Halaman

20 January 2014

Menteri Pendidikan sumbang bot untuk Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM)


Idris,Muhamad Pehimi dan Tengku Zaihan memotong riben tanda pelancaran

Oleh: Mohammad Ishak

Masalah keperluan bot untuk membantu kes kecemasan di laut dan sungai yang dihadapi anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) kerana ketiadaan kemudahan berkenaan kini dapat diselesaikan apabila sebuah bot disumbangkan kepada jabatan terbabit.

Menteri Pendidikan II, Dato’ Seri Idris Jusoh yang prihatin terhadap permintaan JPAM menyumbangkan sebuah bot untuk kegunaan anggota JPAM Cawangan Jertih, menjalankan tugas penyelamat dan operasi.

Satu majlis penyerahan bot berkenaan diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Pusat Jertih semalam.

Turut Hadir Ahli Exco Kerajaan Negeri, Muhamad Pehimi Yusof, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman,Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh dan Pengarah JPAM Terengganu, Meja (PA) Che Adam A Rahman.

Bot berharga RM24,700 sepanjang 19 kaki dan boleh memuatkan 12 penumpang akan dijadikan bot penyelamat terutama mangsa kemalangan di air.

Dengan adanya bot berkenaan anggota JPAM Besut tidak lagi menghadapi masalah untuk menjalankan operasi dan bantuan menyelamat jika berlaku kecemasan.

Idris berharap, pihak terbabit memanfaatkan sepenuhnya penggunaan bot itu kerana ia satu asset penting kepada tugas anggota JPAM.


No comments: