Halaman

18 December 2013

RM2.2 juta baiki tiga klinik rosak teruk

Oleh: Nurul Azila Saberi



Kehadiran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ke Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, semalam memberi semangat baru apabila memperuntukkan RM2.2 juta bagi menggantikan peralatan yang baru dan membaiki segala kerosakan di tiga klinik kesihatan yang terjejas dalam banjir, baru-baru ini.

 Klinik kesihatan berkenaan adalah Klinik Kesihatan Batu 2 ½, Klinik Desa Pasir Gajah dan Klinik Desa Seberang Tayor.

Datuk Seri Dr. S. Subramaniam turut melahirkan rasa bangga terhadap tiga petugas Hospital Kemaman dan dua petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama seorang pemandu bot yang sanggup mengadaikan nyawa kerana bot yang dinaiki telah terbalik ketika mengharungi banjir untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir di Pasir Gajah dan Seberang Tayor.

“Semangat yang ditunjukkan oleh semua anggota ini untuk meneruskan perkhidmatan walaupun baru saja ditimpa tragedi amatlah terpuji dan menjadi kebanggaan kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia.

 “Saya mencadangkan untuk melaksanakan satu latihan khusus bagi menghadapi bencana alam kepada seluruh kakitangan Kesihatan Malaysia. Ianya akan dilaksanakan mulai tahun hadapan,” katanya.

Beliau turut meluangkan masa pergi melawat ke tiga-tiga klinik kesihatan yang terjejas banjir baru-baru ini. 

Dalam pada itu, kesan bencana banjir yang melanda Kemaman baru-baru ini mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 22,159 orang dan daripada jumlah itu 302 mangsa merupakan kakitangan Hospital Kemaman serta 157 kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman.

Malah, 80 orang kakitangan Hospital Kemaman yang terlibat banjir dipindahkan ke pusat pemindahan Dewan Seminar Hospital Kemaman turut terus bertugas bagi memastikan perkhidmatan hospital tidak terjejas.

Segala operasi dan perkhidmatan terpaksa dihentikan dan anggota ditugaskan dipindahkan untuk bertugas di klinik lain seperti Klinik Kesihatan Cukai dan Klinik Kesihatan Kijal.

Manakala klinik-klinik lain yang terlibat seperti di Dungun mahupun di Kuantan juga akan menerima peruntukan untuk membaiki kerosakan akibat bencana itu.