Halaman

11 December 2013

Perlawanan amal Terengganu , T-Team kutip RM17,880

Oleh: Aida Abd Rahman

Sejumlah RM17,880 berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai kepada mangsa banjir di seluruh Terengganu menerusi tiket perlawanan amal antara Terengganu dan T-Team, di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang prihatin mengambil inisiatif mengadakan perlawanan persahabatan berkenaan dan kutipan caj tiket RM5 seorang itu bakal mengisi tabung bantuan mangsa bencana banjir.

“Saya berterima kasih kepada PBSNT kerana mengambil inisiatif mengadakan perlawanan persahabatan yang keempat ini. Ia bukan sahaja dapat menguji pemain baru tetapi turut mengambil kutipan dana untuk membantu mangsa banjir.

 “Sebagaimana kita tahu, walaupun kita mempunyai peruntukan yang mencukupi, tetapi atas sumbangan yang diberikan kita amat mengalu-alukan,” katanya kepada pemberita ketika menyaksikan perlawanan itu.

Selain penonton, pengurusan Terengganu dan T-team serta pemain kedua-dua pasukan turut menghulurkan sumbangan itu. Terdahulu, hasil kutipan sumbangan itu diserahkan oleh Presiden PBSNT, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid kepada Menteri Besar sebelum diserahkan kepada tabung bantuan itu nanti.

Perlawanan persahabatan antara dua pasukan itu berkesudahan dengan Terengganu menewaskan T-Team, 2-0.