Halaman

31 January 2014

Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sasar 30 peratus peningkatan jualan 100 usahawan

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 30 peratus di kalangan 100 usahawan berprestasi tinggi yang dikenalpasti di seluruh Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU),Che Razali Adis berkata 100 usahawan dalam pelbagai bidang  terutama industri kecil dan sederhana (IKS) akan sentiasa dipantau oleh 18 agensi yang terlibat bagi meningkatkan kegiatan jualan dan aktiviti keusahawanan di Terengganu.

"Majlis sekretariat yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud itu juga bertujuan menjadikan sekretariat berkenaan sebagai platform perundingan yang lebih efektif dalam menyelaraskan hala tuju usahawan di negeri itu. 

"Antara lain penubuhan sekretariat ini ialah memastikan tiada pertindihan pemberian geran atau pinjaman kepada usahawan agar kemudahan yang disediakan kerajaan dapat dinikmati secara saksama oleh usahawan," katanya kepada pemberita dalam program Jejak Usahawan Terengganu, di kawasan perindustrian Chendering, Kuala Terengganu, semalam.

Antara anggota jawatankuasa sekretariat itu ialah SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kraftangan Malaysia serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Che Razali berkata sekretariat juga akan mengadakan mesyuarat empat kali setahun bagi menilai pencapaian program agensi dari semasa ke semasa. 

"Namun, jika ada isu yang timbul, sekretariat akan bersidang serta-merta dan dengan memanfaatkan penglibatan agensi-agensi ini, YPU tidak bersendirian dalam membangunkan usahawan," katanya.

Pemilihan usahawan berprestasi tinggi itu adalah berdasarkan perkembangan syarikat dan pengurusan perniagaan yang efektif kerana mereka adalah antara kumpulan yang diberi tumpuan untuk menembusi pasaran global.


No comments: