Halaman

30 January 2014

PEMERGIAN AHMAD SAID KE ANTARTIKA MENEPATI AJARAN ISLAM- KATA PENASIHAT AGAMA KEPADA PERDANA MENTERI


Oleh: Ruslan Abdul Rahman


Penasihat Agama Perdana Menteri, Tan Sri Dr.Abdullah Md Zin menyokong penuh lawatan kerja Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said ke Antartika berasaskan tuntutan dalam Islam. Ketika ditemubual Pengarang Teganukita semalam,  Tan Sri Dr Abdullah yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, mengembara, mencari ilmu dan pengalaman, apatah lagi bersama saintis membuat penyelidikan adalah budaya Islam sejak dahulu lagi, bukan sahaja di masa Nabi Muhammad s.a.w, bahkan nabi-nabi sebelumnya.
  Beliau kemudiannya menyebut ayat Al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah: Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya kemudian Allah memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu.  Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.
 Tan Sri Dr. Abdullah juga meminta umat Islam merujuk kepada Rehlah Ibn Battuta (Abu Abdullah Muhammad Ibn Battuta) yang diiktiraf sebagai pengembara paling cemerlang dalam sejarah manusia.
  Difahamkan Ibn Battuta mengembara sejauh lebih kurang 117,000 kilometer selama hampir 30 tahun. Penjelajahannya meliputi daerah yang sekarang merupakan Afrika Barat hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China, jarak yang jauh lebih hebat dari Marco Polo yang hidup hampir seera dengan beliau.
  Tan Sri Dr.Abdullah yang baru sahaja diamanahkan oleh Perdana Menteri sebagai Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) berkata, umat Islam seharusnya melihat usaha yang dilakukan oleh Menteri Besar Terengganu itu sebagai positif dan menepati ajaran Islam.

No comments: