Halaman

09 November 2013

Bazlan lawat calon SPM.

Hormat..calon SPM SMPK bersalaman dengan Bazlan.
Oleh: Aminudin Ismail.
Gambar Ehsan: Mazlan Mustaffa. (Pejabat Dun Batu Rakit).

KESIBUKAN tugas tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman untuk hadir ke beberapa buah sekolah sekitar Dun itu bagi memberi semangat kepada pelajar yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Antara sekolah yang dikunjungi beliau ialah SMK Batu Rakit, Sekolah Menengah Tengku Mizan dan SMK Padang Kemunting (SMPK) iaitu seramai 501 pelajar kesemuanya.

Dalam lawatan itu, Bazlan sempat memberi ucapan semangat kepada pelajar sebelum memasuki dewan peperiksaan dan beliau mengharapkan setiap pelajar supaya menjawab soalan peperiksaan dengan cermat dan tepat.

“Saya mengharapkan semua pelajar akan memberi tumpuan kepada setiap soalan supaya dapat menjawabnya dengan baik dan semoga lebih ramai pelajar di Dun ini akan mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun ini,” katanya.

Bazlan juga sempat meluangkan masa bertemu mata dan berbual bersama-sama guru dan pentadbir sekolah sebelum bersama-sama calon SPM.
Motivasi...Bazlan memberi semangat kepada calon SPM SMPK.
Dengar..Bazlan bersama guru sebuah sekolah.


Imej Terengganu bakal berubah melalui perancangan KTCC

Oleh: Suriati Ali 



Projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi pembangunan Terengganu.

 Pada masa sama, projek itu bakal menjadi penanda aras baru kepada pembangunan hartanah di Terengganu dan meletakkan negeri ini sebagai pusat pelancongan moden bertaraf dunia.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata KTCC akan menjadi faktor penarik untuk menggalakkan lebih ramai belia kembali bekerja di negeri ini apabila melihat kemajuan dan perubahan bandar raya ini.

Katanya, bagi melengkapkan KTCC sebagai gerbang pelancongan baru, jambatan angkat bernilai hampir RM40 juta bakal dibina menghubungkan Muara Selatan dan Muara Utara.

 “Projek lain, termasuk sebuah apartment 30 tingkat bernilai RM150 juta yang mengandungi 292 unit rumah dan 90 unit ruang komersil dibangunkan melalui peruntukan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (TAWNT)



 “Kemudahan lain, menara 30 tingkat milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dibina dan sebuah lagi menara dengan ketinggian sama dibangunkan untuk menempatkan pejabat semua yayasan-yayasan milik kerajaan negeri,” katanya.



 Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas merasmikan Program Hari Terbuka ECER) Bersama Rakyat di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Haji Mat Razali Kasim; Pegawai Eksekutif ECERDC, Dato’ Jebasingam Issace John dan Pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Program sehari itu memaparkan pameran berkaitan projek dan program yang dilaksanakan ECER di Terengganu, di mana mampu memberi impak kepada rakyat tempatan sejak wilayah itu dilancarkan lima tahun lalu.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, Terengganu juga bersedia menyokong industri ternakan negera melalui pembangunan Pusat Penyelidikan & Inovasi Ternakan Kambing di Kuala Berang yang dijadualkan mula beroperasi pada awal tahun depan.

 “Projek itu akan membuka pelbagai peluang kepada petani generasi baru di Terengganu yang akan menikmati hasil dan produktiviti yang lebih tinggi melalui penggunaan teknologi canggih dan terkini dalam sektor penternakan kambing, “ katanya.

 








UMT anjur Larian Hijrah sempena awal Muharam

Oleh: Noraini Jusoh

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meneruskan tradisi menganjurkan Larian Hijrah yang masuk tahun ke-4 diadakan bersempena sambutan awal Muharam 1435H.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMT, Prof. Dr. Anuar Hasan berkata, program anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi UMT itu jelas menunjukkan kredibiliti dan keprihatianan pihak universiti dalam usaha menyemarakkan syiar Islam.

“Larian ini adalah simbolik kepada penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah. Peserta boleh menghayati sendiri perit jerih Rasulullah daripada perjalanan larian ini.

“Malah, ada sebilangan peserta yang tidak mampu menamatkan larian kerana pelbagai cabaran dan dugaan di sepanjang perjalanan. Jelas sekali, hijrah memerlukan satu tekad yang kuat dan pengorbanan yang besar,’ ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Larian Hijrah 1435H di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail UMT, hari ini.

Katanya, Larian Hijrah ini bukan sahaja menyuntik semangat tahun baru hijrah di kalangan peserta malah telah megubah tradisi sambutan hari kebesaran Islam dengan program berbentuk larian yang berteraskan syarak.

Difahamkan, sebanyak empat kategori dipertandingkan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada 779 peserta.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah UMT Challenge sejauh 12 kilometer (km), Student Challenge dan Team Challenge (8km) serta Kids For Run (400 meter) yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM5000.

Lebih menarik, larian ini lebih berbentuk aktiviti amal kerana bayaran yuran oleh para peserta akan disumbangkan kepada komuniti perkampungan golongan cacat penglihatan Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang.

Seramai 100 sukarelawan Muslim Youth Volunteer (MYV) turut terlibat bagi menjayakan Larian Hijrah tahun ini.

 

Ismail, Pengerusi JKKK berjiwa rakyat.

Oleh: Aminudin Ismail.

Ismail..suka membantu.
SIKAPNYA yang gemar bergaul rapat dengan penduduk kampung menjadikan Ismail Omar, 56 mudah untuk menjalankan tugasnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Tasik Nibong, Dun Jabi yang disandangnya sejak lebih tiga penggal lalu.

Lebih memudahkan lagi kerjanya ialah apabila hampir keseluruhan penduduk kampung adalah daripada penyokong Barisan Nasional malah segelintir dari penyokong parti pembangkang turut bekerjasama dengannya apabila mengadakan sesuatu majlis.

“Saya memang rapat dengan semua penduduk malah boleh dikatakan kesemua penduduk saya kenal kerana jumlah penduduk di cawangan saya ini tidak ramai iaitu sekitar 200 orang. Saya mudah mengendalikan sesuatu perkara terutamanya dalam menyalurkan bantuan daripada kerajaan,” katanya.

Ismail berkata, sepanjang tugasnya sebagai wakil kepada wakil rakyat di kampungnya, dia sudah berjaya mambantu mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk penduduk dan membaikpulih rumah yang uzur.

“Setakat ini saya berjaya membantu kira-kira 10 penduduk kampung untuk mendapatkan rumah PPRT dan lebih 20 buah rumah sudah dibaikpulih.

"Sebagai orang yang bertanggungjawab menyelesaikan masalah orang kampung , saya akan pastikan mereka yang layak akan berjaya mendapat apa yang dipohonnya,” katanya.

Bincang..sedang berbincang sesuatu dengan rakannya.
Menurutnya, beliau juga akan mempastikan penduduk berjaya menerima pelbagai bantuan lain seperti bantuan bulanan dari JKM dan bantuan wang ehsan serta beberapa bantuan lain daripada kerajaan negeri dan pusat.

“Saya akan membantu penduduk yang benar-benar layak untuk memohon bantuan ini dan akan sentiasa berusaha supaya permohonan itu akan diluluskan dan Alhamdulillah kebanyakan yang layak berjaya dalam permohonan mereka itu,” katanya.

Ismail berkata, antara usahanya yang paling mengembirakanya ialah apabila sebuah Madrasah Kelas Al-Quran berjaya dibuka di kampungnya bagi membolehkan penduduk di kampung itu mendalami ilmu Al Quran.

Dalam pada itu, Ismail mengharapakan penduduk di kampungnya akan terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional supaya beliau dapat terus menabur khidmat untuk kemajuan kampungnya sekiranya beliau masih diberi kepercayaan oleh Wakil Rakyat dan penduduk pada penggal akan datang.



08 November 2013

19 Pusat Pemindahan Banjir Dun Jabi

Oleh: Aminudin Ismail. 

JABI: Sebanyak 19 pusat pemindahan banjir disediakan untuk orang ramai yang berpindah di Dun Jabi pada musim banjir yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa mulai sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)Jabi, Mohd Iskandar Jaafar, berkata semua pihak sudahpun bersedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang akan berlaku pada tahun ini.

"Kita sudah mengadakan dua kali mesyuarat banjir pada tahun ini iaitu pertama mesyuarat dengan agensi-agensi yang terlibat seperti Pejabat Daerah, Majlis Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Dan kedua mensyuarat dengan pemimpin-pemimpin tempatan seperti Jawatan Kuasa Kampung dan Jawatan Kuasa Petugas Banjir Peringkat Dun.

"Dan kita sudah bersedia pada bila-bila masa dengan petugas dan juga peralatan untuk tugas-tugas musim banjir ini. Di Dun Jabi ini kita kenal pasti beberapa tempat yang menjadi mangsa kepada banjir seperti Kampung Rambutan, Kampung Tok Dor, Kampung Pondok Paku,Kampung Bahagia dan beberapa kampung lagi.

"Kepada penduduk di kawasan ini mereka sudah biasa dengan banjir dan saya mengharapkan mereka membuat persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan banjir pada tahun ini," katanya. 

Katanya, bentuk bantuan yang akan dihulurkan kepada mangsa banjir ada dua bentuk iaitu makan minum dan bantuan segera lain di pusat pemindahan dan bantuan berbentuk pampasan kemusnahan harta benda dan haiwan ternakan yang akan dibayar selepas musim banjir.

 

Keluarga Syafiq, Asmui terharu keprihatinan kerajaan

Oleh: Aida Abd Rahman

Keluarga dua atlet muda lumba basikal Terengganu yang maut akibat nahas jalan raya ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini, terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri yang sentiasa peka dan mengambil berat kebajikan atlet.

 Pada 5 Jun lalu, Muhammad Syafiq maut digilis treler di Kampung Bukit Guntung, Tepoh ketika sedang menjalani latihan bagi Kejohanan Berbasikal Kebangsaan di Perlis manakala, pada 2 Oktober lalu, Mohd Asmui Ali,19, terbunuh apabila basikal ditungganginya terbabit kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan.

Kedua-dua bapa mangsa, Encik Syahril Abd Rashid dan Ali@Awang Sulong mengakui terharu dan amat bersukur dengan keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan atlet di negeri ini.

“Wang sumbangan ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin dan berhasrat untuk melakukan amal jariah bagi pihak Allahyarham tidak lama lagi,” kata Encik Shahril. Manakala, Encik Ali pula pasrah dengan takdir yang menimpa keluarga mereka apabila kehilangan anak bongsu yang terkorban dalam nahas ketika latihan basikal awal bulan lalu.

“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada semua pihak yang amat mengambil berat termasuk kerajaan negeri yang sudi menyediakan sumbangan ini. Kami sekeluarga bercadang membelanjakannya untuk kenduri arwah,” katanya.

 Terdahulu, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada keluarga dua atlet muda lumba basikal Terengganu, Muhammad Syafiq Imran Syahril dan Mohd Asmui Ali yang meninggal dunia dalam nahas jalan raya ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, sumbangan bernilai RM10,000 setiap keluarga itu merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada dua atlet muda yang telah memberi sumbangan dalam menaikkan lagi prestij sukan berbasikal di negeri ini.


 

Masjid Bukit Cempaka Padat Aktiviti Agama.

Masjid Bukit Cempaka,Batu Rakit.
Teks dan gambar: Aminudin Ismail.

PEMBUKAAN masjid baru di Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit pada 2007 lalu ternyata memberi pelbagai kemudahan kepada penduduknya kerana selain sebagai tempat untuk menunaikan ibadah sembahyang dan menyampaikan ceramah agama, masjid itu juga menjadi pilihan pasangan melakukan majlis akad nikah.

Abu Bakar...Imam II.
Masjid yang dibina oleh kerajaan Barisan Nasional itu dibina bagi mengantikan masjid lama yang tidak lagi mampu menampung jumlah jemaah yang semakin ramai.

Imam Masjid Kampung Bukit Cempaka, Abu Bakar Othman, berkata sejak dibuka hampir lima tahun lalu, sudah ramai pasangan yang mahu berkahwin mengadakan masjli akad nikah di masjid itu kerana mahu mengambil keberkatannya.

“Selain itu, masjid ini juga menjadi tempat pertemuan antara penduduk kerana selain dapat bertemu ketika menunaikan ibadah sembahyang samada sembahyang fardhu atau Jumaat, kami juga sentiasa mengadakan majlis gotong royong untuk menjaga kebersihan kawasan masjid,” katanya.

Abu Bakar yang pernah bertugas sebagai imam selama 30 tahun di Brunei itu, berkata pelbagai aktiviti keagamaan diadakan di masjid itu  antaranya ialah ceramah mingguan, kuliah magrib, kuliah subuh, bacaan yasin dan solat hajat.

“Malam Sabtu ustaz mengajar Tajwid, malam ahad pula Ustaz Abdullah Tahir mengajar Fekah, malam Rabu Ustaz Zainal Ibrahim mengajar Hadis, Ustaz Mohd Embong mengajar Tauhid pada malam Selasa,

“Malam Kamis, Ustaz Razak Ali mengajar Fekah dan Tauhid dan pada hari Rabu lepas Zohor , Ustaz Abdul Rasyid Ali mengajar Quran.” katanya.

Indah..rekabentuk yang indah.
Masjid yang boleh memuatkan kira-kira 750 jemaah itu akan penuh pada waktu sembahyang Jumaat dan Sembahyang sunat dua hari –raya.

“Pada malam-malam biasa jemaahnya sekitar 30 orang dan pada malam ada ustaz mengajar, jemaahnya bertambah sehingga 70 orang termasuklah golongan muda,” katanya.

Masjid Bukit Cempaka sememang aktif untuk membangunkan ummah di kawasannya seindah reka bentuk masjidnya dan kawasan sekitarnya yang dihiasi dengan pelbagai tanaman untuk mencantikan kawasan masjid.

Imam I masjid ini ialah Md Ali Abdullah, Imam II, Abu Bakar Othman dan Imam III, Mohd Ibrahim manakala bilal ialah Mohd Nor Shamsuddin manakala pengerusi masjid itu ialah Mohd Engah.
Kemas..bahagian dalam masjid.
Unit...wakaf di Masjid Bukit Cempaka.
Cantik...deretan pokok Ru Renek.

Hias...pokok kelat turut dihiasi kawasan masjid.

07 November 2013

Sekitar Majlis Penyampaian Wang Ehsan Dun Batu Rakit.

Teks dan gambar Aminudin Ismail. 

Dengar..sebahagian penerima mendengan ucapan Bazlan.
BATU RAKIT: Seramai kira-kira 3,800 penduduk dari 30 buah kampung di kawasan Dun ini sudahpun menerima wang ehsan masing-masing berjumlah RM300 dan RM200 setiap seorang di Dewan Sivik Wakaf Catur, di sini.

Majlis penyampaian wang ehsan untuk golongan yang layak itu dilakukan selama dua hari iaitu bermula semalam dan berakhir hari ini. Majlis itu dijalankan pada dua sessi iaitu pada pagi bermula jam 10 hingga 1 tengahari dan 2 petang hingga 5 petang.

Hari ini, seramai 2,068 penduduk dari 15 buah kampung sekitar pantai Batu Rakit, menerima wang ehsan masing-masing.

Tinjauan Teganukita mendapati rata-rata penerima bersyukur menerima wang itu dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional.

Bazlan..terus sokong BN.
Sementara, Adun Batu Rakit, Bazlan Ab.Rahman, berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya kepada Menteri Besar Dato' Seri Mohd Said kerana memberi wang ehsan kepada penduduk Batu Rakit.

"Marilah kita bersama-sama bersyukur kepada Allah Taala dan berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana menghulurkan sumbangan ini.

Bersama-samalah kita menyokong kerajaan BN demi untuk kesejahteraan dan kemakmuran penduduk di negeri ini," katanya. 


Barikut ialah gambar-gambar sekitar Majlis Penyampaian Wang Ehsan Dun Batu Rakit:-
Wakil..orang ramai mengisi borang wakil penerima.
Cakna..Bazlan bertanya khabar seorang penerima.
Cabut...Pengerusi JKKK mencabut undi.
Hulur...Bazlan ketika baru tiba di Dewan Sivik, Wakaf Catur.
Ucapan..Wakil Pegawai Daerah memberi ucapan.
Kalsom Tahir,70,...terima kasih kerajaan BN.
Endut Mohd Amin (68)...bersyukur.
Terima..Nik Embong dari Batu Rakit Darat terima wang ehsan.

 

100 ribu pengunjung Pusat Bestari.Comm setiap tahun

Oleh: Noraini Jusoh

Kira-kira 100 ribu orang mengunjungi Pusat Bestari.Comm pada setiap tahun yang menyediakan perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) secara percuma kepada komuniti setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Penyampaian, Pengurusan Prestasi dan Teknologi Maklumat negeri, YB A. Latiff Awang berkata, kerajaan negeri bersedia untuk menambah bilangan pusat berkenaan berdasarkan keperluan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan sambutan yang ditunjukkan masyarakat terhadap program-program yang dijalankan pusat berkenaan amat menggalakkan.

"Kerajaan negeri memperkenalkan Pusat Bestari.Comm di setiap DUN bertujuan untuk memberi pendedahan dan latihan kepada orang ramai bagi melahirkan masyarakat celik komputer dan berilmu.

"Selain merancang dan menyelenggara program-program ICT untuk pembangunan K-Komuniti, pusat ini juga bertindak sebagai platform dalam mengurangkan perbezaan digital masyarakat desa dan bandar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup ‘Bescomm Tour’ Bersama Masyarakat kali ke-8 di Pulau Duyong, hari ini.

Katanya, sejak mula ditubuhkan pada tahun 2005 dengan hanya 32 buah, kini bilangan pusat berkenaan telah bertambah kepada 47 buah di seluruh negeri ini dan diuruskan Unit Pengurusan Maklumat Negeri Terengganu (UPMN) bermula April 2010.

"Bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung, seramai 94 kakitangan ditempatkan di semua Pusat Bestari.Comm dimana seorang Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komuter (TSO) ditugaskan bagi setiap pusat,” katanya.

 

Seramai 42,887 kanak-kanak berjaya khatam sejak 2006

Oleh: Suriati Ali dan Mohd Syazni Zainudin



 Majlis Khatam al-Quran yang diperkenalkan kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Terengganu (YIT) berjaya mengkhatamkan 42,887 kanak-kanak seawal usia 5 dan 6 tahun di seluruh Terengganu sejak diperkenalkan lapan tahun lalu.



 Hampir setiap tahun jumlah itu sentiasa meningkatkan di mana, seramai 937 kanak-kanak berjaya khatam pada 2006, diikuti 2,010 kanak-kanak (2007); 2,660 kanak-kanak (2008); 2,660 kanak-kanak (2009); 6,246 kanak-kanak (2010); 7,930 kanak-kanak (2011); 9,639 kanak-kanak 2012 dan 10,805 kanak-kanak pula berjaya khatam pada tahun ini.

 Bilangan itu melibatkan kanak –kanak daripada empat tadika iaitu YIT, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) dan Jabatan Perpaduan dan Integriti Nasional (JPIN).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan perkembangan positif itu sekaligus dapat membuktikan Terengganu memiliki ramai kanak-kanak berilmu dan celik al-Quran.
Katanya, kanak-kanak tadika bukan saja berjaya khatam al-Quran pada usia 5 dan 6 tahun, bahkan juga telah berjaya menghafaz surah Yasin dan terjemahan sepenuhnya dengan begitu baik.

 “Jika kanak-kanak ini diasuh dan dibimbing secara berterusan, maka akan lahirlah suatu masa nanti generasi Ulul Albab yang diimpikan selama ini.

 “Usaha berterusan hendaklah terus dilakukan dengan mengadakan perubahan dan penambahbaikan dari masa ke semasa demi memartabatkan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu,” katanya.

 Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Haji Mohd Zubir Embong pada Majlis Perasmian Khatam al-Quran, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu.

 Pada majlis itu, seramai 10,805 kanak-kanak dari seluruh negeri berjaya khatam secara beramai-ramai. .

 Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata kejayaan program itu membuktikan sokongan semua pihak ke arah usaha murni kerajaan dalam melaksanakan Program Pintar Al-Quran di seluruh negeri Terengganu.

 “Kesedaran manarik minat kanak-kanak supaya mencintai al-Quran semenjak dari kecil lagi dan pembelajaran melalui sistem pendidikan secara berterusan akan dapat melahirkan generasi cintakan al-Quran di negeri ini.



 “Tradisi membaca al-Quran perlu dipertingkatkan lagi kepada kebolehan penghafaz di samping bimbingan ke arah mendalami isi kandungan al-Quran,” katanya.

 












T-Team kini diurus PBSNT

Pasukan negeri berstatus kelab, T- Team kini diletakkan di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), sama dengan pasukan Terengganu.

Sebelum ini, kelab T-Team berada di bawah pengurusan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBSDKT).

 Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata selepas musim Liga Malaysia tahun ini, pengurusan kedua-dua pasukan Terengganu itu diuruskan oleh PBSNT di bawah kepimpinan Datuk Wan Ahmad Wan Abdul Hamid.

 Selaku penaja utama kedua-dua pasukan berkenaan, beliau berkata kerajaan negeri tidak akan campur tangan dalam urusan pemilihan jurulatih dan pemain dalam persediaan menghadapi kempen Liga Super musim depan.

"Kerajaan negeri telah memberi mandat kepada kedua-dua pasukan itu memilih pemain dan jurulatih terbaik bagi mengembalikan semula kehebatan Terengganu dalam sukan bola sepak," katanya.

YB Rozi berkata kerajaan negeri menyerah tanggungjawab sepenuhnya kepada PBSNT untuk memilih pemain dan jurulatih bagi kedua-dua pasukan itu.

 "Kita tidak mahu masih ada suara sumbang selepas ini," katanya. Kerajaan negeri memberi peruntukan RM5 juta masing-masing kepada skuad Terengganu dan T-Team sebagai perbelanjaan pengurusan musim ini.

Rozi berkata kerajaan negeri masih belum membuat keputusan mengenai peruntukan untuk musim baharu tetapi menjelaskan bahawa jumlah tersebut tidak kurang daripada apa yang diberikan untuk musim ini.

Dalam kempen Liga Super musim ini, pasukan Terengganu menduduki tangga kesembilan manakala T-Team di tangga ke-10.

Waris pelumba basikal terima sumbangan RM20,000

Oleh: Aida Abd Rahman

Tragedi malang yang menimpa dua atlet muda lumba basikal Terengganu yang maut dalam nahas jalan raya ketika menjalani sesi latihan baru-baru ini, terus mendapat perhatian kerajaan negeri apabila memperuntukkan sumbangan RM20,000 kepada keluarga mangsa, semalam.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata sumbangan bernilai RM10,000 setiap keluarga Muhammad Syafiq Imran Syahril dan Mohd Asmui Ali sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada dua atlet yang memberi sumbangan kepada sukan lumba basikal di negeri ini.

Selain sumbangan itu, keluarga kedua-dua allahyarham bakal menerima insurans berjumlah RM15,000 setiap seorang.

“Saya harap selepas ini atlet-atlet lumba basikal kita dapat mengikuti arahan-arahan yang telah ditetapkan oleh pihak persatuan seterusnya lebih berhati-hati ketika menjalani sesi latihan.

“Pada masa yang sama, untuk tindakan awal kita juga akan menambah bilangan kenderaan pengiring termasuk van dan motosikal dalam usaha memastikan keselamatan pelumba-pelumba kita terjamin ketika menjalani sesi latihan,” katanya. Selepas Penyerahan Cek Sumbangan kepada kedua-dua keluarga mangsa di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat, Pengarah Majlis Sukan Negeri, Haji Zainal Abidin Hussin dan Yang Dipertua Persatuan Lumba Basikal Negeri Terengganu, Dato’ Ahmad Sidi Ismail. Dalam pada itu,

Dato’ Seri Haji Ahmad turut meminta pihak persatuan dapat mengkaji dan memperkemaskan lagi prosedur operasi standard dalam sesi latihan supaya perkara yang sama tidak akan berulang pada masa akan datang. 

Katanya, beliau tidak mahu Terengganu terus kehilangan bakat-bakat muda yang mampu menjadi pelapis skuad lumba basikal negeri dan kebangsaan akibat jalan raya  terutama ketika menjalani latihan.

 

Terengganu dijangka berdepan lima gelombang banjir

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu dijangka akan berdepan lima gelombang banjir berikutan ramalan hujan lebat dan air pasang besar yang berlaku pada musim tengkujuh kali ini.

Setiausaha Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Encik Mohd Sarif Hassan berkata, mengikut ramalan, fenomena gelombang pertama dijangka berlaku pada 4 hingga 10 November manakala gelombang kedua pula pada 17 hingga 24 November ini .

“Gelombang ketiga pula dijangka berlaku pada 2 hingga 9 Disember ini dan diikuti gelombang keempat pada 15 hingga 21 Disember ini,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Encik Mohd Sarif berkata, gelombang kelima pula dijangka berlaku tahun hadapan namun tarikhnya belum dapat dipastikan lagi.

“Ketika ini kita dalam tempoh jangkaan gelombang pertama namun setakat ini masih tidak berlaku banjir lagi.

“Smalam (kelmarin) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air sungai di Stesen Sekolah Menengah Sultan Badrul Alam Shah, Kemaman sudah melebihi paras bahaya dan di stesen JPS Kuala Terengganu sudah berada di paras amaran,” katanya.

Menurutnya, MKN sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir yang lebih besar kali berbanding hanya tiga gelombang pada musim tengkujuh yang lalu.

Dalam pada itu, sebanyak 198 kawasan di negeri yang sering dilanda banjir dijangka menghadapi bencana sama kali ini iaitu 30 kawasan di Besut, Setiu (21), Kuala Terengganu (17), Marang (27), Hulu Terengganu (29), Dungun (32) dan di Kemaman 42 kawasan.

Beliau berkata, ketika banjir berlaku, pihaknya akan membuka bilik gerakan 24 jam dan orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi hotline MKN di talian 09-6316021 atau 09-6222231.

Selain itu, orang ramai juga boleh melayari http://etindakan.terengganu.gov.my ataupun http://portalbanjir.mkn.gov.my untuk maklumat terkini mengenai keadaan banjir.


Wang Ehsan Dun Permaisuri bermula 10hb ini.

Oleh: Aminudin Ismail.

BANDAR PERMAISURI: Sejumlah RM1,692,900.00 diperuntukan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) Permaisuri oleh Kerajaan Negeri Terengganu untuk penerima wang ehsan pada tahun ini.

Jurucakap Pejabat Dun itu berkata, seramai 3,785 penduduk layak menerima wang ehsan itu termasuklah golongan berpendapatan rendah dan golongan OKU iaitu sebanyak RM300 setiap seorang.

Menurutnya, pengagihan wang ehsan itu akan dilakukan di empat tempat iaitu zon 1 pada 18hb November 2013 bertempat di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri.

"Zon 2 pula akan menerima pada 14hb November juga bertempat di Dewan Sungai Tarom manakala Zon 3 ialah di Pusat Pemunggahan Ikan (LKIM) di Kampung Penarik pada 10hb November dan zon 4 pula akan menerima wang ehsan itu di Dewan SK Guntung luar pada 17hb November 2013" katanya. 

Menurutnya, kesemua majlis bermula jam 8 pagi dan penerima diminta datang mengikut waktu bagi membolehkan pengagihan dapat dilaksana dengan lancar dan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

 

06 November 2013

Kerajaan negeri sedia bantu Pusat Hippoterapi dan RDA Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan yang diperlukan Pusat Hippoterapi dan ‘Riding For Disable Association’ (RDA) cawangan Terengganu bagi meringankan beban pusat berkenaan dalam menyediakan rawatan terapi berkuda (Hippoterapi) untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad said berkata, kerajaan negeri sedia memberi bantuan kepada RDA berdasarkan keperluan yang diperlukan pusat terbabit dan akan dilakukan secara berperingkat.

“Kita akui kos untuk pusat ini memberikan khidmat terapi berkuda secara percuma kepada golongan OKU agak tinggi, justeru kerajaan negeri akan sentiasa bersedia untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan samada dalam bentuk kewangan atau bantuan lain secara berperingkat.



 “Pusat Hippoterapi ini merupakan salah satu rawatan alternatif kepada mereka yang memerlukan. Terdapat golongan OKU yang hanya mengalami kecacatan yang masih boleh diubati, tetapi kerana dibiarkan masalah kecacatan yang mereka alami semakin merosot.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan mereka kepada rawatan fisioterapi, latihan serta memberi semangat dan motivasi kepada golongan ini,” ujarnya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Seminar Keberkesanan Hippoterapi dan Perasmian RDA cawangan Terengganu, di TER, hari ini.

Katanya, beliau berharap terapi berkuda menjadi suatu pendekatan baru dalam memberikan rawatan kepada OKU dan diterima khalayak ramai walaupun ia merupakan suatu perkara baru dalam masyarakat Malaysia.

 “Bagi memastikan program ini berjalan secara berterusan selain bantuan yang dihulurkan kerajaan, peranan dan sokongan ibu bapa juga penting dalam memastikan anak-anak OKU ini mendapat hak yang sewajarnya sekali gus dapat membantu memulihkan kecacatan yang mereka alami.