Halaman

19 January 2014

JPNT anjur Kuiz Asean 2014

Oleh: Suriati Ali 

 Kira-kira 700 pelajar sekolah menengah berumur antara 15 hingga 17 tahun di negeri ini dijangka menyertai Kuiz Asean 2014 anjuran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT.

 Pemangku Pengarah Penerangan negeri, Encik Mustaffa Abdul Kadir, berkata jumlah itu pertambahan 100 peratus berbanding penyertaan penganjuran kuiz tahun 2012 iaitu seramai 355 peserta dari Terengganu.

 "Saya berharap pada tahun ini, jumlahnya akan semakin meningkat kerana dengan kerjasama pelbagai pihak terutama Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, ia akan memudahkan lagi proses untuk pelajar menyertai kuiz ini," katanya.

 Kuiz yang diadakan sekali dalam tempoh dua tahun itu akan diadakan di Vietnam pada 8 Ogos depan manakala pertandingan saringan akan diadakan pada 11 Mac, separuh akhir pada 8 April di Putrajaya dan peringkat akhir pada 10 April di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Penganjuran kuiz itu bertujuan meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal di kalangan 10 negara-negara Asean kepada generasi muda.

 Ia juga bertujuan mendedahkan golongan belia kepada aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara Asean selain meningkatkan minat membaca dan kaedah pencarian maklumat di kalangan peserta. Encik Mustaffa berkata, jabatan penerangan di setiap daerah sedia bekerjasama dengan sekolah-sekolah yang berminat untuk menghantar pelajar mereka menyertai Kuiz Asean 2014 ini.

 "Semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga akan bertanggungjawab sebagai pelaksana bagi memastikan hasrat penganjuran untuk disertai 10,000 pelajar tercapai kali ini," katanya.

 Johan akan menerima wang tunai RM2,500, trofi iringan, tablet dan sijil penghargaan manakala naib johan menerima RM1,500, trofi iringan, tablet dan sijil penghargaan dan tempat ketiga (RM1,000).

 Pemenang tempat keempat dan kelima pula akan membawa pulang wang RM750 dan hadiah iringan yang lain.