Halaman

21 January 2014

Fatehah rangkul perak di pentas dunia

Pelumba trek Yayasan Sime Darby, Fatehah Mustapa mempamerkan persembahan mengagumkan untuk meraih pingat perak dalam acara keirin di siri ketiga Piala Dunia UCI yang berlangsung di Guadalajara, Mexico, kelmarin (19 Januari).



Kejayaan gemilang atlet kelahiran Hulu Terengganu berusia 24 tahun itu melakar sejarah tersendiri menjadi pelumba wanita pertama negara meraih pingat pada kejohanan itu dan pingat pertamanya sejak mula beraksi pada 2007 di Piala Dunia UCI.


Saingan membabitkan enam pelumba itu berlangsung sengit dengan pelumba sensasi Hong Kong, Lee Wai Sze berjaya meraih emas dengan Fatehah hanya ketinggalan 0.017 saat disusuli Sandie Clair dari Perancis.

“Sudah banyak kali saya melangkah ke final keirin, namun gagal meraih pingat, namun kali ini saya sangat gembira kerana berjaya melakukannya. Ia satu pencapaian yang membanggakan dengan sasaran selepas ini adalah Kejohanan Trek Dunia di Columbia bulan depan.

 “Saya tidak mengira kilauan pingat di Kejohanan Trek Dunia nanti dengan fokus kini adalah menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh dalam tempoh masa yang ada,” katanya yang turut memberikan pujian kepada Sime Darby, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) serta ketua jurulatih negara, John Beasley yang meningkatkan prestasinya.

Kejayaan ini sedikit sebanyak mengubat kekecewaan rakan sepasukannya yang juga anak Terengganu, Azizulhasni Awang yang dibatalkan penyertaannya dalam final keirin kelmarin.



No comments: