Halaman

23 December 2013

Lahirkan modal insan seimbang-YB Ghazali

Oleh: Noraini Jusoh



Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal mampu melahirkan modal insan yang seimbang dari segi rohani dan jasmani termasuk ilmu duniawi dan ukhrawi khususnya bagi merintis generasi muda meminati amalan hafazan al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi & Tugas-tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib berkata, program anjuran TTI Management Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sepanjang sebulan bermula 23 November lalu mengandungi pelbagai program kerohanian terutamanya ilmu fardu ain.

“Melalui program ini, anak-anak diajar tentang sistem kehidupan sebagai seorang muslim secara holistik. Termasuk cara pengurusan jenazah, solat, penghayatan al-Quran dan agama.

“Tidak dilupakan juga keperluan beriadah untuk anak-anak turut dimasukkan sebagai aktiviti wajib supaya mereka dapat mengikuti kursus ini secara santai dan dalam emosi yang stabil,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian penutup Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal Modul 11 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam, semalam.



Menurut YB Ghazali, kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada usaha semua agensi dan jabatan dalam memenuhi hasrat menjadikan anak Terengganu sebagai insan yang mendapat pendidikan secara holistik melibatkan ilmu duniawi dan ukhrawi.

 “Malah, bagi merealisasikan hasrat itu sekali gus menjadikan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu, kerajaan negeri bukan sahaja menekankan kecemerlangan akademik, bahkan dari segi akhlak, sahsiah diri termasuk penghayatan al-Quran yang merupakan asas pendidikan orang Islam turut dititikberatkan,” ujarnya.

Katanya, selain pendidikan agama Islam yang dipelajari di sekolah, Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal menjadi nilai tambah kepada anak-anak yang manfaatkan cuti persekolahan dengan pengisian yang penuh bermakna ini.

Menurut Pengarah Urusan TTI Management Sdn Bhd, Tuan Haji Wan Adnan Wan Derahman, permohonan untuk menyertai Program Tahfiz Cuti Sekolah Masjid Kristal edisi ke-11 itu sungguh menggalakkan.

Tuan Haji Wan Adnan berkata, pihaknya menerima hampir 400 permohonan tetapi hanya dapat mengambil 280 pelajar sahaja kerana tempat yang terhad.

"Penyertaan daripada kanak-kanak dan remaja berusia 8 hingga 16 tahun yang berjaya melepasi sesi ujian ketika temuduga dijalankan.



“Pengisian program merangkumi kelas hafazan, hal-hal fardu ain, kem ibadah dan riadah. Tenaga pengajar pula terdiri daripada lulusan Tahfiz al-Quran dari dalam dan luar negara dan turut memiliki ijazah dalam bidang berkaitan," ujarnya.

Katanya, dalam usaha membantu kerajaan negeri melahirkan pelajar cemerlang akademik dan ilmu agama, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan program berkenaan yang diadakan dua kali setahun sejak 2008 lagi.