Halaman

23 January 2014

Fama pilih 18 petani untuk Program Ladang Kontrak

 Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Terengganu akan memilih 18 petani lagi untuk menjalankan Program Ladang Kontrak dalam usaha meningkatkan bekalan terus dari ladang ke Pasar Tani di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan & Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata tambahan petani itu dibuat bagi menjamin sumber bekalan hasil pertanian mencukupi untuk dipasarkan kepada pengguna.

 "Dalam jangka masa panjang, langkah itu juga diharap dapat mengurangkan rantaian pemasaran yang menyumbang kepada harga tinggi sebelum hasil ladang sampai kepada pengguna," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Bantuan Insentif Pengukuhan Ladang Kontrak ke Pasar Tani (Kukuh) di Pejabat Fama daerah Besut di Jerteh di sini

Nawi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Besut berkata pada masa ini 10 petani terlibat dalam program ladang kontrak itu dengan kuantiti hasil pertanian berjumlah 16,962 kilogram dengan nilai RM29,092 tahun lepas.

 Beliau berkata pertambahan bilangan dengan hasil berkualiti itu sejajar dengan 'Kempen Jom Nanang' (kempen jom tanam) yang bakal dilancarkan kerajaan negeri dalam masa terdekat ini bertujuan menggalakkan rakyat menanam sendiri keperluan harian mereka.

 Pada majlis itu, seramai 10 petani yang mengusahakan kontrak ladang Fama ke Pasar Tani dari dua daerah, masing-masing Besut dan Kuala Terengganu menerima insentif berjumlah antara RM1,000 hingga RM1,500 seorang.

Selain itu, Nawi berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Fama mencari tapak baharu yang lebih sesuai untuk mengadakan Pasar Tani Kekal di setiap daerah di negeri ini.

 


No comments: