Halaman

11 December 2013

SIDANG DUN: HOSPITAL DUNGUN MEI 2017

Laporan: Ruslan Abdul Rahman

Hospital Daerah Dungun yang baru akan mula dibina mulai awal tahun hadapan dan dijangka boleh siap pada Mei 2017, demikian diberitahu oleh Adun Jerteh,
 YB Haji Mohd Pehimi Yusof selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri.
 Dengan itu katanya, masyarakat di daerah Dungun usahlah khuatir dengan kemudahan yang bakal mereka nikmati nanti, katanya sewaktu berucap pada sessi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (Bajet) petang ini (11 Disember).
Beliau yang baru sahaja dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri menggantikan Allahyarham Dr. Haji A Rahman Mokhtar turut meminta ahli dewan sedekahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham sebelum beliau meneruskan ucapan.
 YB Haji Pehimi juga memberitahu bahawa Tabung Pesakit Kronik akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta setahun bagi membantu mengurangkan bebanan golongan yang tidak berkemampuan di negeri ini.  Pada tahun ini, katanya seramai 1,004 orang pesakit telah diberi bantuan tersebut, manakala pada tahun 2012 ialah seramai 990 pesakit dibantu melalui tabung itu.
 Dalam ucapan sulungnya di Dewan Undangan Negeri sebagai Exco Kerajaan, beliau juga memberitahu sebuah pejabat baru Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Daerah Hulu Terengganu akan dibina dengan peruntukan RM1 juta.
 “Kita merancang untuk membina di kesemua deerah bangunan pejabat pentadbiran YPK kerana masyarakat banyak mendapat manfaat dari khidmat agensi ini berkaitan kesejahteraan keluarga dan kehidupan,” katanya kepada dewan.
  Menyentuh tentang kejadian banjir, beliau menjelaskan pihak kerajaan sememangnya telah membuat persiapan bagi menghadapinya, tetapi kejadian banjir besar, khususnya di Kemaman adalah di luar jangkaan.  Biarpun timbul bermacam-macam perkara suka-duka, ada yang memuji , ada yang mengeji, ada yang bersetuju dan tidak setuju, ada yang puas hati dan ada juga yang tidak puas hati, tetapi yang pasti pihak kerajaan dan agensi-agensinya dengan bantuan semua pihak telah melakukan yang terbaik dan sedaya upaya untuk membantu mangsa-mangsa banjir dengan pelbagai pendekatan dan kemudahan.