Halaman

31 August 2013

Terengganu catat kelahiran 24 bayi

Menteri Besar dan isteri memotong kek meraikan bayi merdeka yang lahir di HSNZ.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Terengganu mencatatkan seramai 24 bayi selamat dilahirkan di hospital seluruh negeri ini ketika masyarakat menyambut Hari Kemederdekaan Ke 56.

 Berdasarkan bilangan itu, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatatkan bilangan kelahiran paling tinggi iaitu seramai 10 bayi diikuti Hospital Kemaman (5 bayi) dan Hospital Dungun pula 4 bayi.

To'  Puan Seri Hajah Norliza Mahmud memangku bayi pertama yang lahir selepas ambang merdeka ditemani Dato' Seri Haji Ahmad Said dan ibu bayi berkenaan.
Manakala Hospital Besut dan Hospital Setiu masing-masing (2 bayi) dan paling rendah Hospital Hulu Terengganu dengan bilangan seorang bayi.

 Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Muhammad Omar, berkata semua bayi yang dilahirkan sempena sambutan hari merdeka itu dicatatkan dalam tempoh 12 jam di mana catatan terakhir pada jam 12.00 tengah hari ini.

“Bayi paling awal selamat dilahirkan adalah di HSNZ pada jam 12.24 pagi tadi, dan kemungkinan ada beberapa lagi bayi bakal dilahirkan di seluruh Terengganu pada sambutan 31 Ogos kali ini,” katanya.


Sementara itu, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata masalah kesesakan pesakit terutama yang melibatkan kes bersalin di HSNZ dijangka dapat diselesaikan apabila Kompleks Pakar Materniti dijangka siap akhir tahun ini.

“Dengan tambahan katil di kompleks itu sebanyak 210 unit dan katil bersalin sebanyak 24 unit, insyaAllah masalah ini akan dapat diatasi.

 “Pada sama sama, kompleks itu juga dapat menyelesaikan masalah parkir di HSNZ apabila sebanyak 385 parkir dibina untuk kemudahan menempatkan kenderaan di bangunan lima tingkat berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas meraikan kelahiran bayi merdeka di HSNZ, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, To' Puan Norliza Mahmud bersama beberapa rombongan lain.

Dato’ Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri tumpang bangga di atas kelahiran bayi ketika masyarakat menyambut Hari Kemerdekaan Ke 56.

 “Diharapkan `bayi-bayi merdeka’ ini mendapat didikan yang sempurna daripada ibu bapa mereka di samping dapat mengerti apa itu kemerdekaan sebenar apabila dewasa kelak,” katanya.

 

berita penuh

Rakyat Terengganu turut raikan merdeka

Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Rakyat Terengganu turut memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan cara berkumpul bersama keluarga atau sahabat handai di sepanjang jalan di Bandar Kuala Terengganu bagi menyaksikan perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dalam perbarisan.

Orang ramai tidak mahu melepaskan peluang meraikan sambutan Hari Kemerdekaan dengan menyaksikan perarakan pembarisan.
Manakala sebahagian lagi penduduk negeri ini turut berada di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak awal pagi bagi menyaksikan sambutan tersebut yang diadakan bagi mengingati jasa pejuang tanah air bagi memerdekakan negara daripada belenggu penjajah.

Orang ramai yang juga terdiri daripada pelajar dan kanak-kanak melambaikan tangan dan memberi tepukan setiap kali kontinjen yang menyertai perbarisan lalu di hadapan mereka.




Majlis sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri bermula jam 7.35 pagi itu dengan acara pertama ialah upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada Menteri Besar oleh anggota simpanan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan diikuti upacara menaikkan jalur Gemilang.

Selepas Menteri Besar melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali, acara perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dimulakan.


Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pembesar negeri dan pemimpin kanan kerajaan.

Perarakan kontinjen yang mewakili pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan itu berakhir di Dataran Batu Buruk.



berita penuh

Usah bina tembok pemisah – MB

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said bersama barisan exco dan pegawai kanan kerajaan melaungkan Merdeka sebanyak tiga kali.
Oleh: Kamarudin Mat Akib
Gambar oleh Zulkipli Putra

Rakyat negeri ini diminta supaya tidak membina tembok pemisah akibat perbezaan politik hingga menyekat usaha menyatupadukan penduduk tempatan.

Perarakan dimulakan dengan pembawa Jalur Gemilang berarak dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah ke Batu Buruk.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sepatutnya perbezaan fahaman politik tidak perlu dijadikan alasan untuk rakyat berpecah belah hingga melemahkan bangsa, agama dan negara.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Terengganu mengambil semangat sambutan ulangtahun kemerdekaan negara ke-56 tahun ini, untuk kembali bersatu bagi mengukuhkan masyarakat dan negara.

Katanya, tema sambutan hari kebangsaan tahun ini ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' membawa erti yang besar dalam usaha memupuk semangat cintakan negara di kalangan semua bangsa.
Upacara menaikkan bendera Malaysia, Jalur Gemilang.
“Semangat cintakan tanah air perlu ada pada setiap individu tanpa mengira bangsa bagi menguatkan lagi kedudukan negara kita,” katanya ketika membacakan perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-56 peringkat negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hari ini.










Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zuber Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Haji Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 Peringkat Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang, pembesar negeri dan pemimpin kanan kerajaan.

Majlis tersebut yang bermula jam 7.35 pagi itu dimulakan dengan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada Menteri Besar dan diikuti upacara menaikkan jalur Gemilang.

Selepas Menteri Besar melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tiga kali acara perarakan kontinjen yang mengambil bahagian dimulakan.

 

berita penuh

Rombongan Huaxicun China lawat Bandaraya Kuala Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Rombongan Huaxicun, China yang membuat kunjungan hormat ke negeri ini baru-baru ini tidak melepaskan peluang melawat tempat-tempat menarik yang terdapat dalam Bandaraya Kuala Terengganu.

Hari terakhir berada di negeri ini, rombongan Huaxicun pada sebelah paginya telah membuat lawatan ke Istana Maziah. Di sana, sejarah berkaitan institusi kesultanan Terengganu serta peranan dan fungsi istana telah diterangkan kepada rombongan Huaxicun.




Selepas itu, rombongan Huaxicun menaiki beca daripada perkarangan istana untuk melawat pasar tersohor di Terengganu iaitu Pasar Payang yang terletak tidak jauh dari Istana Maziah.

Di Pasar Payang, kesempatan melihat kehalusan seni songket dan kraftangan, makanan popular Terengganu seperti keropok lekor, telur penyu serta pelbagai jenis buah-buahan yang tidak pernah dilihat, memberikan satu pengalaman baru kepada ahli rombongan.

Lawatan sehari tersebut tidak habis di Pasar Payang sahaja, malah rombongan Huaxicun turut di bawa melawat Taman Tamandun Islam yang terdapat di Pulau Wan Man. Rombongan berkenaan begitu teruja melihat keunikan monumen dan Masjid Kristal yang menjadi mercu tanda negeri Terengganu.

Dengan menaiki bot dari jeti Pulau Wan Man, perjalanan diteruskan ke Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) Tanjung Bunut, Manir untuk melihat proses pembuatan songket secara lebih dekat. Selepas itu, rombongan Huaxicun turut di bawa melawat Muzium Negeri Terengganu di Bukit Losong.

Di muzium, rombongan Huaxicun di bawa melihat bahan-bahan sejarah mengenai Negeri Terengganu yang begitu berharga seperti Batu Bersurat dan sebagainya.





 











berita penuh

Lebih 20 tahun tabur bakti

Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

SEKALIPUN hampir 30 tahun memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kamajuan Kampung (JKKK) namun beliau tidak pernah jemu dengan pelbagai masalah orang ramai malah dia akan terus berkhidmat untuk penduduk kampungnya selagi diberi kepercayaan untuk memegang jawatan terpenting diperingkat kampung itu.

Azimi Ali, 58, dari Kampung Wakaf Catur, Batu Rakit, Kuala Terengganu akan rasa gembira apabila setiap permasaalahan penduduk kampungnya dapat di selesaikan dan beliau menganggap tugas membantu masyarakat setempat sudah menjadi sebati dalam jiwanya kerana sudah memegang jawatan itu selama lebih 20 tahun.

“Saya menjadi Pengerusi JKKK pada usia 35 tahun dan berkhidmat kepada tiga wakil rakyat termasuklah yang terbaru memenangi pilihanraya baru-baru ini iaitu YB Bazlan. Selama lebih 20 tahun itu, saya melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dengan tugas saya itu,” katanya.

Azimi berkata, pengalaman paling manis baginya ialah apabila berjaya membantu penduduk untuk mendapatkan geran tanan kebun durian seluas 80 ekar pada tahun lalu selepas berusaha mendapatkannya selama enam tahun.

“Selama enam tahun saya berusaha untuk mendapatkan geran tanah itu dan akhirnya pada tahun lalu, usaha saya tidak sia-sia kerana mereka semua dapat hak milik tanah itu dan saya akan cuba menyelesaikan beberapa lagi masalah penduduk antara ialah ialah masalah perparitan untuk tanaman pada dan insya Allah ia akan diselesaikan,” katanya.

Azimi sedang meneliti borang permohonan di rumahnya di Kampung Wakaf Catur.


Azimi yang menjadi ahli ketika berusia 20 tahun itu, berkata, apa yang penting dalam tugas sebagai Pengerusi JKKK ialah keikhlasan dan kejujuran tanpa memikirkan kepentingan peribadi serta sentiasa berdampingan dengan penduduk .

“Saya akan rasa gembira apabila apabila penduduk tiada masalah yang wajar dan dengan mendampingi rapat dengan penduduk, mereka tidak rasa segan untuk menyampaikan permasalahan mereka kapada saya kerana saya adalah wakil kepada kepada wakil rakyat yang mempunyai tugas yang lebih besar,” katanya.

Azimi mula memegang jawatan dalam UMNO ialah sebagai Timbalan Ketua Cawangan pada usia 20 tahun selama lima tahun dan jawatan Ketua Cawangan juga selama lima tahun pada usia 25 sehingga sebelum menjawat jawatan Pengerusi JKKK pada usia 25 tahun.

“Selagi saya sihat dan disukai penduduk, selagi itulah saya akan terus pegang jawatan ini kerana tugas ini sudah sebati dalam jiwa saya,” katanya yang pernah memenangi anugerah JKKK cemerlang 2006 itu.

 

berita penuh

SELAMAT TINGGAL "KEPAYAHAN"...merdeka, merdeka, merdeka....



Teks dan gambar: Aminudin Ismail.


Beginilah keadaan sebuah rumah di Felda Chalok yang sudah diubahsuai.

KESUSAHAN hidup pada masa lalu berbanding pada hari ini, sememangnya dirasai oleh golongan berumur terutamanya mereka berusia 50 tahun dan ke atas tetapi tidak bagi golongan remaja dan belia kini yang dilahirkan dengan limpahan kesenangan akibat kemajuan pesat negara terutamanya remaja yang dilahirkan sekitar alaf baru.

Bagi peneroka Felda, kesenangan hidup yang mereka nikmati hari ini adalah bermula dari kesusahan yang mereka tempuhi ketika mula-mula meneroka tanah rancangan kira-kira 40 tahun lalu.

Selut lumpur yang mereka lalui dahulu kini dibayar dengan kehidupan yang jauh lebih baik berbanding dengan rakan-rakan yang tidak menyertai Felda.

Bagi beberapa peneroka di Felda Chalok Barat, Setiu, ketika di temui, kebanyakan mereka bersyukur dengan nikmat yang dlimpahkan dan menganggap usaha yang dilakukan Allahyarham Tun Abdul Razak adalah satu usaha murni yang perlu dihargai selama-lamanya.

Jika dahulu ketika mula-mula menyertai Felda, kehidupan mereka agak susah, daripada kira-kira 350 peneroka, hanya dua atau tiga peneroka yang memiliki kereta, 10 dan 15 orang memiliki motosikal dan yang selebihnya mengunakan basikal ataupun berjalan kaki untuk bergerak ke mana-mana.

Jalan masuk dari Sungai Lerek ke Felda Chalok Barat pula bertanah merah dan mereka akan berlumpur setiap kali musim hujan, bagi yang berbasikal mereka akan memikul basikal mereka untuk melepasi jalan yang becak.

Selepas lima tahun barulah jalan itu diletak batu sebelum ditar beberapa tahun kemudian.

Bekalan elektrik pula dibekalkan selepas tiga tahun, itupun elektrik 12 jam yang akan dihidupkan pada enam petang dan dimatikan tujuh pagi keesokannya.

Manakala hanya beberapa peneroka sahaja memiliki peti televisyen dan untuk menontonya dikenakan bayaran sekitar lima ataupun 10 sen, ketika itu paling popular ialah rancangan Tayangan Gambar Melayu.

Untuk mandi, penghuni rumah terpaksa berkongsi satu paip besar untuk enam keluarga, mereka terpaksa mandi awal supaya tidak berebut. Paip yang disalurkan ke setiap rumah hanya ada selepas kira-kira lima tahun menetap.

Pendapatan peneroka ketika itu, hanya lah RM70 sebulan dan mereka terpaksa keluar bekerja di tempat lain selama tiga tahun sebelum pokok getah mereka mengeluarkan hasil.

Selepas itu, barulah dirasai sedikit kesenangan, baru boleh beli motor baru, boleh beli peti televisyen dan keluar membeli belah di bandar berhampiran.

Masa silih berganti, “kesengsaraan dan kepayahan” yang mereka kecapi mula menampakan sinar.

Kehidupan sudah mula berubah sehinggalah ke hari ini tetapi tidak semua dapat menikmati kehidupan yang lebih sempurna itui kerana mereka terlebih dahulu pergi menyahut seruan ilahi.

Bagi yang masih hidup, mereka kini bukan seperti peneroka dahulu, mereka kini setanding dengan kakitangan kerajaan malah ada yang menjalani kehidupan lebih mewah kerana anak-anak semuanya sudah berjaya dan bergaji besar.

Rata-rata rumah peneroka sekarang sudah diubahsuai jauh lebih baik dan cantik dari dahulu malah ada yang mempunyai lima atau enam bilik dan berpagar batu berbanding rumah asal mereka yang diperbuat dari kayu yang mempunyai hanya dua bilik.

Rumah peneroka asal ketika mula-mula  masuk Felda.
Ada yang pakai Proton Preve, ada yang pakai Toyota baru, paling banyak ialah Proton Saga baru dan viva tidak kurang juga memiliki Toyota Hilux. Bagi yang mengamalkan hidup bersederhana mereka masih lagi mengunakan motosikal untuk bergerak ke mana-mana.

Terima kasih Felda, terima kasih kerajaan Barisan Nasional, itulah yang diungkapkan oleh beberapa peneroka yang ditemui.

Walaupun kehidupan mereka tidak semewah ahli perniagaan tetapi rata-rata mereka berpuashati dengan apa yang diperolehi kerana mereka mungkin berkata,“Kalaulah aku tidak berada di Felda agaknya aku tidak dapat mengecapi kehidupan sebagaimana sekarang.”

Selamat menyambut kemerdekaan yang ke 56, semoga negara kita akan terus kekal aman dan makmur serta menjadi semua negara maju menjelang 2020.



berita penuh

Lebih 5,000 penduduk meriahkan sambutan ambang merdeka

Oleh: Aida Abd Rahman

Lebih 5,000 penduduk seluruh Terengganu membanjiri Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kemerdekaan ke-56 2013 di Taman Shahbandar, Kuala Terengganu, malam tadi.

Acara bermula dengan persembahan nyanyian dan tarian artis kebudayaan negeri serta deklamasi puisi.

Lagu Negaraku berkumandang dan dinyanyikan bersama oleh orang ramai yang membanjiri kawasan itu, sebaik jam menunjukkan tepat detik 12 tengah malam, sekaligus menandakan bermula tarikh 31 Ogos.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Haji Mohd Zubir Embong dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Parlimen.

Hadir sama, ketua jabatan, pegawai kerajaan serta pemimpin politik tempatan.

Sejurus nyanyian lagu Negaraku dan upacara menaikkan Jalur Gemilang, Menteri Besar kemudiannya melaungkan `merdeka’ sebanyak tujuh kali sebelum kehangatan malam dimeriahkan lagi dengan tembakan bunga api ke udara.

Percikan bunga api yang berwarna-warni menghiasi ruang udara kira-kira 10 minit turut diiringi dengan nyanyian lagu patriotik sebelum diakhiri dengan lagu tema kemerdekaan pada tahun ini ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku'.


berita penuh

30 August 2013

Rombongan Huaxicun China terpukau keindahan Tasik Kenyir

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan Terengganu telah menerima kunjungan hormat daripada rombongan Huaxicun, China yang mengunjungi negeri ini selama lima hari bermula 24 Ogos, baru-baru ini.




Sempena lawatan yang bertujuan untuk mencari peluang bagi menjalin kerjasama dalam bidang pelaburan antara kedua-dua pihak, rombongan Huaxicun juga mengambil kesempatan tersebut mengunjungi destinasi pelancongan menarik yang terdapat di negeri ini.



Pada hari keempat berada di Terengganu, rombongan berkenaan dibawa melawat tasik terbesar buatan manusia yang terletak dalam daerah Hulu Terengganu iaitu Tasik Kenyir.

Kali pertama menjejakkan kaki ke Tasik Kenyir dan berpeluang menerokai keindahan pulau-pulau sekitar tasik tersebut seperti Pulau Petang, Pulau Bayas dan Kenyir Island Hoping membuatkan rombongan Huaxicun, China terpukau dengan keindahan pemandangan semulajadinya dan membuatkan mata yang memandang terpegun sendiri.

Peluang meneroka pelbagai landskap yang terdapat di tasik dan pulau tersebut memberi pengalaman paling berharga buat rombongan Huaxicun.

 Di Pulau Petang, rombongan Huaxicun seolah-olah kembali ke alam semulajadi dan mendapat peluang keemasan untuk melihat sendiri keindahan flora dan fauna yang terdapat di pulau tersebut dan tidak ketinggalan mengunjungi Pusat Santuari Pulau Petang.

Selain melihat pemandangan yang begitu mengasyikkan dan gelagat ikan yang diternak di pusat santuari, rombongan Huaxicun disajikan dengan hidangan makanan tengahari yang menyelerakan seperti ikan baung masak tempoyak, tilapia masak tiga rasa, sayur kalian, ulam-ulaman, serta sup ayam. Tidak ketinggalan, durian dan rambutan juga dihidangkan di puncak Petang Island Resort untuk dinikmati rombongan terbabit.

Sebelum itu, rombongan Huaxicun telah di bawa melawat Sungai Como dan berkesempatan mendengar taklimat berkenaan projek penternakan ikan diusahakan secara sangkar yang dikendalikan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu melalui Projek HIP ZIA Sungai Como bermula 2008.

Rombongan juga berpeluang melihat projek eko pelancongan yang diusahakan kerajaan negeri di Pulau Bayas yang akan dibangunkan sebagai Pulau Bebas Cukai dan dijangka siap sepenuhnya dalam beberapa tahun lagi. Taman Herba dan Taman Orkid juga sempat dikunjungi dalam lawatan sehari ke Tasik Kenyir oleh rombongan Huaxicun.

Di Taman Herba, kesempatan untuk merasai khasiat air rebusan herba seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah dan Mahkota Dewa tidak dilepaskan. Pengerusi Huaxi Group, Mr Wu Xie’ En turut menanam pokok Tongkat Ali di taman tersebut sebagai tanda kenang-kenangan.

 







berita penuh

Dewan bedah Hospital Besut terima pesakit


Pengarah HB,Dr Azmaliza melayani tetamu majlis Rumah Terbuka Aidilfitri HB Besut.

Oleh: Mohammad Ishak 

Pesakit yang di daerah Besut yang inginkan khidmat pembedahan secara berjadual kini boleh mendapatkan khidmat di Hospital Daerah Besut (HB) apabila Dewan Bedah hospital itu beroperasi untuk melakukan pembedahan kecil.

Pengarah HB,Dr Azmaliza Abd Rahman berkata, dewan berkenaan sebelum ini menghadapi pelbagai masalah sudah mula beroperasi sejak setahun lalu dengan melakukan pembedahan kecil kepada pesakit yang merujuk kepada hospital itu.

Katanya, pihaknya ada menyediakan doktor pakar yang didatang khas dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu secara berjadual untuk melakukan pembedahan di dewan berkenaan.

“Sebelum ini ramai pesakit yang ingin membuat pembedahan terpaksa dirujuk kepada HSNZ atau HUSM Kubang Kerian, Kelantan,” katanya kepada media sempena majlis sambutan Aidilfitri Hispital Besut, semalam.

Menurutnya, pesakit yang memerlukan khidmat pembedahan boleh merujuk kepada HB untuk mendapat jadual pembedahan dari pakar terbabit.

Bagaimanapun,katanya, khidmat pembedahan berisiko tinggi pihaknya terpaksa merujuk kepada HSNZ dan HUSM Kubang Kerian kerana ia boleh dilakukan segera tanpa berjadual.

Mengenai kesesakkan di HB beliau berkata, pihaknya masih menerima ramai pesakit walaupun dua kemudahan baru disediakan kerajaan termasuk Klinik 1 Malaysia di Kampung Nyior Tujuh dan Pusat Kesihatan Besar, Padang Luas, dekat Jertih yang sudah beroperasi sebelum ini.

berita penuh

Bantuan mampu ringan beban keluarga

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

“Bantuan ini cukup bermakna bagi kami yang masih bergelar pelajar kerana tidak memperoleh RM1,000 dalam tempoh singkat.

Sebahagian pelajar cukup gembira kerana memperolehi bantuan daripada kerajaan negeri.
Dato' Seri Haji Ahmad Said
“Jika tiada sumbangan seumpama ini daripada kerajaan negeri agak sukar untuk saya mencari duit perbelanjaan tambang dan bayaran yuran kemasukan universiti kerana bapa hanya bekerja sebagai buruh,” kata seorang penerima, Noraini Ismail, 22.

Adik Noraini ditemui Teganukita pada Majlis Bantuan Persediaan Pelajaran, di Stadium Tertutup, Komples Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

Pada majlis itu, seramai 3,677 pelajar seluruh Terengganu yang bakal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara peringkat ijazah bagi kemasukan pertama tahun ini layak menerima sumbangan RM 1,000 seorang atau membitkan peruntukan keseluruhan RM3.67 juta.

Manakala, Norhazlina Mat Jak, 22, dari Kampung Tembila, Besut, berkata jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi mengagihkan sumbangan yang cukup besar ini.


Katanya bukan senang nak cari RM1,000, tanpa perlu bersusah payah mengeluarkan peluh, “Setiap kemasukan di mana-mana Institut Pengajian Tinggi, pasti dikenakan bayaran tertentu sehingga mencecah ribuan ringgit

“Pendekatan yang dilaksana kerajaan ini, sememangnya wajar dipuji kerana banyak membantu meringankan beban keluarga, terutama yang berpendapatan rendah.” katanya.

 

berita penuh

Tahap kesedaran masyarakat cegah jenayah makin baik

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pencegahan jenayah semakin meningkat apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu menerima lebih 3,000 pemberitahuan dari penduduk seluruh Terengganu yang meninggalkan rumah semasa musim perayaan tahun ini, berbanding hanya 700 pemberitahuan tahun lalu.

Dato' Jamshah bersama sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidifitri PDRM Kontinjen  Terengganu di IPK Terengganu.
Daripada pemberitahuan tahun ini juga, tiada sebarang laporan kejadian pecah masuk dan kecurian di kediaman berkenaan sepanjang pengawasan pihak berkuasa.

Ketua Polis Terengganu, Dato’ Jamshah Mustapa berkata, perkembangan itu membuktikan satu kejayaan apabila tiada kes jenayah melibatkan pecah rumah di semua 3,000 lebih pemberitahuan meninggalkan rumah itu.

Dato' Ahmad Razif turut hadir pada majlis berkenaan.
“Tiada satu pun rumah yang dilaporkan untuk pengawasan kita itu dipecah masuk dan itu suatu kejayaan. Sebab sebelum ini kita menerima 700 lebih sahaja pemberitahuan, maknanya tahun ini berlipat kali ganda tetapi amat berkesan (mengurangkan jenayah).

 “Apabila terdapat pemberitahuan, kita akan meningkatkan rondaan lebih kerap berbanding tempat lain, memandangkan penghuni rumah berkenaan sudah memberitahu kita, jadi tanggungjawab kita mengawasi tempat tinggal mereka,” katanya kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Terengganu Bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Terengganu 2013, di Perkarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi MCPF Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman.

Dato’ Jamshah berkata, PDRM menawarkan perkhidmatan untuk memantau dan mengawasi seluruh kawasan yang dimaklumkan oleh penghuni rumah bagi menghindari sebarang kejadian jenayah terutama pecah rumah ketika penghuni meninggalkan kediaman pulang bercuti pada musim perayaan.

“Kita menggandakan pengawasan dan perhatian, sebab itu kita tidak membenarkan anggota kita, MPV,  kereta peronda, trafik bercuti bagi memastikan mereka dapat memantau ke seluruh tempat,” katanya.

Beliau berkata, pemberitahuan meninggalkan rumah itu juga menjadi indikator bahawa tahap kesedaran masyarakat semakin baik untuk mencegah kejadian jenayah dan membantu polis mengawasi kawasan tempat tinggal mereka dari kejadian tidak diingini terutama pecah rumah.



berita penuh

Bantuan kewangan RM10,000 kepada waris pelumba basikal

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bersetuju menyumbang RM10,000 kepada waris pelumba basikal Terengganu yang maut dalam kemalangan ketika menjalani sesi latihan, baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata mesyuarat mingguan Exco meluluskan bantuan kewangan itu sebagai menghargai sumbangan atlet berkenaan dalam sukan berbasikal negeri.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat mingguan Exco dan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Huaxicun di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu (Upen) Dato’ Mat Razali Kassim.

Dalam kemalangan 5 Jun lalu, pelumba skuad pelapis Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Mohd Syafiq Imran Shahril, 15, maut selepas dirempuh lori treler ketika menjalani sesi latihan, di atas jambatan di Kampung Bukit Guntung, Tepoh, Kuala Terengganu, kira-kira jam 9.30 pagi.

Mangsa dikatakan gagal mengawal basikalnya selepas cuba mengelak rakannya yang terjatuh sebelum dirempuh lori mengakibatkan cedera parah dan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

 

berita penuh