Halaman

20 April 2013

BN hadapi satu lawan satu di 24 DUN

Oleh: Kamarudin Mat Akib, Aida Abd Rahman dan Suriati Ali

Barisan Nasional (BN) akan menghadapi perlawanan dua penjuru di enam kerusi Parlimen dan 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Manakala pertandingan tiga penjuru melibatkan dua kerusi Parlimen dan lapan DUN.

Kerusi Parlimen yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah Kuala Terengganu dan Dungun manakala DUN pula ialah Kota Putera (Besut), Kemasik (Kemaman), Ajil (Hulu Terengganu), Permaisuri (Setiu), Bukit Besi dan Rantau Abang (Dungun), Seberang Takir (Kuala Nerus) dan Alor Limbat (Marang).

 Bagi kerusi Parlimen Besut, calon BN, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh akan ditentang Riduan Mohd Nor (Pas) manakala DUN Kuala Besut menyaksikan Dr. A Rahman Mokhtar (BN) ditentang oleh Nafisah Ismail (Pas).

Di DUN Kota Putera, calon muka baru BN, Mohd Mahdi Musa menghadapi tentangan Adam Isa (Pas) dan Dr Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (PKR) manakala DUN Jertih, Mohd Pehimi Yusof (BN) akan berlawan dengan Wan Azhar Wan Ahmad (Pas).

Di Hulu Besut, Nawi Mohamad (BN) akan berlawan dengan Solahuddin Jaafar (Pas).

Bagi Parlimen Setiu, calon muka baru BN, Che Mohamad Zulkifly Jusoh akan berdepan dengan Omar Sidek (Pas) manakala DUN Jabi, seorang lagi calon muka baru BN, Iskandar Jaafar akan berlawan dengan Azman Ibrahim (Pas).

 Di DUN Permaisuri, Ketua Umno Bahagian Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafiee akan ditentang oleh Wan Mokhtar Ibrahim (PKR) dan Mohd Yusof Majid (Bebas); Langkap Sabri Mohd Noor (BN) dan Hassan Karim (Pas); Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman (BN) dan Che Ghani Che Ambak (Pas).

Bagi Parlimen Kuala Nerus, Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Dato’ Haji Mohd Nasir Ibrahim Fikri akan menghadapi tentangan Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas); DUN Tepoh, Haji Muhammad Ramli Nuh (BN) ditentang Hishamuddin Abd Karim (Pas); Teluk Pasu, penyandangnya, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said (BN) dan Ridwan Hashim (Pas).

 Manakala DUN Seberang Takir menyaksikan, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berlawan dengan Zakaria Dagang (Pas) dan Ahmad Nazri Mohd Yusof (PKR); Bukit Tunggal, Haji Ismail Nik (BN) dan Alias Razak (Pas).

 Di Parlimen Kuala Terengganu, Mohd. Zubir Embong (BN) akan berdepan dengan Raja Kamarul Baharin (Pas) dan Maimun Yusoff (Bebas); Wakaf Mempelam, Wan Mahyuddin Wan Ngah (BN) dan Mohd Abdul Wahid Endut (Pas); Bandar, Dato’ Toh Chin Yaw (BN) dengan Azan Ismail (PKR); Ladang, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (BN) dan Tengku Hassan Tengku Omar (Pas) dan Batu Burok , Dato’ Che Mat Jusoh (BN) dan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Pas).

Bagi Parlimen Marang, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad (BN) akan berlawan dengan Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

 DUN Alor Limbat pula menyaksikan Haji Alias Abdullah (BN) akan ditentang oleh Ariffin Deraman (Pas) dan Jaafar Jambol (Bebas); Bukit Payung, Zaidi Muda (BN) dan Mohd Nor Hamzah (Pas); Rhu Rendang, Nik Dir Wan Ku (BN) dan Abdul Hadi (Pas) dan Pengkalan Berangan, A. Latif Awang (BN) dan Sulaiman Sulong (Pas).

 Bagi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari (BN) akan berdepan dengan Kamaruzaman Abdullah (Pas); Telemong, Haji Rozi Mamat dan Narawi Embong (PKR); Manir, Yusof Awang Hitam (BN) dan Helmi Harun (Pas); Kuala Berang, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Muhyiddin Abd Rashid (Pas) dan Ajil, Ghazali Taib (BN) ditentang oleh Mohd Razki Alias (Pas) dan Mohd Nurhairi Mohamad (Bebas).

Bagi Parlimen Dungun, Ketua Umno Bahagian Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan ditentang oleh Wan Hassan Mohd Ramli (Pas) dan Mazlan Harun (Bebas).

 DUN Bukit Besi pula calon BN, Roslee Daud (muka baru) akan berdepan dengan Roslan Ismail (Pas) dan Mazlan Harun (Bebas); Rantau Abang, Dato’ Za'abar Mohd Adib (BN) dan Alias Harun (Pas); Sura, Zakaria Ali (BN) dan Wan Afandi Wan Nik (Pas) serta Paka, Datuk Matulidi Mat Jusoh (BN) dan Satiful Bahri Mamat (Pas).

Di Parlimen Kemaman, Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek akan ditentang oleh Kamarudin Chik (PKR) manakala DUN Kemasik, Rosli Othman (BN) akan menghadapi Alias Abdul Hamid (Pas) dan Zulkiflee Salleh (Bebas).

 Di Kijal pula, Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said akan ditentang oleh Hazeri Jusoh (Pas); Cukai, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (BN) dan Hanafiah Mat (Pas) serta Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar (BN) dan Abdul Razak Ibrahim.

 

berita penuh

Pas-PKR bertembung di tiga DUN

Oleh: Aida Abd Rahman

Pertembungan sesama sendiri antara Pas dengan PKR terjawab apabila Pakatan Rakyat itu mencalonkan wakil masing-masing di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Kota Putera dan Bukit Besi, pada hari penamaan calon di seluruh Terengganu, hari ini.

DUN Seberang Takir melibatkan pertandingan antara penyandang kerusi itu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman (BN) dengan Zakaria Dagang (Pas) dan Ahmad Nazri Mohd Yusof (PKR), manakala Kota Putera melibatkan Mohd Mahdi Musa (BN) menentang calon PKR, Dr Mohamed Abdul Ghani Ibrahim dan Adam Mat Said dari Pas.


Sementara DUN Bukit Besi pula calon BN, Roslee Daud  akan menentang Roslan Ismail (Pas) dan Mohd Shamsul Mat Amin (PKR).

Ketika ditanya kepada calon Pas (Bukit Besi), Roslan pertembungan itu menguatkan lagi fakta berhubung wujudnya ketidaksefahaman di kalangan PR, Bendahari Pas Dungun itu menafikan perkara terbabit, sebaliknya menganggap kehadiran PKR sebagai sokongan kepada Pas.

“(Penglibatan PKR sebagai calon) ini sebagai sokongan (kepada Pas). Kita pertahankan supaya undi tidak pergi sepenuhnya kepada Umno. “Undi yang berpecah kepada dua itu, kamu (wartawan) kira dalam matematik, tetapi sekarang ini kita kira (undian) secara psikologi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shamsul, 28, (Bukit Besi- PKR) pula mengambil keputusan tetap bertanding walaupun berlaku pertindihan dengan Pas, sebagai memikul amanah Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memberi mandat itu kepada beliau sebelum ini.

“Pengundi yang akan menentukannya. Benda ini tidak boleh dijangka, kita lihat apabila akhir hari pengundian nanti insya-Allah. “Kita ada strategi (berkempen) kita dan kita akan terus menjalankan amanah yang diberikan oleh PKR Pusat supaya saya bertanding . Ini adalah parti, bukan personal, kalau orang perjuangkan personal tahu sendirilah,” katanya.

Mohd Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Dungun, baru berkecimpung dalam PKR kira-kira enam tahun lalu muncul calon termuda PKR mewakili kerusi DUN seluruh negara juga menyifatkan jentera parti bukan penentu kepada kejayaan dalam pilihan raya, sebaliknya akan menggunakan strategi tersendiri untuk menawan pengundi nanti.


berita penuh

Tiada bekas wakil rakyat BN tanding bebas

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Suriati Ali

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di Terengganu menyaksikan hanya enam calon bebas bakal bertanding melibatkan dua kerusi Parlimen dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Proses penamaan calon yang tamat pada jam 10 pagi tadi mengesahkan tidak ada seorang pun bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada pilihan raya 5 Mei ini, menghantar borang pencalonan untuk bertanding atas tiket parti bebas.

 Ini dengan jelas mematikan desas desus sebelum ini kononnya beberapa bekas wakil rakyat BN akan bertanding atas tiket bebas kerana tidak puas dengan keputusan pucuk pimpinan BN mengetepikan mereka pada pilihan raya kali ini.

Sebelum ini pun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika mengulas mengenai perkara itu menyifatkan ia sebagai spekulasi golongan tidak bertanggungjawab yang mahu melemahkan jentera BN sahaja.

 Mereka yang akan bertanding atas tiket bebas ialah Maimun Yusof 94, yang juga calon tertua (Parlimen Kuala Terengganu) dan Mazlan Harun, 56, yang akan mencuba nasib merebut kerusi Parlimen Dungun dan DUN Rantau Abang.

Manakala calon bebas lain Zukiflee Salleh, 58, (DUN Kemasik), Jaafar Jambol (DUN Alor Limbat); Yusof Majid (DUN Permaisuri) dan Mohd Nurhairi Muhammad (DUN Ajil).

 Pemerhati politik berpendapat berdasarkan nama-nama yang bertanding atas tiket bebas ini baik di kerusi Parlimen mahu pun DUN, tidak akan mengugat kedudukan BN.

Malah, mereka berpandangan di beberapa kawasan pula kehadiran calon bebas memberi peluang lebih besar kepada calon-calon BN untuk menang kerana akan berlaku masalah pecah undi.

 Kehadiran calon bebas di kebanyakan kawasan di negeri ini berlaku disebabkan rasa tidak puas hati dengan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan meletakkan calon bebas itu sengaja dilakukan pihak tertentu sebagai tanda protes kepada pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat berhubung keputusan meletakkan calon PR.

Kawasan yang melibatkan pertandingan tiga penjuru itu membuktikan tidak wujud persefahaman antara PR berhubung pembahagian kerusi menyebabkan parti-parti pembangkang akan berlawan sesama sendiri.

 Masalah ini berlaku sejak dulu lagi dan ia pasti akan memberi kelebihan kepada calon BN untuk menang dengan lebih selesa.

 

berita penuh

Tiga pertandingan tiga penjuru di Parlimen Dungun

Oleh: Aida Abd Rahman

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi kerusi Parlimen Dungun menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Besi dan Rantau Abang.

Calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan akan ditentang calon Pas, Wan Hassan Wan Ramli, 56, serta Mazlan Harun, 56, (Bebas).

Sementara di DUN Bukit Besi pula calon BN, Roslee Daud, 53, akan menentang calon Pakatan Rakyat yang diwakili Roslan Ismail, 48, (Pas) dan Mohd Shamsul Mat Amin, 28, (PKR).

Manakala di Rantau Abang pula melibatkan pertandingan antara penyandang kerusi itu, Dato’ Za’abar Mohd Adib, 59, (BN), Alias Harun (Pas) dan Mazlan Harun, 56, (Bebas).

Pertandingan satu lawan satu di DUN Sura antara Zakariah Ali, 57, (BN) dengan Wan Hapandi Wan Nik, 57, (Pas) diikuti DUN Paka menyaksikan Datuk Matulidi Jusoh, 56, (BN) dengan Satiful Bahri Mamat, 46, (Pas).

Kesemua calon yang bertanding mengemukakan borang pencalonan antara 9.04 pagi hingga 9.44 pagi sebelum masa diperuntukkan untuk penghantaran borang ditutup mulai jam 10 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Dungun, Haji Mohd Akil Mat mengisytiharkan semua calon berkenaan layak bertanding bagi PRU13, 5 Mei ini  selepas selesai proses semakan,di Pejabat Daerah Dungun, kira-kira jam 11.30 pagi.

Dungun satu-satunya Parlimen yang menyaksikan tiga pertandingan tiga penjuru, berbanding  hanya satu pertandingan tiga penjuru di Parlimen Kuala Terengganu; DUN Kemasik (Parlimen Kemaman); DUN Kota Putera (Besut); DUN Seberang Takir (Kuala Nerus); DUN Ajil (Hulu Terengganu); DUN Permaisuri (Setiu) dan DUN Alor Limbat (Marang).


berita penuh

Mantan wakil rakyat BN hadir di pusat penamaan calon

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Esah Abdullah 

Bekas wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang tidak dicalonkan semula untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) turut hadir di pusat-pusat penamaaan calon di seluruh negeri, bagi memberi sokongan kepada calon-calon BN, termasuk muka baru yang akan bertanding pilihan raya ini.
Dato' Mohamed Awang Tera , mantan wakil rakyat Dun Chukai (kanan)  mengiringi calon-calon Parlimen Kemaman ke penamaan calon di Kemaman.
Ini merupakan petanda baik kepada BN yang mengemukakan kira-kira 45 peratus muka baru bagi PRU13 yang dianggap paling sengit dalam sejarah politik tanah air.

Di Setiu, keempat-empat mantan wakil rakyat dalam Parlimen berkenaan yang tidak tercalon semula pada PRU13 hadir memberi sokongan kepada BN di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Setiu, hari ini.

Mereka ialah Haji Khazan Che Mat (Batu Rakit), Haji Ashaari Idris (Langkap), Haji Ramlan Ali (Jabi) dan Haji Abdul Halim Jusoh (Permaisuri).

Kehadiran mereka menolak desas desus yang tersebar luas sebelum ini kononnya bekas wakil rakyat berkenaan dan penyokong masing-masing akan membaikot pilihan raya kali ini.

Haji Khazan yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) kelihatan ceria dan bersalaman dengan penyokong BN yang memenuhi kawasan berkumpul sambil menunggu pengumuman calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Beliau mengingatkan penyokong BN agar terus setia kepada parti yang memerintah demi masa depan generasi muda yang akan menempuh perjalanan panjang selepas ini.

“Saya tahu ramai yang buat cerita, tetapi Allah maha mengetahui, saya ahli Umno dan saya sangat sayangkan parti saya dan ingin melihat BN terus memerintah negara ini,” katanya.

Begitu juga Haji Ashaari Idris (mantan wakil rakyat Langkap) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri dan Haji Ramlan Ali (mantan wakil rakyat Jabi) turut hadir memberi sokongan.

“Soal calon merupakan kuasa mutlak presiden parti yang boleh bertukar ganti, tetapi parti BN mesti terus kekal memerintah negara ini,” kata Haji Ashaari.

Di Kemaman, bekas ADUN Cukai dan Exco, Dato’ Mohamed Awang Tera, turut ceria dan berada di dalam dewan tempat penyerahan borang pencalonan dan beramah mesra dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan semua calon di Parlimen Kemaman.

Di Besut, bekas Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Abdullah Mohamed Zin, turut berada di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Besut.

 

berita penuh

Kejutan di Parlimen Besut di hari penamaan calon


Dr A Rahman Mokhtar (BN) ditentang calon PAS Napisah Ismail di DUN Kuala Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Penamaan calon Parlimen Besut mencatat sejarah pada Pilihan Raya Umum (PRU13) apabila seorang wanita pertama dicalonkan oleh PAS bertanding di kerusi DUN Kuala Besut

Surirumah ,Napisah Ismail, 53, dari Kampung Denger, dekat sini, dipertaruhkan oleh PAS untuk menentang penyandang  Dr A Rahman Mokhtar dari BN.

Napisah yang juga Ketua Dewan Muslimat Pas Besut,satu satunya calon wanita di negeri ini yang akan bertanding pada PRU13.

Bagi DUN Kota Putera, pertandingan tiga penjuru antara calon BN,Pas dan PKR dijangka menarik perhatian kerena sebelum ini hanya BN dan Pas sahaja yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, kehadiran calon PKR, Dr Mohamed Abd Ghani,61, bekas pensyarah Maktab Perguruan Sultan Mizan Besut, yang tiba-tiba muncul di pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Besut, mengejutkan orang ramai.

Dr Abdul Ghani juga mencatat rekod apabila beliau adalah Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Alur Lintah, Bukit, Keluang, bertanding di atas tiket pembangkang.

“Sebagai pengerusi KRT pertama bertanding menjadi calon saya amat bangga dan akan mempastikan berjaya dalam PRU13 ini,” katanya.

berita penuh

MB hadapi satu lawan satu dengan Pas di Kijal

Dato' Seri Haji Ahmad Said - BN (kanan) bersalaman dengan tentangannya Hazri Jusoh (Pas) pada penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman, pagi ini.
Oleh: Kamarudin Mat Akib

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan menghadapi tentangan satu lawan satu dengan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu menyerahkan borang pencalonan bagi kerusi DUN berkenaan di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), pada jam 9.03 pagi manakala calon Pas, Hazri Jusoh berbuat demikian jam 9.15 pagi.

Kerusi DUN Kemasik pula menyaksikan calon BN, Ir Rosli Othman yang merupakan penyandang menghadapi tentangan tiga penjuru melibatkan calon Pas (Che Alias Abdul Hamid) dan Bebas (Zulkiflee Salleh).

Calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (dari kiri) Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, Datuk Wan Mohd Nizam Wan Abdul Hamid, Rosli Othman, Datuk Seri Ahmad Shabey Cheek, Datuk Seri Ahmad Said, Kamarudin Chik, Hazri Jusoh, Che Alias Hamid, Hanafiah Mat, Razak Ibrahim dan Zulkiflee Salleh bergambar selepas proses penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Kemaman di sini, pagi ini.


Bagi kerusi DUN Cukai, Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid yang merupakan calon BN akan ditentang oleh Hanafiah Mat (Pas) manakala DUN Air Putih, penyandang yang juga calon BN, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar akan ditentang oleh Abdul Razak Ibrahim (Pas).

Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Ahmad Shabery Cheek yang juga calon BN dan penyandang kerusi Parlimen Kemaman akan ditentang oleh calon Pas, Kamarudin Chik.


Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kemaman, Haji Mohd Kamil Othman, mengumumkan kesemua nama calon yang akan bertanding pada PRU13 bagi parlimen berkenaan jam 9.20 pagi.

Terdahulu, Menteri Besar yang berbaju Melayu biru mengetuai perararakan lebih 5,000 penyokong BN dari pejabat Umno Bahagian Kemaman ke pejabat MPK, seawal jam 8.30 pagi.


Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud dan bekas Adun Cukai, Dato’ Mohamed Awang Tera dan pemimpin Umno serta parti komponen BN turut menyertai perarakan itu.

berita penuh

Proses penamaan calon Parlimen Setiu lancar

Oleh; Esah Abdullah

Proses penamaan calon bagi Parlimen Setiu (P034) berjalan lancar apabila semua calon-calon yang bertanding menyerahkan borang mereka sebaik sahaja pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Setiu di buka pada jam 9 pagi dan berakhir 10 pagi tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim mengumumkan kesemua calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi (N05), Permaisuri (N06), Langkap (N07) dan Batu Rakit (N08) kira-kira jam 10.45 pagi.


Parlimen Setiu dan tiga DUN menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara BN dan Pas manakala DUN Permaisuri membabitkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bebas.

Parlimen Setiu membabitkan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Che Mohd Zulkifli Jusoh yang menyerahkan borang percalonan jam 9.08 pagi manakala Encik Omar Sidek (Pas) menyerahkan borang percalonan jam 9.20 pagi.

DUN Jabi pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan Pas di mana calon BN Mohd Iskandar Jaafar, 38, yang menyerahkan borang percalonan tepat jam 9.03 pagi dan Encik Azman Ibrahim (Pas) jam 9.22 pagi.

DUN Permaisuri membabitkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bebas di mana BN diwakili Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee iaitu mantan Ahli Parlimen Setiu (2008-2013), Wan Mokhtar Wan Ibrahim (PKR) dan Haji Mohd Yusof Majid, 50, (Bebas).

 Ketiga-tiga calon menyerahkan borang masing-masing pada jam 9.05 pagi (BN), 9.20 pagi (PKR) dan 9.35 pagi (Bebas).

DUN Langkap juga menyaksikan calon BN, Datuk Sabri Mohd Nor, menyerahkan borang percalonan seawal jam 9.05 pagi manakala Encik Hasan Karim (Pas) jam 9.23 pagi.

Calon BN Batu Rakit, Encik Bazlan Abdul Rahman (9.04 pagi) pula akan ditetang calon Pas, Che Ghani Che Ambak (9.18 pagi).

 

berita penuh

Penyokong Barisan Nasional (BN) Besut semangat iringi calon.


Bekas Menteri, Dr Yusof Noor dan Dr Abdullah bersama calon BN Parlimen Besut

Oleh: Mohammad Ishak

Dua bekas menteri kabinet yang hadir sebagai pencadang dan penyokong kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Besut, Dato'  Seri  Haji Idris Jusoh membakar semangat penyokong parti berkenaan yang hadir di Pusat Penamaan Calon, hari ini.

Bekas Menteri Perusahaan Awam, Tan Sri Dr Yusof Mohd Nor dan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Abdullah Md Zin masing-masing  sebagai pencadang dan penyokong kepada Dato' Seri Haji Idris.

Kira-kira 2,000 penyokong BN berarak mengiringi calon BN kira-kira satu kilometer,  bermula dari Pusat Khidmat Masyarakat, Kota Putera ke Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Besut..


Laungan keramat “Gelombang Biru” yang diketuai calon Parlimen Dato' Seri Haji Idris disambut meriah oleh penyokong-penyokong BN.


Kesemua calon BN iaitu Dato' Seri Haji Idris Jusoh (Parlimen Besut); Muhammad Pahemi Yusof (DUN Jertih), Dr A Rahman Mokhtar (Kuala Besut); Nawi Mohamad (Hulu Besut), dan calon muka baru Mohd Mahdi Musa (DUN Kota Putera) tiba di tempat penamaan calon kira-kira jam 8.45 pagi.

Sementara itu, kehadiran calon PKR Dr Mohamad Abd Ghani,61,bersama pencadang dan penyokongnya yang tiba kira-kira jam 9.00 pagi mengejutkan orang ramai

Pengesahan calon PKR, Dr Abd Ghani bertanding atas tiket PKR menyebabkan DUN Kota Putera menjadi perhatian apabila berlaku pertandingan tiga penjuru di Parlimen Besut antara calon Mohd Mahdi Musa (BN) dan Adam Mat Said (Pas).

Penampilan Dr Abdulah Ghani yang juga  bekas guru  berpakaian baju biru iaitu hampir menyamai pakaian dipakai calon BN menyebabkan ramai yang keliru.

Sementara itu, calon PAS diiringi kira-kira 1,500 penyokong turut mengejutkan orang ramai kerana mereka membawa bersama kanak-kanak bawah umur mengiringi calon.


berita penuh

Pertembungan tiga penjuru di Parlimen Kuala Terengganu

Oleh: Suriati Ali

Pertandingan bagi merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Haji Mohd Zubir Embong (BN), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Pas) dan Maimun Yusof, 94, (Bebas) .



Manakala empat Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertandingan satu lawan antara BN dan Pas di mana calon bagi kerusi DUN Ladang, Dato’ Wan Ahmad Farid Dato’ Wan Salleh (BN) akan ditentang oleh Dato' Haji Tengku Hasan Tengku Omar (Pas).

Kerusi DUN lain iaitu Wakaf Mempelam akan ditandingi oleh Wan Mahyuddin Wan Ngah (BN) melawan Abdul Wahid Endut (Pas); Batu Burok, Dato’ Che Mat Jusoh (BN) dan Dr Syed Azman Syed Ahmad (Pas) dan calon bagi kerusi Bandar pula Dato’ Toh Chin Yaw (BN) dan Azan Ismail (PKR).



Pengumuman dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dato' Haji Adzlan Mohd Dagang di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, kira-kira jam 11.30 pagi selepas tempoh penerimaan borang pencalonan tamat jam 10 pagi.

 Lebih 4,000 penyokong BN dan Pas yang mengiringi calon masing-masing dilihat tiba di perkarangan Stadium kira-kira setengah jam sebelum Pusat Penamaan Calon dibuka jam 9 pagi.

 






berita penuh

19 April 2013

Manifesto PR Tiada Nilai Kepada Rakyat

Oleh FAUZI MOHD 
 fauzibinmohd@yahoo.com 

Manifesto yang dilancarkan Pakatan Rakyat pada Februari lalu dilihat sebagai dokumen tidak bertanggungjawab yang disajikan kepada rakyat.

Jika Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini menganggap bahawa manifesto bukan janji maka bermakna rakyat tidak boleh mengharapkan apa-apa kepada manifesto berkenaan.

Rakyat yang sudah tertipu dengan janji-janji sebelum ini secara sinis menggelar pakatan pembangkang itu sebagai “Pakatan 15 Peratus” berdasarkan sejak mereka berkuasa pada tahun 2008, mereka hanya berjaya melaksanakan 15 peratus janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu.

 Bukan setakat “Pakatan 15 Peratus” tapi manifesto mereka langsung tidak bertanggungjawab dan ini adalah berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang anggap manifesto sebagai dokumen penting antara BN dan rakyat.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak turut mengulas berkaitan tuduhan pembangkang yang menganggap BN meniru manifesto pakatan pembangkang.

 “Saya percaya mereka yang meniru manifesto kita kerana banyak yang mereka cuba ketengahkan telah pun dilaksanakan oleh BN. Misalnya janji-janji yang mereka nak bawa nak sebagainya.

 “Yang lebih buruk kerana manifesto mereka tidak berpegang di bumi nyata misalnya berkaitan subsidi minyak yang mana mereka mahu menurunkan 20 sen.” Ujar Perdana Menteri.

Berdasarkan kiraan yang telah dilakukan, sekiranya harga minyak diturunkan maka bermakna kerajaan akan menanggung subsidi tambahan.

 Sekiranya turun 20 sen sebagaimana yang disebut pemimpin Pakatan Rakyat bermakna kerajaan terpaksa menanggung RM4.4 bilion yang mana duit itu boleh digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan sedangkan minyak hari ini boleh digunakan sesiapa saja.

Sebab itu manifesto pembangkang tentang minyak dan sebagainya lebih kepada mereka yang berkemampuan dan kaya sedangkan fokus BN adalah untuk menjaga golongan miskin yang memerlukan.

Simpanan daripada subsidi minyak itu boleh digunakan untuk membina lebih banyak frasarana untuk keluarga miskin.

Dengan jumlah RM4.4 bilion itu boleh disalurkan terus kepada golongan rakyat yang memerlukan sedangkan penggunaan minyak adalah terhad kepada golongan tertentu.

Rata-rata rakyat sudah tahu, duit terbabit boleh digunakan semula kepada rakyat dengan cara untuk pembinaan rumah PPRT dan sebagainya.

Bayangkanlah dengan jumlah itu berapa banyak rumah PPRT boleh dibina untuk kemudahan rakyat. Isu berkaitan manifesto dalam Pakatan Rakyat adalah isu populis semata-mata.

berita penuh

PAS ANGGAP PKR TIDAK KUAT DAN TIADA WUJUD PUN DI SEBERANG TAKIR DAN BEBERAPA TEMPAT.

Dari kanan: Ahmad Shah, Naraza dan Mohd Nordin pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, semalam.
Perselisihan pembahagian kerusi antara Pas dan PKR semakin ketara di negeri ini dengan tindakan tiga wakil Pas di tiga Dun berasingan mendesak Pas Pusat dan Perhubungan Pas Negeri meletakkan calon Pas di kerusi Dun Bandar, Seberang Takir dan Bukit Besi.

Bantahan terhadap calon PKR di tiga-tiga kerusi itu dibuat oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Bendahari MTD Seberang Takir, Mohd Nordin Mahmood dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Dungun, Naraza Muda yang turut mewakili suara di peringkat Dun masing-masing.

Bagi wakil Dun Bandar dan Seberang Takir, kedua-duanya berkeras dengan pendirian untuk menolak calon PKR kerana mendakwa potensi kemenangan lebih besar dengan meletakkan calon Pas, manakala wakil Bukit Besi, Naraza berlembut sedikit untuk menerima calon PKR sekiranya yang diturunkan itu diterima rakyat dan bukannya calon ‘bidan terjun’.

“Kami yang mewakili Pas Dun Bukit Besi, Seberang Takir dan Bandar mendesak supaya Pas Pusat dan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu membenarkan calon Pas bertanding di kerusi N25, N11 dan N14.

“Kami menolak calon daripada PKR yang bersifat bidan terjun kerana tiada gerak kerja dan hubungan dengan jentera Pas yang telah lama bertapak di Dun tersebut,” jelas ketiga-tiga wakil terbabit pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Terengganu, di sini, semalam.

Sidang media itu dibuat beberapa jam sebelum pengumuman calon PKR yang mengesahkan akan bertanding di tiga kerusi dinyatakan itu.

Ditanya lanjut mengenai desakan terlibat, ketiga-tiganya tidak menganggap desakan itu memberi kesan terhadap kerjasama antara Pas dan PKR kerana mereka mempunyai hak bersuara selagi masih ada ruang.

Sementara itu, Mohd Nordin berkata, pihaknya tidak menerima calon PKR kerana mendakwa tidak berwibawa dan cuba ‘mengimport’ calon dari luar.

Bukan itu sahaja katanya, kewujudan PKR di Seberang Takir seolah-olah tidak wujud dan tiada sebarang cawangan atau ranting PKR ditubuhkan di kawasan itu sebagaimana disahkan Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Mohamad sebelum ini.

“Memang tiada cawangan jadi macam mana kita nak beri kepada orang yang tiada cawangan untuk bertanding.

“Kita sudah buat perbincangan dengan Setiausaha (PKR Terengganu), Wan Bukhari sebanyak dua kali supaya berbincang di peringkat negeri tetapi senyap seribu bahasa.

“Masa (Datuk Seri) Anwar pergi ke Teluk Ketapang, kita bagi memorandum padanya, minta dia cuba menilai berdasarkan pada 2008 (PKR) tidak boleh buat kerja.

Cuma masa itu, kita dalam kalangan penyokong Pas bantu juga, sokong dia. Jadi untuk PRU kali ini, kita minta dia serah juga kawasan itu pada kita,” katanya. Bagi Ahmed Shah, beliau berkata, pengundi jelas mahukan calon Pas di kerusi Dun Bandar dan mendakwa sekiranya membiarkan PKR bertanding sudah tentu memberi kemenangan mudah kepada MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN).

Perselisihan pembahagian kerusi antara Pas dan PKR semakin ketara di negeri ini dengan tindakan tiga wakil Pas di tiga Dun berasingan mendesak Pas Pusat dan Perhubungan Pas Negeri meletakkan calon Pas di kerusi Dun Bandar, Seberang Takir dan Bukit Besi.

Bantahan terhadap calon PKR di tiga-tiga kerusi itu dibuat oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Bendahari MTD Seberang Takir, Mohd Nordin Mahmood dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Dungun, Naraza Muda yang turut mewakili suara di peringkat Dun masing-masing.

 

berita penuh

PAS DAN PKR TERENGGANU MULA BERGADUH

Pas dan PKR akan sama-sama bertanding di Dun Seberang Takir dan Kota Putera 

Oleh: Ruslan Abdul Rahman, Pengarang Teganukita.

Walau pun PKR telah diputuskan bertanding mewakili Pakatan di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen di Terengganu, tetapi Pas engkar dan tidak mematuhi ketetapan tersebut.

Kerusi-kerusi PKR yang bakal ditandingi PKR ialah Permaisuri, Kota Putera, Telemong, Seberang Takir, Bukit Besi dan Bandar, manakala Parlimen ialah Kemaman.

Namun begitu, malam tadi di Rusila pemimpin utama Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bersama Abdul Wahid Endut mengumumkan juga calon mereka di Kota Putera dan Seberang Takir.


Ini merupakan suatu pencabulan dan janji tidak ditepati.

Setiausaha Politik Kanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PKR Terengganu, Abd.Rahman Yusof menyelar tindakan Pas yang tidak menghormati perjanjian.

“Pemimpin Pas perlu belajar menghormati keputusan kalau hendak rakyat menghormati mereka,” tegas Abd Rahman ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pagi ini.

Beliau bergegas balik ke Terengganu jam 11.00 pagi ini dari Kuala Lumpur setelah mendengar berita pencabulan hak PKR Terengganu oleh pemimpin Pas itu.

Abdul Rahman telah membuat lapaoran rasmi kepada PKR Pusat (Dato’ Seri Anwar) berhubung pencabulan hak PKR itu untuk tindakan selanjutnya.

Namun katanya, pertandingan tiga penjuru BN, PKR dan PAS akan berlaku di Dun Kota Putera dan Seberang Takir kerana “kami tak akan berundur dan tetap dengan keputusan dan perjanjian asal”.

Pemimpin Pas perlu menghormati PKR dan penjanjian asal, barulah rakyat akan hormati Pas, katanya dengan kesal.

 

berita penuh

BN yakin guru mampu pikat hati masyarakat

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan negeri sentiasa mengiktiraf peranan guru dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan serta mampu mewujudkan keyakinan masyarakat sebagai seorang yang disegani dan rapat dengan ibu bapa pelajar.

 “Pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) juga yakin guru mampu pikat masyarakat akar umbi,” kata Ketua Penerangan Umno Perhubungan Terengganu Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman.


Sehubungan itu katanya, ia telah pun diterjemahkan dengan tersenarainya empat orang warga pendidik sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini

Katanya, dua guru dan dua pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri yang dimaksudkan ialah Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Haji Mohd Zubir Embong dipilih mewakili calon bagi Parlimen Kuala Terengganu dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Encik Zakaria Ali calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Dungun.

“Manakala dua guru yang turut menjadi calon pada PRU13 pula, Encik Bazlan Abdul Rahman (DUN Batu Rakit), Setiu dan Encik Ghazali Taib (DUN Ajil) Hulu Terengganu,” katanya di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri berkata, keyakinan pucuk pimpinan parti begitu terserlah bukan saja dalam bidang pendidikan malah dalam hubungan dengan masyrakat akar umbi.

 “Saya yakin kreadibiliti guru mampu menarik rakan sekerja untuk menyokong BN kerana kalau bukan rakan siapa lagi yang akan bantu kita,” katanya.

Katanya, dalam Parlimen Kuala Terengganu terdapat 6,000 orang guru dan jumlah itu tidak termasuk isteri atau suami atau anak yang layak mengundi.

“Jadi saya harap semua warga guru bersatu dan mengundi calon BN bagi mengembalikan Parlimen Kuala Terengganu kembali kepada BN pada PRU13 ini,” katanya.
 

berita penuh

MB ketuai perarakan penamaan calon Parlimen Kemaman

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengetuai perarakan ke pusat penamaan calon bagi Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), esok.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu itu akan menyerahkan borang pencalonannya untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di mana beliau merupakan penyandang kerusi tersebut.

BN mengekalkan penyandang kerusi DUN Kemasik (Ir Rosli Othman) dan Air Puteh (Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar) untuk bertanding di kerusi tersebut manakala Setiausaha Politik Menteri Besar, Dato’ Wan Ahmad Nizam Abdul Hamid dicalonkan di DUN Cukai.

Menteri Belia dan Sukan, dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek dinamakan sebagai calon Parlimen Kemaman (penyandang kerusi berkenaan). Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka lapan Pusat Penamaan Calon di Terengganu pada hari penamaan calon pilihan raya ini.

Pusat berkenaan ialah Pejabat Daerah Besut bagi Parlimen Besut; Pejabat Daerah Setiu (Setiu); Majlis Sukan Negeri Terengganu (Kuala Nerus); Pejabat Daerah Marang (Marang) dan Pejabat Daerah Hulu Terengganu (Hulu Terengganu).

Pusat lain ialah Pejabat Daerah Dungun bagi Parlimen Dungun, Stadium Negeri Kuala Terengganu (Kuala Terengganu) dan Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (Kemaman).

Pada hari pernamaan calon, setiap bakal calon perlu menyerahkan kertas penamaan calon mereka kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya mulai jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya akan menyemak setiap kertas penamaan yang diterima dan akan mengisytiharkan calon-calon yang layak bertanding sebaik sahaja semua urusan selesai.

 

berita penuh

BN terus martabatkan pendidikan

Oleh; Esah Abdullah

Kerajaan yang diberi mandat akan meneruskan kecemerlangan pendidikan kerana menyedari hanya melalui pencapaian akademik sahaja berupaya mengubah landskap negeri.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, kerajaan amat menitikberatkan bidang pendidikan dan komitmen besar ini bertujuan mengangkat martabat pendidikan dengan melonjakkan pencapaian pelajar dalam semua peperiksaan awam.


“Hari ini apabila orang bercakap mengenai pendidikan, maka tidak dapat lari dari membayangkan kehebatan negeri Terengganu,” katanya ketika berucap di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Negeri Terengganu di Stadium tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Pengarah Pelajaran, Encik Zakaria Hussin dan Pengarah Yayasan Terengganu, Encik Zakaria Yusof.

Katanya, agenda ‘Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’ menyaksikan kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam bidang pendidikan sebagai nilai tambah kepada pelajar.

Selain itu katanya, sistem pendidikan negeri juga kini meneroka era baru dan menjadi perintis kepada penggunaan komputer di sekolah. 

“Kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan kecemerlangan pendidikan berterusan bagi mengekalkan Terengganu sebagai negeri Anjung Ilmu,” katanya.

Pada majlis sama Menteri Besar telah menyampaikan replika cek Bantuan Khas kepada 493 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah menengah dan rendah seluruh negeri berjumlah RM493,000. Setiap PIBG menerima RM1,000.

Turut menerima penghargaan kerajaan ialah pelajar-pelajar cemerlang dalam SPM dan STPM yang masing-masing menerima wang tunai RM500 serta sebuah komputer riba.
 

berita penuh

PRU13: Dato' Che Mat yakin sentuhan peribadi tawan pengundi

Oleh: Aida Abd Rahman

Faktor sentuhan peribadi dan kemesraan yang terjalin sejak sekian lama dengan warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Burok menjadi asas utama mengukuh keyakinan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Che Mat Jusoh untuk merampas semula kawasan itu dari pembangkang.

 “Saya sudah lama di sini, saya dapat merasakan kemesraan dengan penduduk menerusi `personal touch’ yang sedia terjalin itu. Jadi sepanjang kempen nanti, saya sudah tidak lagi perlu memperkenalkan diri kerana boleh dikatakan semua pengundi termasuk kanak-kanak sudah mengenali saya.

“Sekarang ini, hanya bergantung kepada pengundi dan saya berharap mereka dapat menilai setiap kebajikan dan bantuan yang disediakan Kerajaan BN selama ini,” katanya.

Dato’ Che Mat Jusoh juga tidak membezakan lebih 28,000 pengundi sama ada penyokong BN mahupun Pas berikutan mereka dilayan sama adil dan pengagihan bantuan disampaikan kepada semua individu yang layak.

“Saya lihat sokongan dari akar umbi, semua kelihatan seronok dan amat membanggakan saya setakat ini. Apabila malam tadi saya memasuki kampung dengan jentera pilihan raya, yang muda-muda bertanyakan siapa calon, jika saya tidak bertanding, mereka mahu tutup markas (tidak mahu sokong).

 “Ini satu petanda yang baik dan bukan bermaksud saya tidak sokong orang lain (calon BN), tapi suara (kehendak) dari bawah, “ katanya. Menurutnya, penduduk sudah menerima pelbagai manfaat hasil keprihatinan kerajaan selama ini, berbanding tiada bantuan yang sewajarnya diberikan wakil rakyat Pas sepanjang menawan DUN itu.

Katanya, bukan sahaja peruntukan RM1 juta setahun untuk membaik pulih rumah, penduduk turut menerima bantuan lain yang tidak putus-putus seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia, bantuan 10 buah rumah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) setahun yang bernilai RM44,000 seunit dan bantuan segera seperti kebakaran serta banjir.

 “Selain itu, segala bentuk bantuan untuk menjalankan perniagaan seperti mesin jahit, mesin membuat kuih, oven dan sepatutnya dengan apa yang sudah kita laksanakan ini rakyat tidak lagi memilih parti lain.

“Jadi, saya yakin boleh memenangi DUN ini, sebab pembangkang pun tidak mesra rakyat, tidak masuk kampung melainkan apabila hampir dengan PRU ini baru hendak masuk kampung. Saya harap rakyat fahahm dan sedar perkara ini,” katanya.

Dato’ Che Mat pernah bertanding kerusi BN pada PRU11 menentang Wan Abdul Muttalib Embong (Pas) dan tewas dengan hanya 140 undi.

 

berita penuh

Senarai nama calon BN yang akan bertanding PRU13

Berikut adalah senarai penuh calon BN Terengganu seperti yang diumumkan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said di Seri Iman pada 16 April lalu.

Senarai calon PRU 13 ini merupakan gandingan muka baru dan lama dengan adunan pelbagai latar belakang.

Mereka termasuklah kalangan agama, profesional, pentadbir, pendidik dan usahawan yang diharap mampu mencorakkan kerajaan negeri yang dapat berperanan lebih berkesan untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri. Senarai Penuh Calon BN Terengganu PRU-13.

P33 Besut – Idris Jusoh
- Kuala Besut – A Rahman bin Mokhtar
- Kota Putera – Muhammad Mahdi bin Musa
- Jertih – Mohd Pehimi bin Jusoh
- Hulu Besut – Nawi bin Mohd

P34 Setiu – en Mohd Zulkifli bin Jusoh
- Jabi – Mohd Iskandar bin Jaafar
- Permaisuri – Mohd Jidin bin Shafie
- Langkap – Sabri bin Mohd Nor
- Batu Rakit – Bazlan bin Abdul Rahman

P35 Kuala Nerus – Mohd Nasir bin Ibrahim Fikri
- Tepuh – Muhammad Ramli bin Hj Noh
- Teluk Pasu – Abdul Rahin bin Mohd Said
- Seb. Takir – Ahmad Razif bin Abdul Rahman
- Bkt Tunggal – Ismail bin Nik

P36 Kuala Trg – Mohd Zubir bin Embong
- Wkf Mempelam – Wan Mahyuddin bin Wan Ngah
- Bandar Toh Chin Yaw
- Ladang –Wan Mohd Farid bin Wan Salleh
-Batu Buruk – Che Mat bin Jusoh

P37 Marang- Yahya bin Khatib Mohamad
- Alor Limbat – Alias bin Abdullah
- Bkt Payung – Zaidi bin Muda - Ru Rendang- Nik Dir bin Nik Wan Ku - Peng. Berangan – A Latiff bin Awang

P38 Hulu Trg – Jailani bin Johari
 - Telemong- Rozi bin Mamat
- Manir – Yusuf bin Awang Hitam
- Kuala Berang- Tengku Putera bin Tengku Awang
- Ajil – Razali bin Taib

P39 Dungun – Rosli bin Mat Hassan
- Bkt Besi – Rosli bin Daud
- Rantau Abang- Zaaba bin Mohd Adib
- Sura – Zakariah bin Ali
- Paka – Matulidi bin Jusoh

P40 Kemaman – Ahmad Shabery bin Cheek
 - Kemasik – Rosli bin Othman
- Kijal – Ahmad bin Said
- Chukai – Datuk Wan Ahmad Nizam bin Wan Hamid
- Air Putih – Wan Abd Hakim bin Wan Mokhtar

 

berita penuh

Kerajaan negeri anjur pertandingan gamelan Melayu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu akan menganjurkan Pertandingan Gamelan Melayu Peringkat Kebangsaan 2013 di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu selama dua hari bermula 20 April ini.

Objektif utama pertandingan tersebut adalah sebagai satu wadah untuk memartabatkan seni gamelan Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.


Sebanyak dua segmen utama dipertandingkan iaitu Gamelan Melayu Tradisional dan Gamelan Melayu Kreatif dimana setiap kumpulan yang bertanding diwajibkan membuat persembahan bagi kedua-dua segmen tersebut.

Selain itu, pertandingan tersebut juga mewujudkan peluang kepada pencipta, penggubah muzik serta pencinta gamelan Melayu menonjolkan hasil ciptaan dan gubahan lagu-lagu tradisional mereka untuk disebarkan kepada orang ramai.

Hadiah wang tunai RM10,000 untuk juara, naib juara (RM8,000), ketiga (RM5,000) dan RM3,000 untuk persembahan terbaik kumpulan menanti pemenang pada pertandingan tersebut.

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato’ Haji Mazlan Ngah dijangka bakal menyempurnakan majlis perasmian penutup serta penyampaian hadiah pertandingan itu nanti.

 Dianggarkan lebih daripada 300 orang pengamelan akan terlibat dalam pertandingan berkenaan.

 

berita penuh

Rakyat perlu ingat zaman hitam Pas

Oleh: Gelombang biru 

 Rakyat digesa agar mengingati dan menilai semula kerenah yang dilakukan oleh pemimpin Pas ketika parti itu memerintah Terengganu selama satu penggal antara tahun 1999 hingga 2004.

 Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Calon BN Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh berkata, perkara itu dibangkitkan semata-mata untuk mengingatkan semula rakyat parti manakah yang benar-benar menjaga dan mengutamakan rakyat.

 Katanya, ketika itu, walaupun kalah dan gagal memerintah negeri, pemimpin Umno tetap meneruskan kerja mereka sebagaimana sebelumnya tetapi sebaliknya berlaku kepada pemimpin Pas.

"Pemimpin UMNO tetap menjenguk dan menjaga rakyat meskipun kalah tetapi lihatlah pemimpin Pas, mereka menghilangkan diri dan hanya muncul semula menemui rakyat menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

 "Jangan mudah tertipu dengan pemimpin pembangkang yang kini giat masuk kampung dan menabur pelbagai janji jika menang pilihan raya umum kali ini," katanya.

 Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, perbezaan itulah yang perlu dinilai oleh rakyat dalam memilih parti yang mampu menjaga mereka sama ada susah atau senang dan bukannya memilih waktu.

Katanya, kini banyak janji ditabur oleh pemimpin Pas tetapi rakyat perlu berani bertanya sama ada janji-janji yang pernah mereka buat jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu sudah ditunaikan atau sebaliknya.

 Menurutnya, rakyat juga perlu bertanya di manakah pemimpin Pas berada dan mengapa mereka tidak mengambil tahu penyokong dan pengikut mereka yang menghadapi masalah setelah kalah pada pilihan raya umum lalu.

 "Berbeza dengan pemimpin Umno walaupun kalah, boleh ditemui pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Mereka bersedia membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira fahaman politik," ujarnya.

 Sehubungan itu, Idris berharap apa yang berlaku selama tempoh Pas memerintah Terengganu itu dijadikan iktibar dan peringatan supaya tidak berulang lagi kerana banyak mendatangkan kesusahan kepada banyak pihak.

 

berita penuh

PRU13: Bersatu hati demi tebus kekalahan PRU12

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyeru semua jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu bersatu hati, berpadu tenaga dan membuang rasa amarah supaya dapat menebus kembali kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.

 “Rezeki (dicalonkan) ini ditentukan oleh Allah s.w.t,. Mungkin hari ini adalah rezeki mereka yang berdiri di hadapan tuan-puan ini untuk menjadi calon. Mungkin juga esok giliran tuan-puan di hadapan saya pula untuk berdiri di sini.


“ Insya-Allah dengan semangat dan keikhlasan semua pihak dan jentera parti, kita mampu untuk mencipta kemustahilan dengan memenangi semua DUN dan Parlimen Kuala Terengganu,” katanya di Majlis Temu Mesra Calon-Calon Parlimen Kuala Terengganu dengan semua jentera pilihan raya parlimen, di Perkarangan Pejabat Umno DUN Ladang, semalam.

Hadir sama, calon Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong; Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf mempelam); Dato’ Toh Chin Yaw (Bandar); Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ladang) dan Dato’ Che Mat Jusoh (Batu Buruk).

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sekiranya semua pihak akur dan redha dengan ketentuan Allah s.w.t,, pastinya akan dapat membuang rasa tidak puas hati dan amarah serta mengikat semula hubungan persaudaraan dan bersatu demi mempertahankan maruah dan perjuangan parti.

Majlis turut dihadiri hampir 2,000 petugas jentera termasuk parti komponen dilihat sebagai petanda awal bahawa Kuala Terengganu mampu ditawan semula dari tangan Pas.

Malah, kebanyakan petugas jentera parti memberi keyakinan bahawa inilah masanya paling tepat untuk membuktikan kerja-keras dan semangat perjuangan demi agama, bangsa dan negara dapat dizahirkan dengan kejayaan mengekalkan DUN Bandar, selain merampas semula Parlimen Kuala Terengganu, DUN Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk pada PRU13 ini.


berita penuh

18 April 2013

Jentera BN janji tawan semula Parlimen Kuala Terengganu

Barisan Nasional Kuala Terengganu mengadakan Majlis Temu Mesra Calon-Calon Dalam Parlimen Kuala Terengganu dengan semua jentera pilihanraya parlimen tersebut, semalam.

Majlis yang diadakan di Perkarangan Pejabat Umno DUN Ladang telah dihadiri oleh semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).



Mereka ialah Haji Mohd Zubir Embong (Parlimen Kuala Terengganu), Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (DUN Wakaf Mempelam), Dato’ Toh Chin Yaw (Bandar), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ladang) dan Dato’ Che Mat bin Jusoh (Batu Buruk).

Turut sama di dalam majlis tersebuat ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Kuala Terengganu.

Menteri Besar dalam ucapannya menyeru semua jentera di Parlimen Kuala Terengganu untuk menebus kembali kekalahan pada pilihan raya lalu.

Beliau menegaskan bahawa hanya dengan bersatu dan membuang rasa amarah barulah parti dapat diselamatkan.

“Rezeki ini ditentukan Allah, mungkin hari ini adalah rezeki mereka yang berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan ini untuk menjadi calon. Mungkin esok giliran tuan-puan di hadapan saya pula untuk berdiri di sini. Insyaallah dengan semangat dan keikhlasan, tuan-puan mampu untuk mencipta kemustahilan dengan memenangi keseluruhan DUN dan Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.

Majlis yang dihadiri hampir 2000 orang jentera termasuk parti komponen itu dilihat sebagai petanda awal bahawa Kuala Terengganu akan kembali berada di tangan Barisan Nasional.

Rata-rata jentera yang ditemui juga memberi keyakinan bahawa mereka telah bersedia menawan kembali Kuala Terengganu.

berita penuh

LUASNYA...KERAJAAN PAS LULUSKAN 4 000 HEKTAR ATAU 10 RIBU EKAR KAWASAN BALAK HUTAN DARA KEPADA NEP

Ingat dok lagi... semasa berkuasa Kerajaan Pas melalui mesyuarat Exconya yang dipengerusikan oleh Presiden Pas Dato’ Seri Haji Hadi Awang pada tahun 2000 meluluskan sehingga 10 ribu ekar atau 4 000 hektar kawasan balak di Hulu Dungan (Sungai Paka, Besol) kepada syarikat North East Plantations (NEP).

Pengerusi syarikat itu ialah Datuk Hishamudin Yahya yang juga waktu itu adakah Pengerusi akhbar Harakah. Berdasarkan rekod, syarikat itu ditubuhkan dengan modal berbayar RM3 dan modal dibenar RM1 juta.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia waktu itu, Datuk Seri Law Hieng Ding berkata, projek pembukaan kawasan hutan itu tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Petroelum, Perindustrtian dan Sumber Manusia waktu itu, Dato’ Mustaffa Ali berkata, kelulusan itu kerana kerajaan negeri tidak berhasrat mengamalkan asobiyyah sempit meluluskan projek hanya kepada orang Terengganu sahaja.


“Bukan sikap orang Terengganu mempunyai sikap sedemikian rupa, apa yang kita mahukan siapa sahaja boleh memajukan negeri ini,” katanya ketika berucap menggulung perbahasan Ucapan Belanjawan 2002 mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Hadi.


 

berita penuh

Yusof Awang Hitam calon pilihan

 Oleh: Suriati Ali 

 Calon muka baru Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir Yusof Awang Hitam sememangnya sudah lama dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) .

 Beliau yang memilki sifat mudah mesra, pemurah, suka membantu dan tidak pilih bulu dalam menghulurkan sumbangan mahupun bantuan sememangnya dianggap calon pilihan penduduk setempat.

 Yusof Awang berkata, pemilihannya sebagai calon kawasan berkenaan merupakan kepercayaan dan harapan yang diberikan pucuk pimpinan kepadanya dalam misi merampas DUN Manir.

“Harapan ini pastinya digalas sebaik mungkin dan saya tidak akan mensia-siakannya kerana mengetahui rakyat sudah jemu dengan karenah pembangkang.

“Pengalaman menjadi Pegawai Pegawai Pembagunan DUN selama ini dilihat menjadi satu kelebihan untuk memikat hati rakyat supaya berubah dan bersama BN,” katanya

Beliau yakin penggunaan slogan `Manir Berubah Jika Manir Menang’ mampu menambat hati rakyat untuk merampas kembali Manir yang hampir 26 tahun diwakili pembangkang

“Walaupun Manir dikatakan sebagai antara kubu kuat pembangkang di Terengganu, namun tidak menjadi penghalang buat saya untuk berjuang habis-habisan.

“Merampas kembali DUN Manir daripada tangan pembangkang bukan perkara mustahil ,” katanya

 Pada PRU12 lalu, menyaksikan calon Pas , Dato’ Harun Taid berjaya mempertahankan kerusi DUN Manir dengan majoriti 432 undi mengalahkan calon BN, Wan Sagar Wan Embong, manakala PRU11 pada 2008, sebanyak 301 majoriti undi. Berdasarkan rekod, kerusi DUN Manir mula ditakluki pembangkang (Pas) sejak PRU8 pada 1990 lalu dan sehingga kini, ia masih menjadi kubu kuat Pas.

 


berita penuh

PRU13: BN akan pecah rekod Pas di Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) akan memadamkan rekod dicatatkan oleh Pas yang menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam selama 32 tahun pada PRU Ke-13, 5 Mei ini.

Keyakinan itu dilontarkan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, 51, selaku calon BN yang memikul tanggungjawab merampas DUN itu dari pembangkang.

 “Saya yakin bahawa iklim politik di Wakaf Mempelam kian berubah secara beransur-ansur sejak lima tahun lalu apabila rakyat yang selama ini terlalu yakin dengan watak wakil rakyat Pas yang kononnya mengutamakan perjuangan Islam, hakikat sebenar gagal membela kebajikan mereka sepanjang memegang mandat itu.


“Rakyat di DUN ini mula sedar dan sudah boleh membezakan pemimpin yang mana harus mereka pilih dan sokong bagi memastikan nasib mereka terbela. Bukannya terus membiarkan Pas berkuasa sejak tujuh PRU lalu namun mengabaikan mereka,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Kelab wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama calon Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong dan DUN Ladang, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Haji Wan Mahyuddin berkata, pembangkang yang sering menyalahgunakan sentimen agama termasuk berhubung isu kalimah Allah, solat orang Umno tidak sah dan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia umpama memberi makan kepada haiwan, turut menyinggung perasaan penyokong Pas sendiri.

 Menurutnya, perjuangan agama yang kian keluar dari landasan sebenar itu menyebabkan semakin ramai rakyat tidak menyebelahi Pas dan mula menerima usaha dilaksanakan kepemimpinan BN negeri dan Pusat.

Katanya, sikap mengambil berat dan keprihatinan BN menangani masalah rakyat dari setiap aspek terutama kebajikan dan kesihatan juga membuka mata penduduk untuk menyokong BN sekaligus menzahirkan sokongan pada hari pembuangan undi nanti.

 “Saya sendiri turun menghantar cek bantuan kepada pesakit dan penerima dana Tabung Penyakit Kronik berjumlah RM10 juta yang disediakan Kerajaan BN.

“Sekurang-kurangnya pesakit dan keluarga mereka sedar kita sebagai kerajaan yang benar-benar membela nasib mereka selama ini, bukan sekadar bercakap dan bersyarah seperti pembangkang namun tidak bertindak. Masakan untuk bertindak, wakil rakyat Pas pun tidak pernah menjenguk rakyat yang memerlukan perhatian,” katanya.



berita penuh

Pergaduhan Pas, PKR rebut kerusi makin parah

PERGADUHAN pembahagian kerusi antara Pas dan PKR semakin ketara di negeri ini dengan tindakan tiga wakil Pas di tiga Dun berasingan mendesak Pas Pusat dan Perhubungan Pas Negeri meletakkan calon Pas di kerusi Dun Bandar, Seberang Takir dan Bukit Besi.

Bantahan terhadap calon PKR di tiga-tiga kerusi itu dibuat oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Bendahari MTD Seberang Takir, Mohd Nordin Mahmood dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Dungun, Naraza Muda yang turut mewakili suara di peringkat Dun masing-masing.

Bagi wakil Dun Bandar dan Seberang Takir, kedua-duanya berkeras dengan pendirian untuk menolak calon PKR kerana mendakwa potensi kemenangan lebih besar dengan meletakkan calon Pas, manakala wakil Bukit Besi, Naraza berlembut sedikit untuk menerima calon PKR sekiranya yang diturunkan itu diterima rakyat dan bukannya calon ‘bidan terjun’.

“Kami yang mewakili Pas Dun Bukit Besi, Seberang Takir dan Bandar mendesak supaya Pas Pusat dan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu membenarkan calon Pas bertanding di kerusi N25, N11 dan N14.

“Kami menolak calon daripada PKR yang bersifat bidan terjun kerana tiada gerak kerja dan hubungan dengan jentera Pas yang telah lama bertapak di Dun tersebut,” jelas ketiga-tiga wakil terbabit pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Terengganu, di sini, semalam.

 Sidang media itu dibuat beberapa jam sebelum pengumuman calon PKR yang mengesahkan akan bertanding di tiga kerusi dinyatakan itu.

Ditanya lanjut mengenai desakan terlibat, ketiga-tiganya tidak menganggap desakan itu memberi kesan terhadap kerjasama antara Pas dan PKR kerana mereka mempunyai hak bersuara selagi masih ada ruang.

 Sementara itu, Mohd Nordin berkata, pihaknya tidak menerima calon PKR kerana mendakwa tidak berwibawa dan cuba ‘mengimport’ calon dari luar.

Bukan itu sahaja katanya, kewujudan PKR di Seberang Takir seolah-olah tidak wujud dan tiada sebarang cawangan atau ranting PKR ditubuhkan di kawasan itu sebagaimana disahkan Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Mohamad sebelum ini.

 “Memang tiada cawangan jadi macam mana kita nak beri kepada orang yang tiada cawangan untuk bertanding. “Kita sudah buat perbincangan dengan Setiausaha (PKR Terengganu), Wan Bukhari sebanyak dua kali supaya berbincang di peringkat negeri tetapi senyap seribu bahasa.

 “Masa Anwar pergi ke Teluk Ketapang, kita bagi memorandum padanya, minta dia cuba menilai berdasarkan pada 2008 (PKR) tidak boleh buat kerja.

 Cuma masa itu, kita dalam kalangan penyokong Pas bantu juga, sokong dia. Jadi untuk PRU kali ini, kita minta dia serah juga kawasan itu pada kita,” katanya.

Bagi Ahmed Shah, beliau berkata, pengundi jelas mahukan calon Pas di kerusi Dun Bandar dan mendakwa sekiranya membiarkan PKR bertanding sudah tentu memberi kemenangan mudah kepada MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN).

 

berita penuh

Bekas wakil BN tanding Bebas hanya spekulasi - MB

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) Terengganu menganggap desas-desus beberapa bekas wakil rakyat negeri ini akan bertanding atas tiket parti Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi melemahkan jentera BN.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan memantau perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

 “Kita tengoklah pada hari penamaan calon pada Sabtu ini, apakah benar-benar ada ahli Umno yang akan jadi calon Bebas,” katanya kepada pemberita di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, hari ini.


 Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus kononnya beberapa Parlimen dan DUN bakal ditandingi calon Bebas terdiri daripada bekas wakil rakyat BN sebagai tanda protes calon BN yang diumumkan Rabu lalu.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada ahli-ahli Umno dan semua parti komponen BN agar tidak berpaling tadah dengan cara bertanding atas tiket parti Bebas pada PRU13 kerana mereka akan menghadapi tindakan tatatertib.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib, termasuk memecat keahlian mereka kerana perbuatan tersebut jelas melanggar arahan parti dan BN.

“Kalau memang benar terbukti ada ahli Umno yang menjadi calon bebas untuk bertanding di mana-mana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka akan dikenakan tindakan oleh parti.

 “Saya tidak boleh buat apa jika mereka ambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas, itu hak mereka tapi sepatutnya sebagai seorang Islam mereka perlu terima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka,” katanya.

 



berita penuh

Dato' Tengku Putera anggap rezeki tanpa duga

Oleh: Suriati Ali 

 Pencalonan kembali Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Dato' Haji Tengku Putera Tengku Awang dalam arena Pilihan Raya Umu Ke-13 (PRU13) boleh dibaratkan sebagai rezeki tanpa duga memandangkan pada PRU12 nama beliau telah digugurkan.

 Dato’ Haji Tengku Putera yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu di calonkan bagi menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang itu nyata menepati ramalan ramai. Berdasarkan rekod lalu, beliau pernah memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU11 dengan majoriti undi 7,760 apabila berjaya menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid.

Dato’ Haji Tengku Putera berkata pencalonan kembali namanya dalam senarai PRU13 dianggapkan sebagai rezeki memandangkan pada PRU12 nama tidak senaraikan.

 “Walaupun tidak tercalon pada PRU sebelum ini, namun saya masih membantu dan melakukan kerja-kerja parti seperti biasa kerana rutin itu sudah sebati dengan diri saya yang hampir 30 tahun terlibat dalam bidang politik,”katanya

 Bapa kepada enam anak itu turut berazam akan mengalas tanggungjawab yang diamanahkan pucuk pimpinan BN Pusat dan negeri sebaik mungkin selain tidak mahu mensia-siakan harapan rakyat bagi melihat Kuala Berang terus membangun.

Pemilihan Dato’ Haji Tengku Putera menyaksikan penyandangnya sebelum ini Mohad Zawawi Ismail yang menang dengan majoriti 1,592 undi di kerusi itu digugurkan.

 Sementara itu, tiga muka baru bagi kerusi dalam Parlimen Hulu Terengganu iaitu Datuk Jailaini Johati (Parlimen); Yuso Awang Hitam (Manir) dan Ghazali Taib (Ajil) menyifatkan pemilihan mereka sebagai calon diamanahkan pucuk pimpinan.

Bagi calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, beliau mahu memastikan agenda BN untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar diberi tumpuan.

 Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berkata beliau akan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang ada hasil bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta sebelum ini untuk terus mencurah bakti kepada masyarakat.

 Calon DUN Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang pula menyifatkan pengumuman 18 calon muka baharu BN negeri ini untuk PRU13 bakal memberi lembaran baharu dalam memperkasa jentera BN.

 

berita penuh

PRU13: Pegawai kanan kerajaan indikator BN beri khidmat terbaik

Oleh: Sutera Biru

Pendekatan Barisan Nasional (BN) Terengganu menampilkan beberapa calon di kalangan muka baharu yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dilihat antara indikator yang mampu memberi kelebihan kepada BN bagi memastikan rakyat mendapat informasi tepat mengenai dasar kerajaan, selain menyalurkan perkhidmatan terbaik menerusi pengalaman di bidang masing-masing.

Parlimen Kuala Terengganu menampilkan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji  Mohd Zubir Embong, 49, sebagai calon yang dijangka paling tepat untuk menawan semula Parlimen itu dari tangan Pas.



Haji Mohd Zubir tekad untuk memastikan kesinambungan memartabatkan pendidikan semasa Terengganu diteruskan sebagaimana pernah dilaksanakan bekas Ahli Parlimen lalu, Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran (2004).

"Saya menyertai JPNT pada tahun 1996 dan ketika itulah bermulanya cabaran untuk memastikan Terengganu yang menduduki tempat ke-11 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melakukan pelbagai transformasi.

 "Hasilnya kini Terengganu berjaya muncul negeri nombor satu dalam beberapa peperiksaan utama negara dan InsyaAllah kita akan bekerja keras memastikan Terengganu terus menjadi negeri anjung ilmu,"
katanya.

Beliau juga mahu memastikan Kuala Terengganu akan muncul sebagai bandar raya yang bukan hanya pesat dari sudut pembangunan fizikal, malah tidak ketinggalan untuk terus merekodkan kecemerlangan dalam pembinaan modal insan yang berkualiti di peringkat global.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar yang mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi berjanji membawa perubahan jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Calon muda berusia 38 tahun itu diwajibkan melepaskan jawatan sebelum PRU13 pada 5 Mei ini berazam menggunakan pengalaman semasa berkerja dan arena politik khususnya kepimpinan Pemuda Umno untuk memastikan kemenangan BN.

"Saya berasa insaf dengan amanah cukup berat bagi membawa arus perubahan di DUN Jabi khususnya  suara anak muda dan seluruh penduduk untuk memastikan Jabi tidak lagi jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan fizikal dan melahirkan modal insan yang cemerlang.

"Pengalaman berkhidmat dengan jabatan kerajaan serta aktif dalam politik akan saya adunkan untuk mencapai hala tuju memperjuangkan agama, bangsa dan negeri serta negara amnya," katanya.

Bagi calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu Dato' Jailani Johari, pula akan memberikan tumpuan untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar sebagaimana hasrat kerajaan.

Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berkata pengalaman dan kepakaran sepanjang bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta akan memudahkan beliau mencurah bakti kepada masyarakat.

Manakala calon DUN Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang, bekas pendidik pula menyifatkan pengumuman 15 calon muka baharu BN negeri ini untuk PRU13 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkasa jentera BN.

"Semua pembangunan yang dilaksanakan BN selama ini akan diteruskan dengan lebih cemerlang andainya rakyat memberi mandat besar pada PRU13 ini," katanya.

Bagi Hakim Mahkamah Sesyen di Jalan Duta Kuala Lumpur, Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu) juga akan memastikan masalah tempatan di kawasannya nanti akan diselesaikan sekiranya diberikan mandat itu oleh pengundi.

"Saya hanya anggota biasa dalam Umno dan bukan orang politik. Walaupun saya di Kuala Lumpur, saya masih ambil tahu apa juga perkembangan di Setiu melalui kawan-kawan.

"Walaupun agak terkejut, namun saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam pilihan raya kali ini yang pastinya akan menentukan kelangsungan nasib bangsa, agama dan negara," katanya.


berita penuh