Halaman

30 November 2013

UniSZA anjur ISLAC 2013

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Seminar Antarabangsa Perundangan Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (ISLAC 2013) selama dua hari bermula Sabtu ini.

 Setiausaha seminar, Syed Mohd Azmi Syed Abdul Rahman berkata seminar kali kedua ini merupakan kesinambungan Seminar Kebangsaan Perundangan Islam Dalam Kontemporari pada 2011 bertujuan mewujudkan perkongsian pintar dalam kalangan ahli akademik daripada pelbagai peringkat.

 Katanya seminar bertemakan 'Perundangan Islam ke arah Keharmonian Sejagat' ini akan membincangkan 11 isu semasa berkaitan perundangan Islam, antaranya konflik perundangan, kekeluargaan Islam, kewangan dan perbankan Islam serta Islam dan hak asasi manusia.

"Sebanyak 121 kertas kerja akan dibentangkan dalam tiga siri pembentangan berbeza dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 20 kertas kerja akan dibentangkan oleh pembentang dari luar negara," katanya.

Syed Mohd Azmi berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 100 wakil agensi kerajaan dan swasta serta mahasiswa dari institusi pengajian tinggi tempatan.

 "Seminar ini juga diharapkan dapat meningkatkan kefahaman masyarakat umum mengenai perundangan Islam serta dapat dijadikan sebagai platform untuk menyerlahkan keunggulan Islam dengan usaha yang menyeluruh daripada kalangan ahli akademik," katanya.