Halaman

10 December 2013

Sidang DUN: Wujud sistem vendor, buka peluang pekerjaan baru

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Kerajaan negeri disaran mewujudkan sistem vendor menerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau anak-anak syarikat kerajaan negeri bagi membuka peluang pekerjaan baru kepada anak Terengganu.

YB Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (Air Putih-BN)  mencadangkan demikian dengan memberi contoh seperti syarikat EPIC yang mempunyai kepakaran di bidang minyak dan gas boleh melantik vendor tertentu untuk melatih dan memberi peluang kepada usahawann supaya dapat bergiat dengan baik di bawah industri minyak dan gas serta logistik.

“Manalaka TDM, kepakarannya dalam bidang ladang dan perkhidmatan perubatan pula boleh melantik vendor-vendor berdaya maju untuk memberikan bisnes sokongan ataupun di sektor perladangan. Selain barang-barang perubatan di bawah anak syarikat TDM,” katanya ketika membahaskan ucapan Bajet 2014, di persidangan DUN, hari ini.

YB Wan Abdul Hakim berkata, menerusi sistem vendor itu membolehkan anak Terengganu yang merantau dan mencari peluang pekerjaan di negeri orang supaya pulang memberi sumbangan tenaga dan bertugas di negeri sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata, apabila siapnya Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan jaringan laluan kereta api ke Dungun yang dirancang dan akan dibangunkan Kerajaan Persekutuan turut membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu.

“Malah, saya memohon kerajaan negeri mengadakan satu strategi menggalak serta menyelia industri-industri yang berpotensi baru yang akan lahir daripada peningkatan hubungan daripada barat ke timur melalui LPT dan kereta api itu nanti,” katanya.

“Saya juga menjangkakan antara industri yang akan meningkat maju dengan adanya kemudahan jaringan pengangkutan itu ialah industri logistik samada darat atau udara,” katanya lagi.

Susulan itu juga, pengkalan-pengkalan hadapan baru untuk minyak dan gas juga akan berkembang maju, selain mewujudkan konsep ‘ware housing’ di pengkalan-pengkalan hadapan.

“Pendedahan serta latihan untuk para usahawan perlu kita adakan supaya mengambil peluang apabila terbukanya peluang-peluang baru disebabkan oleh jaringan jalan raya yang begitu baik tidak lama lagi.

“Saya juga berpendapat, bahawa kita amat mengalu-alukan kedatangan industri-industri berat yang tidak lama lagi akan ke Teluk Kalong, contohnya SKS Mineral yang akan melaburkan RM6 bilion dan Eastern Steel Sdn Bhd akan beroperasi tidak lama lagi.

“Industri-industri berat ini sudah tentu akan memberi peluang pekerjaan yang cukup banyak kepada rakyat Terengganu khususnya di Kemaman,” jelasnya.

Kata beliau, selain mengutamakan industri besar di Terengganu iaitu sektor minyak dan gas, kerajaan negeri perlu fokus kepada industri kedua iaitu industri pertengahan dan sokongan yang sebenarnya turut menyumbang kepada peningkatan ekonomi negeri ini.