Halaman

15 January 2014

Kerajaan negeri timbang naik kadar cukai pintu MBKT

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri menimbang untuk menaikkan kadar cukai pintu bagi kawasan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) seawal-awalnya tahun depan selepas menggunapakai tarif sedia ada sejak 1981.

Bagi 2014, MBKT masih mengekalkan cukai pintu mengikut nilai semasa tahun lalu, iaitu lima hingga 15 peratus  nilai tahunan harta dan pegangan merangkumi bangunan kediaman, bangunan komersial, bangunan industri dan tanah pertanian.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pertimbangan untuk menaikkan kadar itu berdasarkan beban yang terpaksa ditanggung oleh MBKT bagi kos pengurusan yang terlalu tinggi berbanding pendapatan yang diperolehi menerusi cukai pintu yang amat rendah.

“Kita belum membuat keputusan (menaikkan cukai pintu) berkenaan tetapi kita akan menimbang berdasarkan permintaan pihak MBKT selain kajian yang dibuat kerana beban yang terpaksa ditanggung oleh MBKT terlalu tinggi.

“Sejak 1981 tidak dinaikkan dan tidak adil bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan. Bayangkan sejak 1981 sudah 32 tahun tidak naik cukai pintu, sedangkan aset semasa sudah meningkat berapa kali ganda,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengakuan Menerima Jawatan (Angkat Sumpah) Datuk Bandar, Yang Dipertua dan Anggota-Anggota Majlis PBT Terengganu 2014-2015, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Mohd Zubir Embong.

Menteri Besar berkata, kenaikan yang tidak melibatkan PBT lain dan hanya MBKT sahaja itu juga dijangka akan mengurangkan beban kerajaan negeri yang memperuntukkan kira-kira RM50 juta setahun bagi kos pengurusan PBT berkenaan.

Tambah beliau,  kerajaan negeri membayar pengambilan semula tanah dan rumah kepada penduduk mengikut pasaran semasa berikutan nilai aset berkenaan yang meningkat beberapa kali ganda dari tahun ke tahun, berbanding kadar cukai pintu yang tidak pernah dinaikkan sejak 32 tahun lalu.

“Daerah lain tidak banyak terlibat sebab pernah dibuat kenaikan cukai pintunya sedikit masa dahulu, cuma Kuala Terengganu sahaja (MBKT) yang menggunapakai tarif sejak 1981 hingga sekarang. Tidak menggambarkan nilai aset sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta rakyat dapat menerima perubahan serta kenaikan yang akan dilaksanakan itu dengan rasional memandangkan kos pengurusan yang semakin naik selain bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk.

 “Kerajaan Terengganu mengagihkan kira-kira RM350 juta setahun untuk semua PBT. Sedangkan Kerajaan Selangor tiada pun PBT yang mendapat peruntukan kerajaan negeri sebab masing-masaing sudah boleh berdikari seperti Ampang Jaya, Kelang dan Shah Alam masing-masing mempunyai pendapatan lebih RM100 juta setahun. Bandar Raya Kuala Lumpur, hampir RM 4 bilion setahun mengatasi pendapatan sebuah negeri.

“Rakyat mahu perkhidmatan semakin baik, dari segi penyelenggaraan jalan dan longkang tetapi apabila mahu membayar cukai RM50 hingga RM100 setahun pun tidak mahu bayar dan tiada sumbangan dari rakyat,” katanya.