Halaman

15 December 2013

Jabatan Alam Sekitar lancar Pasukan Pemantau Pencemaran (3P)




Oleh: Mohammad Ishak

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melangkah era baru dalam usaha mengubah pendekatan bagi melaksanakan penguatkuasaan dengan melancarkan program Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) di setiap kawasan parlimen negeri ini.

Anggota 3P yang dilantik di setiap kawasan terbabit akan bertindak sebagai “mata dan telinga” kepada jabatan itu untuk melaporkan maklumat berhubung kes pencemaran atau kerosakan alam sekitar di kawasan masing-masing.

Majlis pelancaran 3P peringkat Parlimen Besut diadakan di Kampus Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA), Tembila, Besut dan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Terengganu, Roshadah Hashim dan pengurusan kananan UNISZA.

Pada majlis itu seramai 110 peserta mewakili pelajar dan kakitangan Universiti berkenaan mendaftar diri sebagai anggota pasukan 3P. Tengku Zaihan ketika merasmikan pelancaran itu memuji usaha yang dilakukan oleh JAS Terengganu kerana menubuhkan sukarelawan sendiri bagi memantau aktiviti pemusnahan alam sekitar dengan membabitkan pelajar dan komuniti.

Katanya, dengan adanya pasukan itu diharap dapat membantu JAS bertindak menyelamatkan khazanah negeri jika ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba memusnahkan alam sekitar.













“Penubuhan pasukan itu juga dapat meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar dikalangan masyarakat melalui pelbagai aktiviti kesedaran bagi menggalakkan masyarakat yang prihatin terhadap sumber alam,” katanya.