober hingga awal Januari atau Februari depan.

“Namun sebahagian telah mula menutup operasi dan hanya menerima tempahan tertentu atau dalam kuantiti yang sedikit sahaja," katanya.

Dato’ Mohd Jidin, berkata segala aktiviti pelancongan akan ditangguhkan dan dalam tempoh itu pengusaha chalet dan resort melakukan kerja pengubahsuaian tempat penginapan.

“Pelancong juga sedia maklum keadaan cuaca pada musim tengkujuh di negeri ini, namun dijangkakan kehadiran pelancong tetap bertambah kerana mereka juga mempunyai alternatif lain untuk melawat negeri ini.
“Di Terengganu, pelancong boleh memilih untuk ke tempat menarik lain seperti Tasik Kenyir yang dibuka setiap masa,”

. Sebelum ini, kerajaan negeri menyasarkan pengunjung ke Tasik Kenyir meningkat 20 peratus kepada 450,000 orang sepanjang 2013 berbanding 397,005 pada tahun lalu.

 Malah mengikut statistik, kehadiran pelancong ke negeri ini semakin bertambah dari tahun ke tahun, iaitu pada 2011, jumlah pelancong yang mengunjungi Terengganu ialah 3.17 juta berbanding 2010, hanya 2.82 juta.

 Manakala, pada 2012 meningkat kepada 3.38 juta dan sehingga Jun 2013, kehadiran pelancong yang direkodkan adalah 1,862,849 juta pelancong.