Halaman

09 January 2014

Minta peniaga kongsi idea

Oleh: Suriati Ali

Golongan peniaga berjaya di negeri ini di minta bersama-sama membantu kerajaan negeri menyampaikan maklumat dan idea bernas berkaitan perniagaan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). 

Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi, YB Roslee Daud, berkata Usaha itu diyakini mampu melahirkan lebih ramai usahawan IKS berprestasi tinggi selain mampu bersaing dengan mereka yang telah berjaya mencipta nama di serata negara.

 Katanya, bagi usahawan IKS mereka memperoleh ilmu daripada mana-mana agensi berkaitan, mendapat kemudahan, menerima bantuan kerajaan pula diharapkan dapat memanfaatkanya secara maksimum dan sebarkan maklumat itu.

“Saya mahu tengok kalau usahawan yang berada di Kuala Terengganu tahu mengenai pelbagai program dan kemudahan yang disediakan kerajaan, bagi mereka yang tinggal di Bukit Besi pun tahu mengenai perkara sama,” katanya.



 Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bengkel Pembangunan Usahawan Berprestasi Tinggi 2014, di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, hari ini. Bengkel yang diadakan itu adalah susulan daripada penubuhan Majlis Sekreatariat Pembangunan Usahawan Bumiputera.

 Katanya, kerajaan negeri melalui YPU menubuhkan Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sebagai platform penyelarasan program dan aktiviti antara pelbagai agensi keusahawanan di negeri ini.


 “Menjadikan sekretariat berkenaan sebagai platform perundingan yang lebih efektif dalam menyelaraskan hala tuju usahawan di negeri ini.

"Selain membantu kerajaan membentuk hala tuju pembangunan keusahawanan di Terengganu, sekretariat juga membantu mengumpulkan maklumat bagi memantau dan menilai pencapaian prestasi program pembangunan keusahawanan negeri di masa hadapan.

 "Matlamat utama penubuhan sekretariat ini antara lainnya untuk mengoptimumkan penggunaan sumber antara agensi bagi memaksimumkan pelaksanaan program dan aktiviti ke arah meningkatkan impak program dan seterusnya meningkatkan kualiti keusahawanan di negeri ini, “ katanya.



 Sebanyak 18 agensi dilantik sebagai anggota jawatankuasa sekretariat tersebut, termasuk SME Corp, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Kraftangan Malaysia serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).