Halaman

08 December 2013

UMT akan membuat kajian atasi banjir

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menjalankan satu kajian pembangunan penempatan penduduk yang terdedah dengan bencana banjir di Pantai Timur dalam masa terdekat.

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan UMT akan memainkan peranan untuk membuat kajian itu memandangkan bencana banjir perlu ditangani oleh semua pihak termasuk penyelidik di pusat pengajian tinggi awam negara ini.

“ UMT mempunyai penyelidik dalam bidang kejuruteraan yang pakar mengenai hakisan tanah serta mengurus air yang sinonim dengan bencana banjir tetapi sebelum ini mereka tidak memberi penekanan terhadap isu banjir.

“Justeru, dengan adanya kajian itu nanti sedikit sebanyak dapat membantu menyelesaikan masalah banjir di negeri ini dalam tempoh jangka panjang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat mengenai pembentukan pusat pengajian dan pusat pendidikan UMT di Bangunan Canselori UMT, hari ini.

Katanya, kebanyakan daripada kita bercakap mengenai bencana alam seperti banjir selepas berlaku sesuatu peristiwa tersebut, bagaimanapun sepatutnya bencana itu ditangani lebih awal sebelum terjadi.

 “Sebagai sebuah universiti kita perlu memberikan tumpuan kepada usaha meminimumkan bencana alam contohnya banjir melalui pelbagai bentuk penyelidikan yang dapat mempengaruhi dasar sedia ada.

“Kalau kita mempunyai perancangan dan sokongan awal, kesan banjir itu akan sentiasa berkurangan,” ujarnya.

Menurut beliau, salah satu pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah para sainstis perlu mengenal pasti fenomena banjir secara lebih mendalam.

“Apabila sainstis boleh mengenali fenomena banjir secara terperinci, ia akan banyak membantu pihak bertangungjawab yang menjalankan sesuatu pembangunan di kawasan banjir melaksanakan kerja mereka secara lebih berstruktur dan sistematik,"katanya.

Tambah beliau, pihak tertentu sepatutnya mengelak daripada membangunkan penempatan di kawasan berisiko banjir kerana kawasan berkenaan seharusnya dibangunkan untuk tujuan lain yang tidak membebankan penduduk sekiranya banjir melanda contohnya diusahakan sebagai tanah pertanian.