Halaman

31 January 2014

BN Wajar Letak Calon di Kajang - KJ

Pergerakan Pemuda Umno berpendapat Barisan Nasional (BN) wajar bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor.

 Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, walaupun kekosongan di kerusi DUN ituberlaku disebabkan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR), tetapi bila adanya kekosongan, adalah wajar untuk BN menurunkan calon bertanding.

 "Lebih-lebih lagi yang nak bertanding itu adalah ketua pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Jadi kita berpendapat bahawa tak boleh kita bagi laluan yang mudah kepada beliau," katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Karnival Sukan dan Kebudayaan MAYC peringkat kebangsaan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pagi tadi.



 Katanya, mesej yang jelas kepada pengundi di Kajang bahawa PKR telah mempermainkan amanah rakyat apabila wakil rakyatnya Lee Chin Cheh dengan sewenang-wenangnya mengosongkan kerusi DUN Kajang Isnin lepas.

 "Pemimpin pembangkang itu sudah terdesak. Nak jadi Perdana Menteri tak dapat, jadi Menteri Besar pun tak apalah," katanya.

 Ditanya mengenai calon BN yang bakal bertanding kelak, Khairy berkata, biarlah Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak memutuskannya.