Halaman

09 January 2014

Jangan buat sebarang andaian kes tembak : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mahu orang ramai tidak membuat sebarang andaian sehingga menjejaskan keharmonian dan menimbulkan ketakutan kepada orang awam berhubung insiden enam das tembakan yang dilepaskan ke rumah Yang Dipertua (YDP) Majlis Daerah Besut di Kampung Gong Kapas, Isnin lalu.

“Kita perlu menyerahkan kes itu kepada polis untuk menyiasatnya dari segenap aspek dan sudut dan tidak boleh membuat sebarang andaian mengenai insiden itu sehingga menimbulkan suasana tidak menentu dan sebagainya.

"Kali pertama berlaku di Terengganu. Saya pun merasa dukacita juga kerana dulu tidak pernah berlaku tembak-menembak pun. Baru-baru ini, rompakan di Paka, kemudian di Marang, terbaru, tiga hari lalu, di Kuala Menjing (Hulu Terengganu). Ini mungkin yang keempat tembakan di Terengganu sejak lebih 10 tahun lalu. Trend dia atau macamana kita tidak pasti,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan menyerahkan kes yang disifatkan sebagai terpencil itu, untuk tindakan polis sepenuhnya bagi mengenalpasti punca dan motif tembakan berkenaan sama ada ugutan atau membabitkan kes-kes lain.

Dalam kejadian Isnin lalu, enam das tembakan dilepaskan ke arah rumah YDP Majlis Daerah Besut di Kampung Gong Kapas.

Ketika kejadian pada 6.15 pagi, Encik Ibrahim Mohamad, 55, bersama isteri dan seorang anak mereka berada di dalam rumah dan mereka terdengar beberapa bunyi letupan tetapi tidak mengesyaki ia adalah bunyi tembakan yang dilepaskan ke arah kediaman mereka.

Kejadian itu hanya disedari pada 8.30 pagi apabila isteri YDP majlis daerah itu keluar untuk membersihkan kawasan rumah dan melihat kesan pecah pada cermin keretanya serta menemui serpihan peluru di perkarangan rumah banglo setingkat itu.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata wanita berkenaan kemudian menelefon suaminya yang ketika itu berada di pejabat dan memaklumkan mengenai perkara itu.

Polis dapati enam das tembakan dilepaskan iaitu dua terkena pada rumah manakala empat lagi pada kereta Mercedes Benz CLK320 mangsa, katanya pada sidang akhbar , Isnin lalu.