Halaman

30 January 2014

Ops Selamat dilancar sempena Tahun Baru Cina

Oleh: Noraini Jusoh

Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Ops Selamat sempena Tahun Baru Cina yang menitikberatkan keselamatan di jalan raya dan rumah sepanjang tempoh perayaan tersebut di seluruh negara.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata, bagi Negeri Terengganu, pihak polis bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi menjayakan Operasi Selamat 4 yang bermotokan ‘Rumah Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Sempena kempen yang bermula 24 Januari dan berakhir 7 Februari ini, pihak polis ingin memastikan rakyat Malaysia bukan sahaja selamat dalam perjalanan untuk pualng bercuti tetapi rumah yang ditinggalkan juga berada dalam keadaan selamat.

“Melalui Operasi Selamat 4, kita ingin menyeru masyarakat semua terutama pengguna jalan raya berhati-hati semasa memandu supaya sampai ke destinasi dengan selamat dan kita juga ingin memastikan rumah yang ditinggalkan mereka berada dalam keadaan selamat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina (Ops Selamat 4) Peringkat Negeri Terengganu, di Jambatan Sultan Mahmud (Bekas Rumah Tol), semalam.

Majlis perasmian kempen berkenaan telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri YB Haji Zubir Embong.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita,Keluarga dan Masyarakat Negeri, YB Muhamad Pehimi Yusof.

Menurut Datuk Hamzah, setiap pemandu perlu mengamalkan semua etika pemanduan secara berhemah untuk memastikan perjalanan berjalan lancar dan selamat.

“Manakala, bagi yang ingin meninggalkan rumah pastikan maklum kepada pihak polis dibalai-balai berdekatan,”ujarnya.

Katanya, pihak polis mendapat maklum balas positif daripada orang ramai semasa Ops Selamat 2 pada tahun lalu kerana 279 pemilik rumah telah memaklumkan kepada pihak polis bahawa mereka akan meninggalkan rumah masing-masing dan mengharapkan semakin ramai masyarakat yang prihatin terhadap keselamatan rumah masing-masing.

 

No comments: