Halaman

27 April 2013

CALON N 32 AIR PUTEH



CALON N 31 CHUKAI



CALON N 30 KIJAL



CALON N 29 KEMASIK


CALON P 040 KEMAMAN





Rakyat Hulu Terengganu tiada alasan tolak BN

Oleh: Suriati Ali

Pengerusi Bariasan Nasional (BN) Terengganu , Dato’ Seri Haji Ahmad Said menegaskan rakyat di kawasan Hulu Terengganu tidak mempunyai alasan dan sebab untuk menolak BN pada hari pengundian 5 Mei ini

 Katanya ini kerana prestasi cemerlang kerajaan BN sudah terbukti menerusi pelaksanaan pelbagai janji termasuk pembinaan prasarana asas, sukan dan pelancongan yang memberi manfaat kepada rakyat.

 “Masih banyak lagi yang sedang dan akan dilaksana jika BN terus menerajui Terengganui,” katanya kepada pemberita ketika Lawatan Sehari dan Turun Padang Bersama Rakyat di sekitar Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu pembangunan pesat di Tasik Kenyir selain pembangunan yang sedang dilakukan, BN Terengganu merancang membina tiga hotel dengan 750 bilik di kawasan tumpuan pelancong itu bagi menarik lebih ramai pengunjung.

 "Kita sasarkan dua juta pelancong ke Tasik Kenyir setahun," katanya.

 Pada pilihan raya kali ini BN tampilkan calon baru Datuk Jailani Johari bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu sementara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula ditandingi Rozi Mamat (Telemong), Yusof Awang Hitam (Manir), Dato’ Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang), dan Ghazali Taib bagi kerusi DUN Ajil.

 Sementara itu, kerusi Datuk Jailani berkata, dia mahu memastikan agenda BN untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar diberi tumpuan

 “Menggunakan pengalaman dan kepakaran yang ada hasil bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta sebelum ini untuk terus mencurah bakti kepada masyarakat,” katanya yang juga bekas Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

 Manakala calon DUN Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang pula menyifatkan pengumuman 15 calon muka baru BN oleh pucuk pimpinan baru-baru ini, bakal memberi lembaran baru dalam memperkasa jentera BN

 

26 April 2013

PRU13: BN yakin menang

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said yakin BN mampu mengekalkan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berdasarkan perkembangan dan penilaian semasa.

"Kita yakin menang kerana setakat lima hari ini saya dah turun di tiga bahagian sebelah utara iaitu Besut dan Setiu. Setakat ini tiada masalah..Insya-Allah kita boleh menang 10-0 di sana. Di Rhu Rendang, kita dimaklumkan setakat ini persaingan sengit antara kedua-dua parti.

"Di Hulu Terengganu, kita dimaklumkan baik..BN berpeluang menang di tiga DUN iaitu Telemong, Kuala Berang dan Ajil, manakala di Manir peluang ketika ini hampir 50-50," katanya kepada pemberita selepas menikmati sarapan bersama rakyat di Marang Waterfront, hari ini.

Beliau turut menyampaikan bantuan am bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 141 penerima baru di Marang.

Menteri Besar turut mengingatkan rakyat berpolitik secara rasional dan aman mengikut proses demokrasi bagi mengelak kejadian buruk seperti insiden keganasan sepanjang kempen PRU13, seperti yang dilaporkan di Pulau Pinang dan Perak.

“Kita harap tiada keganasan melibatkan bom dan sebagainya di Terengganu. Tapi keganasan kecil masih berlaku seperti pukul dan diharap kita lebih rasional. Lepas ini kita jumpa pula, nanti kalau lepas ni balas dendam pula.

“Sebab itu kita minta kita berpolitik ikut proses demokrasi dan melakukan mengikut proses undang-undang. Tiada seorang pun akan terlepas dari tindakan undang-undang jika terbukti bersalah,” katanya.

Beliau berharap semua pihak tanpa mengira mana-mana penyokong parti mengelak kejadian tidak diingini, selain meminta penyokong BN mengamalkan kesederhanaan sebagai menggambarkan perjuangan parti.


PRU13: Isu hudud gimik politik Pas

Oleh: Aida Abd Rahman

Pas yang ketandusan isu dilihat terus memainkan isu hudud sebagai gimik politik pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), sedangkan mereka sendiri tidak mampu melaksanakannya, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

"Hudud ini sudah lama diperkatakan dan Pas cakap nak laksanakan, ia bukan isu yang baru. Tetapi dia sendiri tak mampu buat..ia hanya gimik politik setiap kali pilihan raya..belum sampai masanya hendak dilaksanakan di Malaysia, bukan kita menolak hudud,” katanya kepada pemberita selepas menikmati sarapan bersama rakyat di Marang Waterfront, hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut menyerahkan bantuan bulanan am Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada 141 penerima baru di Marang, di Balai Raya Kampung Paya.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.

Menteri Besar menyifatkan isu hudud sudah lapuk dan tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN pada PRU13 termasuk di kawasan dikenali sebagai kubu pembangkang. Katanya, rakyat kini semakin sedar, Pas hanya tahu memainkan isu politik, sedangkan BN yang melakukan pelbagai pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi bagi membantu rakyat di seluruh Terengganu termasuk Marang.

Beliau yang juga Pengerusi BN Terengganu berkata, Kerajaan BN tidak pernah mengenepikan rakyat yang tahu berterima kasih kepada kerajaan khususnya mereka yang sudah menzahirkan sokongan pada setiap kali pilihan raya umum.

“Kebanyakan rumah yang hendak runtuh, kebanyakan rumah orang Pas. Itu hakikat. Sebab biasanya kalau orang Umno apabila hadir mesyuarat parti mereka akan minta bantuan dari kerajaan. Orang Pas hendak minta mereka malu.

“Orang kita tahu sajalah, apabila tidak pernah sokong kita dan tuduh macam-macam, kita manusia biasa. Sebab itu kita minta mereka berubah, dia sokong kita, kita berilah. Itu baru adil namanya. Apa adil, adil bererti memberi dan menerima. Dia kata kita tidak adil sebab tidak bantu dia. Tapi sebenarna kita tidak adil sebab dia tidak bantu kita. Baru seri,” katanya.

Katanya, contohnya DUN Rhu Rendang yang dipegang Pas sejak 31 tahun lalu gagal mendapat pembelaan wakil rakyatnya, Presiden Pas, dato' Seri Abdul Hadi Awang menyebabkan kawasan itu merekod kadar kemiskinan kira-kira 20 peratus dan antara yang termiskin di Terengganu.

Oleh itu, beliau meminta rakyat perlu melakukan perubahan dengan memilih BN jika mahu melihat transformasi dan rakyat mendapat pembelaan sewajarnya dari Kerajaan BN.

"Kita cuma minta sokongan, bukan minta pergi berperang..takkan tak pangkah Pas boleh jadi kafir..syurga neraka bukan hal kita..ini soal salah tanggapan dalam Islam..Islam dimainkan oleh pemimpin Pas sendiri menyebabkan rakyat keliru.

"Nak samakan Pas adalah Islam, Islam adalah Pas, itu tak sama..Pas adalah parti, Islam itu agama..itu yang kita perlu faham," katanya.


Pendekatan ziarah rumah ke rumah calon BN Kota Putera


Mahdi melawat seorang pelajar IPTA yang sakit

Oleh: Mohammad Ishak

 “Mudah Baso Sene Kiro” slogan yang digunakan oleh calon baru Barisan Nasional (BN) Kota Putera, Mohd Mahdi Musa, menampakkan kesan kepada beliau apabila turun padang mendekati pengundi di kawasan berkenaan.

Nama mesra panggilan “Abang Adi” memulakan langkah menjengok rakyat bagi menambat hati pengundi menyokong BN tidak disia-siakan apabila gerak kerja itu mendapat sambutan penduduk di DUN Kota Putera.

Sebagai orang baru, kata Mahadi beliau masih belajar dengan orang yang lebih arif untuk mendampingi rakyat supaya mudah mesra dengan orang bramai.

Beliau yang sentiasa merendah diri kerap turun padang bersama isteri dan petugas parti memperkenalkan diri kepada pengundi di DUN Kota Putera.

“Jika minggu pertama beliau mendapat sedikit protes daripada ahli parti tetapi sekarang Alhamdulilah perjalanan saya sudah masuk gier empat,”katanya.

Mahdi yang Ketua Pemuda Umno Besut yang dicalonkan parti akan ditentang oleh calon PAS Adam Mat Said.

Sebagai anak watan di DUN berkenaan beliau tidak menghadapi masalah untuk berhadapan dengan pengundi kerana lebih ramai yang mengenali keluarganya sebagai “Musa Air Batu”.

Ketika ini beliau memberi tumpuan kepada lawatan rumah ke rumah dan menemui penduduk termasuk menziarah yang uzur dan terlantar sakit, selain menemui komuniti dan nelayan.

CALON N 20 PENGKALAN BERANGAN




Bekas calon BN tetap setia

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Proses penamaan calon pada 20 April lalu mengesahkan desas desus kononnya bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bakal bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hanya direka pihak tertentu yang bertujuan melemahkan jentera BN.

Kini terbukti tidak ada seorang pun daripada mereka yang telah digugurkan daripada senarai nama calon BN pada PRU13 yang mengemukakan borang pencalonan di mana-mana pusat penamaan calon di negeri ini.

Malah, semua bekas wakil rakyat BN hadir di pusat penamaan calon Parlimen masing-masing bagi memberi sokongan kepada mereka yang diberi amanat untuk bertanding atas tiket BN.

Sebaliknya, sebahagian besar kerusi Parlimen dan DUN di Terengganu yang melibatkan pertandingan tiga penjuru menyaksikan pakatan pembangkang masing-masing meletakkan calon mereka kerana tidak puas hati dengan pembahagian kerusi antara Pakatan Rakyat (PR).

Pada PRU13 yang ditetapkan 5 Mei depan, dua kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN di Terengganu menyaksikan pertandingan tiga penjuru manakala yang lain pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan PR.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ketika diminta mengulas desas desus kononnya bekas wakil rakyat BN akan bertanding atas tiket Bebas kerana tidak puas hati mereka digugurkan, menyifatkannya sebagai spekulasi golongan tidak bertanggungjawab yang mahu melemahkan jentera BN sahaja.

 Pemerhati politik berpendapat berdasarkan nama-nama yang bertanding atas tiket Bebas di negeri ini sama ada di kerusi Parlimen mahu pun DUN, tidak akan mengugat kedudukan BN.

Malah, mereka berpandangan di beberapa kawasan pula kehadiran calon Bebas memberi peluang lebih besar kepada calon-calon BN untuk menang kerana akan berlaku masalah pecah undi.

Kehadiran calon bebas di kebanyakan kawasan di negeri ini berlaku disebabkan rasa tidak puas hati dengan pembahagian kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan meletakkan calon bebas itu sengaja dilakukan pihak tertentu sebagai tanda protes kepada pemimpin Pas dan Parti Keadilan Rakyat berhubung keputusan meletakkan calon PR.

Kawasan yang melibatkan pertandingan tiga penjuru itu membuktikan tidak wujud persefahaman antara PR berhubung pembahagian kerusi menyebabkan parti-parti pembangkang akan berlawan sesama sendiri pada pilihan raya kali ini.

 Masalah ini berlaku sejak dulu lagi dan ia pasti akan memberi kelebihan kepada calon BN untuk menang dengan lebih selesa.

CALON N 19 RHU RENDANG




Anwar penghancur segalanya, pemusnah perpaduan Melayu dan Malaysia

Oleh: Puteri Limbong 

 Kalau adalah sebarang gelaran yang layak diberikan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka ia pastinya ‘Pemusnah Perpaduan Melayu dan Malaysia”.

 Selepas memecah belahkan Umno, Anwar kini begitu ligat berusaha untuk menghancurkan Pas pula dalam erti kata lain, menjadikan Pas mengikut acuannya dengan menghilangkan identiti Islam dalam parti itu.

Ini kerana, mereka sangat profesional. Sifat keislaman dalam parti itu menebal satu masa dahulu di samping bersifat penyabar dan memaafkan memang sebahagian daripada lambang dan identiti parti berkenaan.

 Ini kerana Pas begitu mengutamakan ciri-ciri dan ajaran Islam dalam perlaksanaan banyak perkara.


Namun, semua sifat keislaman dalam Pas itu semakin hilang kerana dari sebuah parti yang menjadikan ketinggian syiar Islam sebagai hala perjuangannya, kini ia menjadikan kuasa pula sebagai hala tuju mutlak perjuangannya.

Semua ini bermula sejak Anwar mula mencampuri dan mencatur pergerakan parti itu secara perlahan-lahan.

Kekuatan pengaruh Anwar dalam Pas sampaikan organ rasmi parti itu, Harakah pun sedikit masa dahulu dilabel sebagai lidah rasmi Anwar dengan memaparkan berita Anwar sahaja di muka hadapan.

Dan disebabkan Anwar inilah, hari ini Pas mendiamkan diri atas pelbagai perkara yang mungkin suatu masa dahulu merekalah di hadapan untuk menyanggahnya.

 Seorang ahli politik Cina membaca al-Quran dengan salah dan dengan niat politik (bukan dengan niat untuk mendalami agama suci itu), dipuji oleh ahli-ahli Pas. Hari ini Pas berpecah belah pun kerana campur tangan Anwar.

Yang menyedihkan, campurtangan munafik seekor ini membawa Pas ke arah Islam liberal. Takut di bawah fahaman liberal ini kelak, Pas akan hancur terus dan tidak lagi menjadi menjadi parti Melayu yang memperjuangkan Islam.

Ia akan hanya jadi parti Melayu yang memperjuangkan kuasa semata-mata.

Bila kumpulan-kumpulan ini yang mula menang dan kumpulan ulamak dalam Pas tersisih, maka tidak hairanlah jika parti itu mula menuju ke arah kejahilan.

Anwar sebenarnya sudah berjaya membentuk Melayu liberal yang menolak perkara-perkara seperti Islam itu adalah agama rasmi, bahasa Melayu bahasa rasmi dan beberapa kelebihan dan hak kecil yang masih dimiliki Bumiputera.

Kedudukan bangsa sudah beliau musnahkan, agama pun sudah mula dimusnahkan, yang tinggal hanyalah kemusnahan negara ini pula.

Anwar menggnggu keseimbangan sistem yang telah berpuluh tahun terbukti sebagai berkesan dalam sosio politik negara ini. Bila munafik bergerak bebas dalam negara ini, maka kehancuranlah yang akan tiba tidak lama lagi.


CALON N 18 BUKIT PAYONG




Jangan balas susu dengan tuba

Oleh; Esah Abdullah

Janganlah susu yang diterima dibalas dengan tuba sebaliknya bersyukur dengan apa yang telah disumbangkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini.

 “Wajarkah kerana mendengar guruh dilangit, air tempayan mahu dicurahkan,” kata mantan Setiausaha Kerajaan Dato’ Haji Mohktar Nong kepada Teganukita.

Beliau yang juga Ahli lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abdin (UniSZA) merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSZA Holding Sdn Bhd ditemui di majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Quinara Al Safir, Tok Jembal semalam.

 “Saya terpanggil untuk mengingatkan kepada semua rakyat di negeri ini khususnya kepada penjawat awam agar memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada kepimpinan hari ini, bagi meneruskan tradisi membela rakyat,” katanya.

Katanya, peristiwa 1999 hingga 2004 harus dijadikan tauladan dan jangan mengulangi kesilapan lalu hingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi negeri kita, “ katanya

 “Setelah pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat bagi memastikan mereka mendapat kehidupan yang sempurna, sanggupkah kita membalas dengan tuba setelah menerima susu yang diberikan,” katanya.

 

CALON N 17 ALOR LIMBAT





CALON P 037 MARANG





HARGAI KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN

OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN

Suatu perkara yang kurang kita hargai atau terlupa di atas apa yang sedang kita nikmati sekarang ialah keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan.

Ini disebabkan kita telah berada di zon selesa, membuatkan ramai di kalangan kita lalai, leka dan tidak memberi perhatian terhadap perlunya tiga elemen penting itu dipelihara.

Bagi memastikan kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan terus dapat kita nikmati, ia memerlukan pendekatan yang bersepadu serta rakyat yang lebih prihatin dan peduli kepada keluarga, jiran-jiran, rakan-rakan dan kepada masyarakat seluruhnya.

Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab mempertahankan apa yang sedang kita nikmati ini kepada pihak berkuasa tanpa sumbangan kita sebagai rakyat yang mempunyai peranan masing-masing.

Jika kita membiarkan pihak tertentu yang yang mahu menjatuhkan kerajaan yang ada semata-mata kerana mahu berkuasa tanpa mengambilkira keselamatan dan kestabilan negara sebenarnya kita sedang mengundang petaka dan penderitaan.

Pilihan raya yang diadakan bukanlah bermakna untuk memperjudikan nasib bangsa, tetapi mengekalkan keamanan dan nikmat kesejahteraan juga adalah tujuan dan matlamat pilihan raya. Pilihan raya juga memberi peluang kepada rakyat untuk menolak golongan yang cuba menimbulkan huru-hara dan menimbulkan suasana yang mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Kalau kita tidak segera menghalang golongan yang tidak menghargai apa yang sedang dinikmati sekarang, sebenarnya akan hanya menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan bersama, termasuk anak cucu, pewaris kita di masa akan datang.

Rakyat di negara ini, terutama umat Islam amat bertuah kerana dapat hidup di dalam negara yang mencipta kejayaan berterusan dan sentiasa dilimpahi rahmat kejayaan, walaupun dunia keliling dilanda pelbagai kemelut politik dan ekonomi.

Hari ini kita dapat menyaksikan bagaimana kemelut politik melanda negara-negara di benua Asia dan Afrika, kita dapat menyaksikan bagaimana negara-negara di benua Eropah dan Amerika yang dianggap sebagai negara maju pun ditimpa krisis ekonomi yang kronik akibat kegagalan mengurus negara dengan baik.

Kita juga telah menyaksikan kegagalan ini telah memberi kesan yang buruk kepada kesejahteraan rakyat di negara mereka apabila kadar pengangguran semakin meningkat, penciptaan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi serta pertumbuhan yang rendah telah menyebabkan taraf dan kualiti hidup rakyat merudum.

Namun kita di negara dan negeri ini hidup dengan makmur dan sejahtera, penuh dengan nilai-nilai kebajikan, kecaknaan dan kemesraan kerajaan dan rakyat.

Kalaulah hilang kerajaan ini, jangan mengharapkan lagi suatu kestabilan dan kemakmuran yang sedang kita nikmati sekarang ini di bawah kepimpinan yang berteraskan kepentingan dan keselamatan rakyat dan negara.

Kita perlu bersyukur, Malaysia telah mencipta kejayaan berterusan sebagai sebuah negara majmuk yang dirahmati dengan perpaduan nasional.

Kita mempunyai tradisi meraikan kepelbagaian agama, budaya dan bangsa, kepelbagaian yang di negara lain menjadi punca perpecahan, tetapi di negara ini menjadi pemangkin kemajuan hasil kerjasama erat kerajaan dan rakyat.

Hakikatnya kini, rakyat Malaysia hidup di dalam sebuah negara di mana keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran merupakan realiti,bukan semata-mata harapan apatah lagi impian indah.

Oleh itu tidak sebab kita mahu mencuba sesuatu yang belum pasti dan belum tentu, mengundang risiko yang amat tinggi.

Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman, rakyat hidup dalam kemesraan dan kasih sayang.

Sebuah negara di mana rakyatnya berasa aman dan selamat- sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia

 

ISU: ISLAM DAN PERANAN KERAJAAN BN

OLEH: RUSLAN ABDUL RAHMAN

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mempertahan dan mengembangkan syiar Islam yang menjadi teras kepada perpaduan ummah di negara ini.

Pimpinan kerajaan menjadikan matlamat untuk menegak, mempertahankan dan mengembangkan Islam sebagai prinsip perjuangan parti.

Sikap pemimpin-pemimpin kita yang sangat istiqamah dalam mempertahankan kesucian Islam walaupun diasak pelbagai dugaan, namun kedudukan Islam terus terpelihara.

Di Terengganu misalnya sebanyak 63 buah masjid baru telah dibina di Terengganu melibatkan peruntukan kira-kira RM315 juta sejak kerajaan Barisan Nasional mengambil alih pemerintahan negeri itu lapan tahun lepas.

Malah dalam tempoh lima tahun yang lalu, kerajaan negeri membina sebanyak 13 buah masjid baru, 23 buah masjid dalam pembinaan dan pengubahsuaian.

Sedangkan perkara ini tidak dilakukan oleh kerajaan sebelumnya, walau pun melaung-laungkan perjuangan Islam.

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Mohd Rozali Saleh berkata, secara keseluruhannya kini terdapat sebanyak 492 buah masjid di seluruh negeri ini termasuk yang telah dinaik taraf.

Setiap sebuah masjid berkenaan dianggarkan bernilai antara RM4 hingga RM8 juta bergantung kepada kecil atau besar sesebuah masjid berkenaan.

Tahun ini sahaja kerajaan negeri akan membina tiga buah masjid baru iaitu Masjid Paya Pelandang di sini, dan dua lagi di Kuala Terengganu iaitu Masjid Darat di Batu Rakit dan Masjid Kampung Kebur Air di Manir.

Kerajaan negeri dan pusat memberi perhatian serius terhadap perkembangan syiar Islam dengan menyediakan peruntukan yang besar bagi mewujudkan pejabat-pejabat agama yang baru di setiap daerah di seluruh negeri.

Pejabat-pejabat agama di daerah-daerah dulunya begitu daif dan ketinggalan zaman.

Ia telah dibina baru dengan melibatkan peruntukan antara RM3.5 juta dan RM5.5 juta setiap sebuah. Pejabat Agama Daerah Setiu masih lagi dalam pembinaan manakala pejabat agama daerah Marang kini sudah siap sepenuhnya.

Hakikat sebenar yang tidak boleh kita nafikan ialah bahawa kerajaan yang ada pada hari ini amat memberi perhatian terhadap pembangunan keIslaman.

Justeru itu, adalah menjadi tugas semua kalangan umat Islam supaya sama-sama meningkatkan syiar Islam dan menjauhi perbuatan-perbuatan yang boleh menyesatkan, termasuklah menjauhkan diri dengan ajaran-ajaran yang boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam.

Begitu juga kita, umat Islam hendaklah sama-sama membanteras amalan dan gaya hidup bebas yang tidak berakhlak dan menyimpang dari ajaran Islam.

Setiap orang di kalangan umat Islam mempunyai tugas yang sama penting dengan kerajaan untuk menangani kecelaruan akidah dan perkara yang boleh meruntuhkan akhlak seperti agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang cuba merosakkan dan memecahbelahkan umat Islam.

 Untuk tegakkan syiar Islam, kerajaan Barisan Nasional juga telah membangunkan institusi seperti masjid, surau, lantik imam, ambil guru agama dan bagi latihan yang secukupnya kepada pendakwah.

Institusi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di peringkat pusat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam, Yayasan Islam juga membantu pendidik dan pendakwah selain kerajaan turut membiayai kegiatan berasaskan agama Islam dan menyediakan segala bentuk sokongan yang diperlukan.

Kerajaan yang kita miliki sekarang ini mampu melakukan pelbagai program berteraskan Islam kerana ia mengiktiraf Islam sebagai agama persekutuan yang mana pencapaian ini tidak mampu dilakukan di negara lain.

Kedudukan Islam di negara kita adalah terjamin dalam Perlembagaan Malaysia. Malaysia dihormati oleh negara Islam lain kerana sentiasa menegakkan syiar Islam selain sering dijadikan contoh berhubung kaedah menguruskan pelbagai kaum dan agama.

Oleh itu, jika ada pihak yang cuba menafikan hakikat ini dan menjanjikan yang lebih Islamik, itu hanyalah retorik atau janji-janji kosong sahaja.

Contohnya, mereka menuduh kononnya kerajaan mengamalkan riba, maksiat dan sebagainya sekadar untuk menyedap kata tanpa melihat kepada fakta yang sebenar.

Semasa mereka berkuasa di Terengganu satu pajak gadai Islam pun tidak dibina malah di bawah kekuasaannya beberapa buah pajak gadai riba dengan pemberian kelulusan premis telah wujud.

Namun di bawah kerajaan negeri hari ini, di bawah pimpinan Barisan Nasional telah membina pajak gadai Islam di setiap daerah.

Marilah kita menolak golongan yang hanya memperalatkan nama Islam untuk kepentingan politik sempit dan agenda peribadi.

Marilah kita menolak golongan tertentu yang sanggup mengenepikan perpaduan dan memutuskan hubungan silaturrahim, malah sanggup mengkafirkan orang sesama Islam.

Berwaspadalah dengan orang yang bercakap tentang agama Islam, tetapi di sebaliknya mempunyai agenda politik dan ketamakan kuasa yang melampaui batasan agama.

Bantu dan dokongilah kerajaan masa kini yang terang dan nyata telah meletakkan Islam yang terjamin dalam perlembagaan, menegakkan syiar Islam dan membangunkan umat Islam menuju kejayaan dan kecemerlangan.


 

Hulu Terengganu kubu BN

Oleh: Mastura Jamaluddin

 “Pertahankan apa yang ada, tambah majoriti dan tawan kembali DUN Manir pada pilihan raya kali ini. Apa yang penting adalah kesepakatan antara kita semua kerana sepakat membawa berkat,” demikan pesanan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, ketika berucap pada Program Pemimpin Turun Padang, di HUlu Terengganu, semalam.

 Beliau menekankan supaya semua pihak harus memberi kerjasama kepada calon dan mempertahankan mereka serta jangan sesekali ada di antara jentera parti yang menjadi petualang dan merosakkan bangsa sendiri.

Katanya, sebagai orang Islam semua pemimpin Umno dan jentera parti perlu redha dengan ketentuan Tuhan dan semua pihak haruslah menerima dengan hati yang terbuka dengan pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kali ini.

 “Walaupun calon bertukar ganti, tetapi perjuangan parti tetap diteruskan bagi memastikan BN terus berkuasa di negeri ini,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah calon Parlimen Hulu Terengganu, Dato Jailani Johari; calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Haji Rozi Mamat; Encik Yusof Awang Hitam (Manir); Dato Tengku Putera Tengku Awang (Kuala Berang) dan Encik Ghazali Taib (Ajil).

 Dato’ Seri Ahmad berkata, pilihan raya ini merupakan masa yang terbaik untuk bekerja dan Jalinan Rakyat(JR ) umpama semut merah yang merayap sepanjang masa ke seluruh pelusuk daerah demi parti BN.

Beliau berharap agar JR dapat melaksanakan tugas masing-masing kerana Islam mengajar bahawa setiap zarah kebaikan akan dibalas dengan kebaikan.

 “Setiap JR haruslah bersabar dan banyakkan berdoa sewaktu bertugas dari rumah ke rumah sepanjang tempoh berkempen.

 “Kita punyai perancangan yang besar untuk menjana pendapatan dari pelancongan terutama di Tasik Kenyir melalui Pulau Bebas Cukai dan juga kita akan membina mini stadium yang merupakan satu-satunya di negeri Terengganu yang menggunakan padang rumput tiruan di daerah Hulu Terengganu, tidak lama lagi,” katanya.

324 individu terima bintang, pingat darjah kebesaran

Oleh: Suriati Ali 

 Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dikurniakan Darjah Kebesaran Kerabat Terengganu Yang Amat Mulia Darjah Pertama (D.K), mengetuai barisan penerima bintang dan darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Ke-51 Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

 Sultan Terengganu berkenan mengurniakan darjah kebesaran tersebut dalam istiadat di Istana Bukit Chendering yang dijadualakan pada 7 Julai depan.

 Manakala tiga penerima Darjah Kebesaran Mahkota Terengganu Yang Amat Dihormati Peringkat Yang Pertama Seri Paduka Mahkota Terengganu (S.P.M.T) yang bergelar Dato’ ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Haji Ismail Omar dan Panglima Tentera Darat Malaysia, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin.

Dua penerima Peringkat Yang Ketiga Dato’ Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (D.S.M.Z) yang juga membawa gelaran Dato’ ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Dato’ Mohd Yazid Mustafa dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Mohamad Salleh.

 Manakala 13 menerima Peringkat Yang Kedua membawa gelaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang juga bergelar Dato’ ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Za’abar Mohd Adib; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris dan Ketua Pengarah Biro Tata Negara, Datuk Raja Arif Raja Ali.

 Penerima lain ialah Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Che Abd Rahim Nik; Pengarah Jabatan Kerja Raya Terengganu, Haji Shafii Mohamad dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Anwa Sulaiman.

 Diikuti Pengarah Akademi Pencegahan Rasuah, Abdul Wahad Abdul Aziz; Timbalan Ketua Pengarah Risda (Pembangunan), Mohamat Muda; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Negeri Terengganu, Nor Akmal Abdul Fatah dan Pengarah Kanan Jabatan Dakwah, Pendidikan dan Pengurusan Halal, Hajah Puan Samsiah Awang.

Turut menerima, Naib Yang DiPertua Perkaya, Haji Harun Hassan dan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mahamed Anwar Omar Din. Kesemua penerima itu adalah sebahagian daripada 324 penerima bintang dan pingat sempena Ulang Tahun Ke-51 Keputeraan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Selain itu menerima enam individu menerima Bintang Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (S.M.Z); 21 penerima Setia Mahkota Terengganu (S.M.T); 26 penerima Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin (A.M.Z); 36 penerima Ahli Mahkota Terengganu (A.M.T). Manakala penerima Pingat pula ialah enam invidu menerima Pingat Jasa Cemerlang (P.J.K); 18 penerima Bintang Lama Berjawatan; 169 penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) dan 23 penerima lagi memproleh Pingat Lama Berjawatan.

 

25 April 2013

UniSZA jalin kerjasama majukan sektor pelancongan

Oleh; Esah Abdullah

Usaha bersepadu atau ‘Total Integrated Approached’ (TIA) perlu dibangunkan dengan lebih terancang untuk penambahbaikan memajukan sektor pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, TIA adalah suatu strategi yang akan mengambilkira pembangunan lestari dan didokongi semua pihak.

“Titik permulaan usaha ke arah itu telahpun dimulakan oleh UniSZA Holding melalui anak syarikatnya UniSZA Tourism yang mengadakan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kepada pelancong dan penyediaan tempat penginapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Perasmian Khidmat Percuma kepada Pengusaha Penginapan Pelancongan dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara UniSZA Holding dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal hari ini.

Teks beliau telah disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah UniSZA (LPU), Dato’ Haji Mokhtar Nong.

Katanya, YPU sebagai sebuah badan yang ditubhkan oleh kerajaan maka penglibatannya bersama UniSZA Tourism di dalam projek pelancongan semestinya memberi impak yang positif.

Menurutnya, kerjasama ini tentunya akan melonjakkan lagi mutu perkhidmatan dan hebahan maklumat mengenai kesediaan sesebuah tempat penginapan pelancongan.

Tambahnya, perniagaan masa kini jauh berbeza dengan perniagaan 10 atau 20 tahun lalu, kecuali kita dalam kelompok yang sudah berpuas hati dan merasa cukup dengan apa yang ada serta tidak perlu berfikir untuk membuat penambahbaikan dengan apa yang ada sekarang.

“Kita sekarang berada di dunia tanpa sepadan, maklumat bergerak dalam tem;poh yang paling singkat dan pembeli membuat keputusan berpandukan maklumat yang didapati melalui internet,” katanya.

Sebagai contoh katanya, hari ini orang tidak lagi menggunakan agen tempahan apabila mahu membeli tiket kapal terbang sebaliknya semua boleh dibuat sendiri menggunakan sesawang internet.

“Kita biasa mendengar cerita bahawa suatu produk itu mendapat lonjakan apabila ia dipromosikan melalui internet dan ini dapat dilihat kuasa internet adalah suatu yang tidak boleh kita pinggirkan,” katanya.

Tan Sri Alimuddin berharap kerjasama yang dilakukan ini akan memberi impak besar kepada sector pelancongan di Terengganu.
 

UniSZA ceburi perniagaan hartanah

Oleh; Esah Abdullah

UniSZA Holding Sdn Bhd akan menceburi bidang perniagaan hartanah bagi mengelak Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) daripada terlalu bergantung kepada bidang akademik sebagai sumber pendapatan.

Pengarah Urusan UniSZA Holding, Dato’ Prof Dr Sudin Haron berkata, setiap universiti perlu mencari sumber pendapatannya sendiri dengan menubuhkan UniSZA Holding Sdn Bhd.

Katanya, UniSZA Holding yang baru ditubuhkan pada September tahun lalu dengan mempunyai lima anak syarikat iaitu UniSZA Properti (pembangunan hartanah) UniSZA Trading, UniSZA Bioteknologi, UniSZA Konsultansi dan UniSZA Tourism.

“Sebagai permulaan UniSZA Holding akan membina 14 buah banglo di kawasan kampus university itu Besut dalam masa terdekat dan banglo ini akan dijual kepada kakitangan UniSZA sendiri dengan harga RM300,000 sebuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Perasmian Khidmat Percuma kepada Pengusaha Penginapan Pelancongan dan Majlis Menandatangani Persefahaman (MoU) antara UniSZA Holding dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) di Quinara Al Safir Resort, Tok Jembal hari ini.

Hadir sama, Ahli lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dato’ Haji Mokhtar Nong; Pemangku Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA), Dr. Nik Wan Nik Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik.

 Selain itu katanya, turut merancang membina 1,000 unit kuarters untuk pelajar di Tembila Besut. Manakala melalui UniSZA Tranding pula akan menjalankan perniagaan yang mampu memberi pulangan kepada pihak universiti .

Menurutnya, kewujudan UniSZA Holding adalah sebagai pelengkap dalam dunia perniagaan dan bukan pesaing kepada peniaga sedia ada tetapi bertindak membantu usahawan meneroka bidang baru serta bergerak seiring dengan UniSZA.

Katanya, termeterainya MoU ini UniSZA dan YPU akan bekerjasama memajukan bidang pelancongan di negeri ini dan akan membina webside bagi memudahkan pelancong dan orang ramai boleh membuat tempahan penginapan secara talian terus.

 

CALON N 24 AJIL




CALON N 23 KUALA BERANG



CALON N 22 MANIR





BN gempur Marang

Oleh: Gelombang Biru 

Barisan Nasional (BN) Terengganu kini giat menggempur kubu kuat Presiden Pas Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang di Marang dengan strategi ‘lima lawan satu’. Langkah itu diyakini mampu menguasai kerusi parlimen Marang dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan itu.

 Melihat senario Pas di kawasan itu, ia diakui semakin lemah oleh ramai pihak kerana Presiden Pas sendiri terpalit dengan beberapa isu sensitif, termasuk berkaitan Amanat Haji Hadi, Isu Kalimah Allah serta tindakan Pas bergabung dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

 Tidak ketinggalan, masalah moral ekoran pendedahan video yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustaffa Ali.

Ketua Umno Bahagian Marang, Dato’ Yahya Khatib Mohamed yang juga calon BN untuk kerusi parlimen itu, berkata menerusi strategi berkenaan, fokus utama ialah menyingkirkan sokongan kuat rakyat terhadap Haji Hadi di kawasan itu.

 “Kami semua akan bersatu dalam penjuangan murni ini selain tidak jemu turun padang bagi mengetahui isi hati rakyat, kepada mereka yang susah, kita hulur bantuan.

 “Berazam kepada penduduk apa yang dijanjikan dalam manifesto akan dilaksanakan jika diberi mandat. “Oleh itu, rakyat di peringkat akar umbi, penyokong BN diseru memberi sokongan penuh kepada calon Parlimen Marang,” katanya.

Pencalonan semula, Alias Abdullah di kerusi N17 Alor Limbat dan tiga muka baru iaitu Zaidi Muda di N18 Bukit Payong; Nik Dir Nik Wan Ku (N19 Rhu Rendang); dan A. Latif Awang (N20 Pengkalan Berangan) dilihat mampu memberi peluang cerah kepada BN Marang untuk menyapu bersih kelima-lima kerusi.

Dato’ Haji Yahya berkata pemilihan calon BN terbabit adalah berdasarkan kehendak masyarakat setempat yang mahukan pemimpin mesra rakyat, mudah didekati dan dihubungi selain bersungguh-sungguh mahu membawa pembangunan di Marang.

“Dalam hal ini ia amat berbeza dengan pakatan pembangkang yang kononnya sepakat tetapi dalam soal agihan kerusi telah menunjukkan bahawa mereka tidak sepakat.

“Apabila ada di antara pemimpinnya saling mencalonkan nama anggota masing-masing untuk bertanding di sesuatu kawasan sehinggakan ada kawasan yang ada dua calon berbeza sama ada dari parti yang sama atau anggota pakatan yang berlainan,” katanya.

 

PRU13 : Tolak Pas demi kekuatan Islam

Oleh: Aida Abd Rahman

Umat Islam di negara ini wajib menolak Pas kerana bersekongkol dengan DAP yang cuba membawa kerosakan dan perpecahan di kalangan masyarakat Islam, dengan memilih Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei ini.

Pengerusi Pondok-Pondok Negeri Kelantan, Haji Abdullah Saamah, berkata menurut ijma’ ulama ahli sunah wal jamaah haruslah sentiasa memelihara kebaikan Islam itu supaya berkekalan, aman dan ketinggian darjat orang Islam terjamin, bukan menjalinkan kerjasama dengan golongan yang membawa anasir jahat seperti liberalisme, pluralisme dan LGBT.

“Dalam ijma’ ulama, disyaratkan supaya ketua negara yang tertinggi umpamanya seperti negara kita ditadbir oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang merupakan seorang muslim dan tidak murtad, tidak pluralisme.

 “Ketua-ketua tertinggi seumpama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan ketua-ketua pemimpin Umno dan semua `Hang Tuah’ kita yang bersama dengannya. Itu ijma’ ulama,” katanya ketika menyampaikan ceramah isu semasa di Kampung Losong Haji Mat Shafei, malam tadi.

Turut hadir, calon BN Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah.

Haji Abdullah yang juga Pengasas Madrasah An-Najmiyyah, Tumpat berkata, apabila bukan Islam mahu merampas dan menerajui pentadbiran negara, maka wajib semua umat Islam menolak golongan itu dengan melaksanakan fardu ain keluar mengundi pada PRU dengan apa cara sekalipun.

“Antara cara kita menolak pembangkang adalah kita bersatu- padu dalam PRU13 dengan semua yang yang mengundi wajib memilih Umno dan BN.

 “Kita menolak dan sama-sama berjuang dalam peperangan majazi dan bukan hakiki, kena berjihad, berperang dan menolak pembangkang berdasarkan nas al-Quran, hadis dan ulama,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin Pas bercakap dan berceramah berdegar-degar kononnya mempertahankan Islam tetapi pada masa yang sama menerima parti yang memperjuangkan liberalisme, pluralisme dan LGBT menjadi rakan baik dalam pakatan mereka, semata-mata mahu mencapai hasrat dan `kegilaan' mereka untuk menawan Putrajaya.

Menurutnya, berdasarkan kupasan sebalik perlembagaan Umno beliau melihat perjuangan pertubuhan Melayu itu bertujuan mempertahankan negara, keselamatan Islam, orang Islam dan ketuanan Islam bukan sepertimana pembangkang yang terlalu taksub menguasai Putrajaya sehingga terpesong dari perjuangan sebenar.

 “Dalam perlembagaan umno dan sejarah Malaysia, muka surat 4 dan 5, fasa pertama menyatakan nama Umno, kalau diterjemahkan kepada bahasa Melayu kita, ertinya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. 

“Itu nama sahaja , tidak jadi kafir dan fasik lagi.. semata-mata nama sahaja. Kalu dajal sekalipun, sekadar nama dajal tidak menyalahi dan jatuh kafir lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan lantang mengatakan Umno menolak Islam kerana namanya `pertubuhan kebangsaan’, selain mengatakan Allah s.w.t tidak menerima solat orang Umno dan undi Pas menjaminkan syurga.

Beliau berkata, selepas bersama Pas kira-kira 40 tahun, beliau mengambil keputusan `berhijrah’ selepas mendapati banyak penyelewengan dibawa Pas khususnya bersekongkol dengan parti bukan Islam sperti DAP yang jelas  memperjuangkan unsur tidak sihat serta boleh memecahbelahkan umat.

“Saya menjelajah seluruh Malaysia bagi menyelamatkan negara kita, menyelamatkan semua dari terlucut ke tangan bukan melayu dan bukan Islam. Jika terlepas ke tangan mereka, negara akan emnjadi negara pluralisme, hancur semua masjid, surau dan tempat segala pusat pemngajian Islam, hancur semua ketinggian orang Islam.


CALON N 21 TELEMONG





CALON P 038 HULU TERENGGANU



24 April 2013

Hari mengundi diistiharkan cuti umum di Terengganu.


Menteri Besar Dato' Ahmad Said bersama calon Parlimen Setiu dan DUN Jabi

Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan Terengganu mengumumkan 5 Mei sebagai cuti umum sempena hari pembuangan undi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini keluar mengundi.

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said,berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Exco di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau mengumumkan demikian selepas merasmikan bilik Gerakan Jentera Barisan Nasional (BN) Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi dekat sini petang ini.

Hadir sama calon Parlimen Setiu,Mohd Zulkifli Jusoh, Calon DUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar dan bekas ADUN Jabi Ramlan Ali.

Ahmad berkata, berikutan cuti umum itu diharap rakyat Terengganu yang berada di luar negeri ini dapat pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

'Skuad Sayang' rayu undi BN

Oleh; Esah Abdullah

Skuad Sayang Pergerakan Wanita Umno Perhubungan Terengganu bergerak lebih 12 jam sehari mengunjungi rumah ke rumah setiap pengundi dari Besut hingga ke Kemaman.

Komandan Skuad Sayang Terengganu, Senator To’ Puan Hajah Zaiton Mat Amin berkata, terdapat kira-kira 300 wanita skuad sayang di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjalankan aktiviti kebajikan di kampung-kampung.

“Wanita membawa imej lemah lembut serta penyayang mendekati pengundi warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan golongan miskin sepanjang masa,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, selain menjejaki setiap tangga rumah pengundi, turut diadakan majlis sembang sayang bersama penduduk tempatan di kawasan terbuka serta salam sayang dengan pengisian bacaan yasin dan usrah.

Menurutnya, skuad ini telah mengerakkan jenteranya sejak awal tahun lalu dan ia diperhebatkan menjelang hari membuang undi. Namun begitu sebagai isteri dan ibu mereka dinasihatkan supaya meminta izin suami sebelum keluar rumah serta memastikan anak-anak berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan mereka di samping menyelesaikan kerja-kerja rumah terlebih dahulu.

 “Kepentingan keluarga tetap diutamakan, namun tanggung jawab kepada parti memerintah tidak mungkin diabaikan kerana ia membabitkan masa depan generasi akan datang,” katanya.

Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi, beliau yakin wanita mempunyai pengaruh tersendiri merayu pengundi supaya memilih Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan bangsa, agama dan negara.