Halaman

26 January 2014

Berjiwa kental walaupun sakit

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Penderitaan Timbalan Pengerusi Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Cawangan Gong Nangka, Mohd Aidie Ismail, 24, turut dirasai ahli yang lain.

Sebagai persatuan yang mementingkan kebajikan ahlinya, Pengerusi MAYC Cawangan Gong Nangka, Shah Juhan Nura Sultan bersama beberapa ahli yang lain meluangkan masa melawat Mohd Aidie yang hanya mampu terlantar atas kerusi di rumahnya akibat menderita sejenis penyakit berbahaya.

Pengerusi MAYC Marang, Amirullah Othman turut sama dalam kunjungan tersebut bagi bertanya khabar dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan dapur.

Menceritakan mengenai penyakit Mohd Aidie, Shah Juhan berkata, rakan baiknya itu tidak menyangka keputusan pemeriksaan kesihatan yang dijalaninya sebelum ini menunjukkan organ dalamannya diserang penyakit.

Tidak mahu mendedahkan jenis penyakit itu, Shah Juhan berkata, walaupun Mohd Aidie sakit, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada persatuan dan berjuang bersama-sama rakan lain.

"Walaupun kini tidak lagi aktif, kami sentiasa mengunjunginya untuk bertanya pendapat dan berkongsi mengenai perkembangan semasa persatuan dan golongan belia di kawasan ini agar Aidie sentiasa mendapat maklumat terkini,” katanya ketika melawat pemuda berjiwa kental itu di rumahnya di Gong Nangka, baru-baru ini.

Shah Juhan berkata, timbalannya itu meluahkan keinginan untuk terus memberikan khidmat kerana merasakan masih banyak tanggungjawab belum dilunaskan walaupun kini terpaksa berehat di rumah.

"Antaranya menarik anak muda untuk menjadi pelapis pemimpin pada masa akan datang. Kami bukan sekadar menarik golongan ini untuk berjuang bersama, tetapi berkongsi maklumat tentang isu yang perlu diperjuangkan.

“Kami tidak mahu fikiran belia dikelirukan oleh pihak tertentu yang sentiasa cuba mempengaruhi mereka bagi memenuhi kepentingan peribadi,” katanya.

 

No comments: