Halaman

10 December 2013

Bajet 2014 utamakan sektor pendidikan

Oleh: Aida Abd Rahman, Noraini Jusoh, Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainuddin (pelatih)

Sektor pendidikan terus menjadi keutamaan kepada kerajaan negeri selaras dengan gagasan Terengganu sebagai sebuah Negeri Anjung Ilmu dan sebagai tempat rujukan kepada negeri lain.

Sehubungan itu, kerajaan negeri merancang pelbagai program pada tahun depan bagi melahirkan modal insan yang cemerlang sama ada menerusi pembangunan fizikal mahupun rohani.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata modal insan berkualiti adalah antara faktor penting dalam mencapai matlamat untuk menjadi negeri maju. “Dalam persekitaran dunia hari ini, anak-anak dan generasi kita didedah secara langsung dengan persekitaran global dengan kehadiran internet yang menjadikan dunia ini tanpa sempadan.

“Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia menaruh harapan terhadap tiga elemen iaitu, pertama, membangunkan modal insan dengan ciri-ciri individu dan masyarakt bangsa Malaysia yang maju; kedua, memastikan akses, ekuiti dan kualiti yang menjadi tunjang agenda pendidikan dapat diteruskan serta ketiga, merintis dan menerajui perubahan demi melonjakkan sistem dan institusi pendidikan ke tahap dunia pada 2020,” katanya  ketika membentangan Bajet 2014, di Persidangan DUN, di Wisma Darul Iman, semalam.

Justeru itu, Menteri Besar mencadangkan peruntukan pembangunan sebanyak RM59.19 juta bagi projek-projek pembangunan di bawah sektor itu bagi memastikan aspek kualiti pendidikan dan latihan terus diberi penekanan.

Katanya, kerajaan tidak pernah jemu dan akan terus melaksanakan pelbagai program ke arah kecemerlangan pendidikan rakyat.

“Malah, kejayaan demi kejayaan dalam program pendidikan daripada peringkat kanak-kanak hingga ke peringkat universiti telah menjadi sebutan dan sebahagiannya menjadi contoh kepada negeri lain.

“Bagi meneruskan kecemerlangan ini Kerajaan akan terus menyediakan peruntukan yang secukupnya untuk program-program flagship pendidikan daripada peringkat pra sekolah hingga ke peringkat universiti,” katanya.

Menurutnya, peningkatan dari segi bilangan kanak-kanak yang berjaya khatam Al-Quran dari setahun ke setahun amat memberangsangkan.

Selain itu, kira-kira 70,000 pelajar sekolah rendah di negeri ini sedang mengikuti kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) sebagai langkah mendidik mereka mendalami ilmu al-Quran dan perkara asas berkaitan fardhu ain.

Pelajar yang berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang mengikuti program ini akan dibimbing mengikut modul yang telah ditetapkan supaya mampu menguasai al-Quran dan memahami serta mengamal perkara asas fardhu ain.

Dato' Seri Haji Ahmad berkata, seramai 24,330 pelajar kelas KAFA dari tahun dua hingga tahun enam seluruh Terengganu berjaya khatam al-Quran pada tahun ini, berbanding seramai 21,610 orang pelajar KAFA pada 2012.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan semua pelajar sekolah di negeri ini akan khatam al-Quran sebelum melangkah ke Tingkatan Satu.

Selain itu,  kerajaan juga melahirkan rasa bangga di atas pencapaian pelajar-pelajar kelas KAFA yang mampu membawa negeri terbaik lima tahun berturut-turut.

“Oleh itu, peruntukan sebanyak RM3.5 juta disediakan bagi memperkasakan Program Pintar Quran dan KAFA pada 2014.

“Menyingkap kembali program e-Book, semenjak tahun 2009 Kerajaan Negeri telah mengagihkan sebanyak 117,112 unit e-Book kepada pelajar sekolah disusuli pula dengan projek Kelas Maya atau Virtual Class.

Projek Kelas Maya yang telah dimulakan di SK Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir, SK Telok Kalung dan SK Marang kini telah bertambah sebanyak 124 buah di seluruh Terengganu dan 81 buah lagi kelas dalam proses dinaiktaraf kepada Kelas Maya yang melibatkan 74 buah sekolah.

Menteri Besar berkata, sekolah yang dilengkapi dengan Kelas Maya di negeri ini telah menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dalam peperiksaan UPSR 2013.

Oleh itu, bagi menambahkan lagi sekolah-sekolah yang mempunyai Kelas Maya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta pada tahun depan.

“Dengan langkah-langkah dan usaha-usaha ke arah menjayakan cara dan amalan pendidikan masa kini serta keberkesanan penggunaan e-Book, hasilnya Negeri Terengganu terus cemerlang dalam keputusan UPSR untuk 2013 dengan 3,039 orang murid memperolehi 5A iaitu peningkatan 14 peratus berbanding dengan 13.22 peratus pada tahun lalu.