Halaman

27 December 2013

Masjid Khalifah semakin indah semakin berimarah.

Masjid Khalifah di Jalan Pusara, Kuala Terengganu.
Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

SEKALIPUN kedudukannya agak terlindung dari pandangan orang ramai kerana ia tidak terletak di jalan utama malah mungkin ada yang tidak mengetahui lokasinya namun Masjid Khalifah yang terletak di Taman Jaya, Jalan Pusara, bandar Kuala Terengganu tetap menjadi tumpuan ramai untuk beribadah.

Masjid yang pada asalnya sebuah surau itu dibuka kepada orang ramai pada Julai 2011 bagi memenuhi keperluan penduduk sekitar yang semakin ramai khususnya untuk solat Jumaat dan solat dua hari raya.

Datuk Aziz..pengerusi masjid.
"Pada asalnya, masjid ini adalah sebuah surau yang dibina oleh bekas Setiausaha Kerajaan, Datuk Wira Jaya sekitar tahun 1970 untuk kegunaan penduduk Taman Jaya," kata Pengerusi Masjid Khalifah Taman Jaya, Datuk Aziz Badli Awang Chik.

Menurut Datuk Aziz, memandangkan semakin banyak taman-taman baru yang wujud berhampiran masjid itu antaranya ialah Taman Dahlia dan beberapa taman lagi di Jalan Kamaruddin dan Jalan Pusara, menjadikan jumlah jemaah semakin meningkat.

"Saya bersama-sama AJK masjid dan jemaah masjid ini memohon kepada kerajaan melalui wakil rakyat membina sebuah bangunan masjid yang baru bagi mengantikan masjid lama memandangkan jumlah jemaah yang semakin meningkat terutamanya untuk solat Jumaat dan dua hariraya. 

"Tidak beberapa lama kemudian kerajaan negeri (Barisan Nasional) meluluskan pembinaanya dan dalam tempoh kira-kira dua tahun bangunan ini siap sepenuhnya," katanya mengenai masjid bernilai kira-kira RM4.5 juta itu.

Beliau mengharapkan penduduk sekitar Masjid Khalifah ini memanfaatkan sepenuhnya pembinaan masjid ini kerana selain untuk menunaikan ibadah solat, masjid itu juga mengadakan aktivti ceramah agama dan kelas al-Quran.

Ustaz Muhammad..Imam II.
Sementara itu, Iman II masjid, Muhammad Rusdi, berkata jumlah jemaah yang menunaikan solat Zohor dan Asar ialah antara 100 dan 150 orang satu waktu manakala solat Jumaat pula ialah kira-kira 1000 orang.

"Sambutan terhadap solat fardu di masjid ini amat mengalakkan daripada penduduk berhampiran masjid dan beberapa pengunjung bandar Kuala Terengganu.

"Selain itu, ramai juga kakitangan kerajaan yang bertugas di Wisma Darul Iman serta  Wisma Persekutuan dan Negeri di Jalan Pejabat datang menunaikan solat fardu di sini." katanya.

Muhammad berkata, antara aktiviti keagamaan yang dijalankan di masjid Khalifah itu ialah pada malam Ahad hingga Khamis diadakan kuliah maghrib yang menampilkan imam masjid dan beberapa penceramah dari luar manakala pada malam jumaat pula diadakan bacaan yasin, tahlil dan solat hajat.

"Aktiviti lain ialah kuliah subuh, pagi Selasa atau Isnin pula ialah ceramah agama untuk wanita, lepas solat asar diadakan tazkirah, pagi jumaat selepas solat subuh bacaan surah Al-Kahfi dan beberapa program tahunan antaranya ialah Sambutan Maulud Nabi dan Maal Hijrah," katanya. 

Menurutnya, Imam I masjid itu ialah Ustaz Solahudding Dhalee manakala bilal pula ialah Yusof Embong dan Faisal Ismail yang bertugas secara bergilir-gilir.
Kemas..ruang dalaman yang kemas dan luas,
Menarik...pintu depan masjid,

Berseni..ukiran pada sisir udara yang cantk.

Rehat..kerusi rehat turut disediakan.

Taman..pemandangan luar masjid bagai taman.

Tugas..seorang petugas membersih kawasan masjid.

Tabir..tabir yang memisahkan jemaah wanita.

Ilmu...Bilik pengajian agama.

Luas..ruang tambahan untuk jemaah bersolat.

Santai..wakaf untuk pengunjung masjid.
Mudah..laluan OKU turut diadakan.

Bersih...tandas sentiasa bersih.