Halaman

13 November 2013

TH Terengganu agih RM121 ribu zakat pendidikan kepada 242 pelajar

Oleh: Noraini Jusoh

Lembaga Tabung Haji (TH) Terengganu mengagihkan sebanyak RM121 ribu kepada 242 pelajar untuk zakat pendidikan melalui projek iqra' tahun ini.

Timbalan Pengarah TH Terengganu, Azillah Itam berkata, projek iqra' itu merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mensasarkan pelajar yang kurang bernasib baik dan tidak berkemampuan.

"Program ini merupakan kali kedua diadakan oleh TH yang mana para pelajar telah dipilih oleh Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan seperti pelajar yang tidak berkemampuan dan tergolong dalam kategori asnaf fakir dan miskin, dan turut melihat kepada pencapaian akademik pelajar.

"Setiap pelajar yang layak, menerima sumbangan berjumlah RM500 yang mana RM200 merupakan peralatan sekolah dan RM300 berupa wang tunai untuk perbelanjaan sekolah," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena majlis penyampaian sumbangan projek iqra TH 2013 peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Azillah berkata, melalui projek iqra' ini juga sebanyak RM 1.4 juta diagihkan TH untuk 2,958 pelajar di seluruh negara tahun ini.

Selain projek iqra', TH juga turut melaksanakan beberapa program CSR yang lain antaranya projek ihsan yang menumpukan golongan asnaf warga emas, fakir miskin serta ibu tunggal serta projek aflat yang merupakan bantuan kesihatan kepada pesakit-pesakit kronik di seluruh negara serta projek baiti yang mana wang zakat diperuntukkan untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin.