Halaman

26 December 2013

200 peserta meriahkan pertandingan memancing Kampung Bukit Rhu Rendang

Oleh : Amirullah Othman

Seramai 200 peserta di kalangan warga setempat menyertai Program Pertandingan Memancing Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Rhu Rendang, Marang, kelmarin.

Senator Dato’ Abdul Rahman Bakar merangkap Ketua Penerangan Umno Perhubungan Negeri merasmikan program tahunan itu.

Dalam ucapan perasmian, beliau berharap program itu dapat mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat, di samping sentiasa mencari inisiatif menganjurkan pelbagai program yang mampu memberi manfaat kepada seluruh penduduk kampung.

“Tanpa semangat dan sikap tolong menolong di kalangan semua pihak sudah tentu program memancing pada hari ini tidak akan berjaya.

 “Semangat itu juga diperlukan dalam setiap gerak kerja dan kehidupan seharian kita supaya kita tidak dilihat sebagai masyarakt yang malas, hanya berharap kepada subsidi kerajaan semata-mata, sebaliknya kita perlu mengguna dan mencari peluang yang disediakan untuk meningkat taraf hidup,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi JKKK Kampung Bukit Rhu Rendang, Encik Wan Kamaludin Wan Chik; semua jawatankuasa dan Kelab Rukun Tetangga Serta Persatuan Belia kampung berkenaan.

Kampung Bukit Rhu Rendang terletak di antara Rhu Rendang dan Bukit Kor mempunyai tiga Taman Perumahan dengan kepadatan kira-kira 2,000 penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada kakitangan kerajaan.