Halaman

30 January 2014

Sertai persatuan tingkat daya kreativiti - isteri MB

Oleh; Esah Abdullah

 Penjawat awam wanita diminta mengambil peluang dengan menyertai persatuan atau badan-badan amal untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi di dalam diri masing-masing.


 Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud berkata, melalui persatuan perkongsian idea dan pandangan serta saling bertukar kemahiran dapat diwujudkan antara satu sama lain.

"Kita hendaklah meneroka bakat-bakat dan kualiti yang terpendam melalui aktiviti seperti kelas masakan, jahitan, sulaman dan sebagainya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Cawangan Terengganu Kali Ke-30, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Hajah Ramizah Hashim. Hadir sama Pengerusi Puspanita negeri, To' Puan Hajah Rohani Abdullah.

Katanya, Puspanita telah memain peranan penting dalam usaha meningkatkan kemajuan wanita di negeri ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan sehingga ini keahlian telah mencecah 4,429 orang.

Dalam pada itu Puspanita juga telah memperkenalkan kategori keahlian seumur hidup di samping keahlian biasa yang memberi banyak kelebihan.

"Selaras dengan saranan kerajaan agar mengamalkan langkah penjimatan, wanita merupakan satu kuasa besar yang mampu merealisasikan hasrat itu," katanya yang juga penaung Puspanita negeri.



Beliau yakin suri rumah boleh menilai apa yang patut didahulu dan dikemudiankan serta berperanan mendidik serta memupuk amalan berjimat di kalangan ahli keluarga dan di tempat kerja.

Pada majlis itu Puspanita Terengganu turut menyampaikan insentif kecemerlangan akademik kepada anak-anak ahli yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam tahun lalu.