Halaman

27 January 2014

Saran wujud kursus elak pelajar tercicir

Oleh: Suriati Ali 

Anak syarikat kerajaan negeri dan agensi swasta berkaitan di Terengganu disaran mewujudkan kursus tertentu kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal menempatkan diri di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

 Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas Negeri, YB Ghazali Taib, berkata usaha itu cukup penting bagi memastikan tiada pelajar kurang cemerlang dalam akademik tercicir selepas tamat persekolahan.

 Katanya, pihak kami mengenal pasti kira-kira 5,000 pelajar di Terengganu tidak berapa cemerlang, bagaimanapun peratusan itu tidak besar berbanding kira-kira 21,000 calon SPM setiap tahun.

Katanya, bagi membantu golongan itu, pihak kami mewujudkan Akademi Kulinari di Pulau Kerengga Marang yang dikelola Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

 “Usaha lain mewujudkan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (Tesdec), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti dan beberapa pusat kemahiran lain di seluruh Terengganu.

 “Melalui apa yang dilaksanakan itu nyata menampakkan hasil, terutama kepada pelajar yang serius ingin mendalami apa yang diajar.

 “Apa yang membanggakan, mereka mampu berdikari dengan membuka perniagaan sendiri dan memperoleh pendapatan bulanan RM7,000 hinggan RM9,000,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Titian Bestari (PTB) 2014 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Lebih 2,000 pelajar yang hadir didedahkan dengan pelbagai program dan taklimat pembelajaraan dan penajaan. YB Ghazali turut memberitahu, PTB yang dilaksanakan kali ke lima itu, sebagai titik semangat untuk pelajar menghadapi SPM.

“Kita mengambil langkah awal bagi memberi amanah dan mendedahkan strategi belajar yang betul supaya keputusan SPM terus melonjak nama negeri,” katanya. .

 

No comments: