Halaman

18 December 2013

Tambahan bantuan pakaian sekolah kepada mangsa banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju menambah RM100 menjadikan jumlah RM300 bagi bantuan pakaian sekolah untuk setiap keluarga memiliki sekurang-kuranya dua anak yang bersekolah, yang terlibat dengan banjir di seluruh Terengganu.

Sebelum ini kerajaan negeri menyediakan bantuan berjumlah RM100 untuk seorang anak yang bersekolah atau maksimum RM200 bagi keluarga yang mempunyai lebih dari dua anak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata tambahan itu bagi meringankan beban mangsa banjir yang perlu menyediakan lebih banyak keperluan persekolahan yang baru kepada anak-anak.

“Perubahan kali ini bagi mereka yang terlibat dengan banjir baru-baru ini, kerajaan negeri menyediakan bantuan maksimum RM300, bagi yang mempunyai anak yang bersekolah sekurang-kurangnya dua orang.

“Sebelum ini kita sediakan RM200 maksimum, kalau ada tiga empat orang tetap RM200. Tetapi ini kawasan banjir sahaja kita tambah RM100 lagi,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

 Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju membayar bonus kepada penjawat awam setengah bulan gaji atau minimum RM500 bermula Januari ini.

Keputusan itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri ketika mengumumkan Bajet 2014, Oktober lalu yang akan menyediakan insentif itu kepada kira-kira 1.4 juta penjawat awam seluruh Malaysia.