Halaman

26 January 2014

LEBUH RAYA PANTAI TIMUR GUMURUH DAH SAMPAI KE PAKA..PANTAS SEJAM BOLEH SAMPAI KUT...

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof turun padang meninjau sendiri jajaran lebuh raya dari Bukit Besi ke persimpangan Paka yang kini dibuka kepada pengguna jalan raya.

SEMAKIN MENJADI REALITI..... Sebahagian daripada Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang melibatkan jajaran sejauh 34 kilometer dari persimpangan Bukit Besi ke persimpangan Paka bernilai RM514 juta mula dibuka 25 Januari (semalam).

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, dengan siapnya jajaran baharu pakej 10 hingga ke sebahagian pakej 7 (7C) itu menandakan kira-kira 100 daripada keseluruhan 184 kilometer projek pembangunan mega di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 tersebut telah dibuka kepada orang ramai.

"Kerajaan berharap pembukaan lebuh raya ini memberi kemudahan penjimatan tenaga, kos dan masa perjalanan kepada pengguna lebuh raya lebih-lebih lagi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

"Pada masa sama, kerajaan komited untuk mempercepatkan pembukaan beberapa lagi jajaran LPT2 yang masih dalam proses pembinaan dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat sebelum September depan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan jajaran itu di Plaza Tol Bukit Besi.

Projek LPT2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Pada 22 Ogos 2011, kerajaan membuka sebahagian jajaran LPT2 kepada laluan awam sepanjang 70 kilometer dari pakej 12 di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu hingga pakej 10 di persimpangan Bukit Besi.


No comments: