Halaman

09 December 2013

Puteri UMNO Besut bantu mangsa banjir di Dungun


Puteri UMNO Besut menghantar bantuan kepada mangsa banjir di Dungun.

Oleh: Mohammad Ishak 

Tersentuh dengan nasib malang yang menimpa penduduk yang terbabit dengan bencana banjir di daerah Dungun membangkitkan kesedaran kepada ahli Puteri Umno Besut untuk mencurah khidmat bakti menolong mereka yang ditimpa kesusahan.

Berikutan itu ahli Puteri mengadakan gerakan mengumpul pelbagai jenis pakaian dan makanan daripada penduduk sekitar daerah Besut untuk memberi bantuan kepada mangsa terbabit.

Ketua Puteri Umno Bahagian, Eernisalwani Saidi berkata, menerusi usaha itu pihaknya berjaya mengumpul pelbagai jenis barangan daripada orang ramai untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Dungun.

Katanya, hasil kejayaan itu ahli jawatankuasa Puteri menghantar sebuah van untuk diagihkan kepada mangsa dalam misi bantuan kemanusiaan yang dilakukan oleh Puteri Umno

Mengetuai skuard bantuan itu, Erniesalwani bersama enam ahli jawatankuasa lain pagi inim berlepas ke Dungun untuk menyerahkan bantuan dengan kerjasama Puteri Umno Dungun.

“Saya berharap dengan adanya sumbangan seperti ini ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa yang terjejas dengan bencana berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, usaha mendapatkan sumbangan daripada orang ramai di sekitar daerah Besut akan diteruskan oleh Puteri Umno dan bantuan akan disalurkan kepada pihak berkaitan di Dungun dari masa ke semasa.