Halaman

30 January 2014

156 pelajar cemerlang DUN Seberang Takir dirai

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 156 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima hadiah insentif atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam peperiksaan awam tersebut tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato' Haji Ahmad Razif Abdul Rahman, berkata 109 pelajar cemerlang UPSR serta 47 pelajar cemerlang PMR dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dirai dan diberikan penghargaan.

"Setiap pelajar yang cemerlang dalam UPSR menerima wang tunai RM100 dan sijil penghargaan.

 "Manakala, bagi pelajar cemerlang dalam PMR pula menerima wang tunai RM150 dan juga sijil penghargaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Kecemerlangan Pelajar UPSR dan PMR 2013 di Sekolah Kebangsaan Seberang Takir, hari ini.

Katanya, pemberian wang tunai tersebut adalah sebagai galakan dan sokongan kepada pelajar untuk lebih bersemangat dalam meneruskan pelajaran dan sebagai motivasi untuk terus mengekalkan kecemerlangan.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri turut meminta guru-guru memberikan perhatian sama rata antara semua pelajar.

“Saya menyeru agar guru-guru tidak membezakan layanan terhadap pelajar yang pandai dan kurang pandai kerana setiap pelajar itu sangat bernilai dan mampu menjadi lebih baik sekiranya mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya.

 

No comments: