Halaman

27 January 2014

Syarikat swasta digalak bantu pelajar

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

“Usaha memartabatkan bidang pendidikan di negara ini harus dipikul bersama termasuk oleh pihak swasta,” kata Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Terengganu, YB A.Latiff Awang.

Katanya, sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat mereka, penglibatan lebih banyak syarikat swasta dalam bidang itu mampu membantu meringankan beban dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Selain kerajaan yang sentiasa mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak peranan pihak swasta juga penting dalam memartabatkan bidang pendidikan di Malaysia.

“Malah, melalui keuntungan pihak swasta yang dikongsi bersama mereka yang memerlukan ternyata mewujudkan hubungan yang erat antara pihak swasta dan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Beg Sekolah dan Alat Tulis Peringkat Parlimen Marang di Dewan IKBN, Wakaf Tapai, baru-baru ini.

YB A.Latiff yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan berkata, pelbagai nikmat dan rahmat diperoleh rakyat di bawah pimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya berkaitan bidang pendidikan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad, Dato’ Dr. Nasaruddin Othman berkata, seramai 800 pelajar dalam Parlimen Marang dikenal pasti sebagai penerima bantuan berupa beg sekolah dan alat tulis pada majlis berkenaan.

“Sumbangan ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Berhad kepada masyarakat.

“Melalui sedikit keuntungan yang kita perolehi, kita berikan sumbangan kepada rakyat agar nikmat yang Allah s.w.t kurniakan dapat dikongsi bersama," ujarnya.