Halaman

02 December 2013

Pesan Datin Paduka Seri Rosmah

Oleh: Aida Abd Rahman, Suriati Ali dan Noraini Jusoh 



Kepada para suami, ingatlah pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh isteri masing-masing. Jangan punahkan masa depan isteri anda dengan perbuatan tidak bermoral serta amalkan gaya hidup yang sihat dan jauhi seks bebas, pesan isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, hari ini.

Beliau yang juga Penaung Yayasan AIDS Malaysia berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari AIDS Sedunia 2013, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu.

Turut hadir, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Seri Dr Helmi Yahya dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong.

Hadir sama, ketua Setiausaha kementerian Kesiahtaan Malaysia (KKM), Datuk Farida Mohd Ali; Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr Anwa Sulaiman dan Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Raj Karim.



Datin Paduka Seri Rosmah turut mengingatkan kepada semua ibu jangan sekali-kali membiarkan anak di dalam kandungan dijangkiti wabak itu, selain menyayangi bayi dan memastikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak yang tidak berdosa itu.

“Kepada seluruh masyarakat pula, jauhi dadah elakkan perhubungan seks bebas dan kekalkan kehidupan yang sejahtera dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata, pengetahuan dan kefahaman mengenai HIV membolehkan semua pihak menangani isu HIV atau AIDS dengan lebih baik, sekali gus bukan sahaja dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi , malahan setiap individu mampu mengambil tindakan sewajarnya dalam mengekang jangkitan penyakit itu.

Tambah beliau lagi, dengan amalan itu lagi lambat laun Malaysia akan menjadi negara sifar AIDS dan HIV satu masa nanti.

Katanya, virus HIV mula dikesan di negara kita pada 1986 dan sejak itu bilangan penduduk Malaysia yang dijangkiti penyakit terbabit terus meningkat berlipat kali ganda setiap lima tahun.

“Bilangan jangkitan HIV terkumpul yang dilaporkan di negara kita sehingga 2011 mencecah sehingga 95,000 serta hampir 15,000 kematian akibat AIDS.

 “Golongan lelaki terus mewakili majoriti iaitu 90 peratus daripada keseluruhan kes HIV di negara kita. Walaupun jangkitan dalam kalangan kaum lelaki menunjukkan penurunan ketara sejak 2003, namun kadar jangkitan dalam kalangan wanita pula menunjukkan trend berbeza,” katanya.

Beliau berkata, apa yang menyedihkan apabila wanita turut menjadi mangsa penyakit ini yang dibawa menerusi hubunan heteroseksual, iaitu sebanyak 87 peratus.

Sementara wanita dan kanak-kanak perempuan merupakan kira-kira 21 peratus kadar jangkitan baru pada 2011 berbanding lima peratus pada 10 tahun lalu.