Halaman

13 January 2014

Kerajaan akan laksanakan lebih banyak projek tebatan banjir

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan Pusat akan melaksanakan lebih banyak projek projek tebatan banjir di seluruh negara termasuk di Terengganu dan Pahang demi memastikan keselamatan rakyat terjamin, kata Perdana Menteri,  Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, bagi melaksanakan semua prasarana itu, kerajaan memerlukan lebih banyak peruntukan yang diharap dapat diperoleh daripada tranformasi ekonomi negara.

"Untuk melaksana projek tebatan banjir yang keperluannya amat mendesak, kos amat tinggi. Di Chukai RM480 juta, di Kuantan RM700 juta...(ia) memakan belanja berbilion tidak termasuk jalan, jambatan, sekolah dan lain-lain kemudahan yang rosak akibat banjir," katanya.

Beliau berucap demikian di Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir dan Meraikan Sukarelawan di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, semalam.

Menurutnya,  kerajaan sentiasa mahu melihat rakyat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera dan adalah tidak adil untuk rakyat menyalahkan kerajaan di atas setiap bencana yang berlaku.

Malah, katanya tidak ada negara di dunia ini yang terlepas daripada bencana akibat perubahan iklim dunia sehingga mengakibatkan banjir besar.

Dalam pada itu, Menteri Besar,  Dato' Seri Haji Ahmad Said berkata laporan lengkap untuk membina sistem tebatan banjir di Chukai sudah selesai dan akan dilaksanakan sebaik sahaja kerajaan negeri menerima peruntukan.

Katanya,  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menganggarkan RM480 juta diperlukan untuk membina sistem tebatan banjir berkenaan tidak lama lagi. 

Di majlis itu, seramai 30 daripada 19,205 keseluruhan mangsa banjir di Terengganu menerima sumbangan kelengkapan rumah iaitu televisyen, peti sejuk, tilam, bantal dan set dapur yang bernilai kira-kira RM5,000 yang akan disampaikan secara berperingkat-peringkat.

 Selain itu, setiap mangsa juga akan menerima bantuan RM500 dari Kerajaan Pusat dan bantuan RM500 hingga RM1,500 dari kerajaan negeri bergantung kepada nilai kerugian.