Halaman

25 January 2014

Misi ke Antartika satu usaha bijak MB- Mohd Jidin.

Mohd Jidin...penerokaan ilmu.
Oleh: Aminudin Ismail.

PENEROKAAN ilmu ke Antartika yang diketuai Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said bersama beberapa cerdik pandai adalah satu usaha yang bijak dan bukan satu pembaziran kerana ianya untuk kepentingan generasi akan datang, kata Exco kerajaan negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee.

Mohd Jidin berkata, sepatutnya penduduk di negeri ini berbangga usaha Menteri Besar itu kerana berfikiran jauh demi untuk kemajuan negeri ini pada masa depan.

“Ia adalah satu penerokaan baru ilmu bagi memenuhi hasrat manusia di bumi, jadi kebetulan pula, penerokaan antartika ini telah dibuat sebelum ini, bukan sahaja pihak negara, bahkan seluruh dunia membuat penerokaan ilmu ke kawasan antartika.

“Jadi kunjungan Y.A.B Menteri Besar bersama ‘team’nya itu pada kali ini kita sewajarnya merasa bangga kerana beliau kali ini adalah ketua delegasi dan bersama beliau beberapa cendiakawan daripada Terengganu dan luar yang dibawa bersama,” katanya.

Mohd Jidin berkata, lawatan selama 15 hari yang bermula sabtu lepas itu adalah satu perkara penghayatan kehidupan masa depan dan usaha Menteri Besar itu adalah wajar.

“Sepatutnya kita berbangga dengan usaha ini dengan memberi sokongan penuh dan memberi semangat supaya menerokaan bidang baru yang sedang kita laksanakan masakini adalah satu perkara untuk masa depan.

“Sama juga dulu penerokaan ke bulan, ramai juga orang tidak memahami ataupun tidak mencapai tahap pemikiran pada masa itu menyatakan bahawa penerokaan ke bulan itu satu pembaziran tetapi setakat ini bukan sahaja ke bulan malah beberapa lagi planet baru sedang diterokai untuk mempelajari perkara-perkara berkaitan kejadian Allah Taala.

“Seterusnya mereka yang bekerja kuat ini dikatakan orang yang berakal ataupun ulul albab, jadi yang berakal ini bermakna penghayatannya kepada keduniaan bagi akhirat sebab mereka tahu kehidupan di dunia ini akan mempunyai limik umur dan apakah peninggalanya.

“Kalau mereka ini tidak membuat penerokaan awal, apakah satu generasi akan datang, nak mengambil di mana, jadi adalah tepat kerajaan negeri membuat permulaan ini,” katanya kepada Teganukita di Kampung Banggol, Setiu, semalam.

Mohd Jidin berkata, beliau menyokong penuh usaha penerokaan ke Antartika itu dan menurutnya, usaha itu adalah satu usaha yang bijak oleh Menteri Besar dan tidak wujud soal pembaziran.

“Saya difahamkan sebahagian kos ke Antartika ini ditanggung kerajaan pusat, jadi sebelum membuat apa-apa kenyataan kita kena selidik terlebih dahulu.

"Soal pengkajian penerokaan ilmu untuk masa ini kita tidak perlu kita pertikaikan, apapun program memerlukan duit dan tanpa perbelanjaan tentunya kita tidak boleh lakukannya,” katanya mengenai lawatan yang bertujuan untuk membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesyen penyelidikan bersama dengan Chile di antartika itu.