Halaman

16 January 2014

Isu Kangkung: Selidik dahulu sebelum siar- Pengerusi Biro Sosial dan Etika Pemuda UMNO Malaysia.


Mohd Iskandar Jaafar.
Oleh: Aminudin Ismail.

JABI: Sikap segelintir pihak yang memutar belitkan kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai penurunan harga kangkung di beberapa laman sosial adalah golongan yang tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Biro Sosial Dan Etika Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Iskandar Jaafar.

Iskandar yang juga Ketua Pemuda UMNO Setiu dan Adun Jabi itu, berkata beliau amat kesal kerana perkara itu sepatutnya tidak berlaku sekiranya mereka memahami kenyataan sebenar Perdana Menteri itu.

"Niat sebenar Y.A.B Perdana Menteri ialah  membuat perbandingan atau menyatakan perkara sebenar mengenai naik turun harga barang yang banyak bergantung kepada suasana persekitaran iaitu faktor cuaca, faktor permintaan dan lain-lain.

“Secara peribadinya saya menganggap kenyataan-kenyataan yang tersebar di beberapa laman sosial itu adalah sesuatu yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pihak lain.

“Saya sebagai pengerusi Biro Sosial dan Etika Exco Pemuda UMNO Malaysia, sepatutnya golongan terbabit tahu perkara sebenar dan menyiasat dengan lebih teliti dan memahami sebelum mereka menyiarkan dan menghantar semula (forward) sesuatu berita di dalam media sosial itu.

“Kita bimbang ia akan menjadi satu ‘trend’ segelintir orang muda dan ini mungkin boleh menimbulkan satu budaya fitnah dan ini tidak sesuai sangat dan tidak bagus kepada mereka khususnya golongan belia untuk terlibat dengan satu penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan ini tidak betul.

“Dia kena ada etika yang sebenarnya dalam kita menyebarkan berita, kerana itu kita kena siasat, kena tengok kena selidik dahulu kedudukan dan fakta sesuatu perkara sebelum menyiarkannya,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu selepas hadir dalam satu majlis penyerahan rumah sumbangan Zakat Bank Rakyat, di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta golongan yang menyebar maklumat yang tidak betul mengenai kenyataan Perdana Menteri itu menghentikan segera kerana ia adalah tidak berasas.