Halaman

22 January 2014

Terengganu sasar 80 peratus mahir BI 10 tahun akan datang

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu mensasarkan 80 peratus pelajar yang menyertai program `Tranglish’ mampu menguasai bahasa Inggeris (BI) dengan baik dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 Program baharu yang menelan belanja RM3.3 juta sebagai inisiatif kerajaan negeri memperkasakan penguasaan BI di kalangan pelajar Tingkatan Dua Tiga dan Empat di 32 sekolah terpilh seluruh Terengganu, mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat sekurang-kurangnya 80 peratus pelajar yang menyertai program itu mampu menguasai bahasa antarabangsa menjelang 2024 nanti.



“Walaupun impian saya pastinya mahu 100 peratus, namun saya tidak meletakkan kesemuanya memandangkan ada di kalangan pelajar kemungkinan tahap kecerdasannya lemah, mengalami kecacatan dan juga masalah emosi.Bagi pelajar demikian, mereka belajar macammanapun, tetap tidak faham juga dan hal itu juga perlu diambil kira,” katanya ketika Program Bicara Bersama Media anjuran Unit Komunikasi Negeri Terengganu di Hotel Permai, Kuala Terengganu, semalam.

YB Ghazali berkata, program bagi memupuk pembudayaan BI dalam kehidupan seharian akan dilaksanakan selepas sesi kelas biasa tamat yang dikendalikan oleh guru-guru berpengalaman sekali gus bertindak sebagai fasilitator kepada peserta terlibat.

Katanya, program itu juga memberi peluang kepada anak-anak negeri yang berkelulusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) menjadi tenaga pengajar dan menerima elaun khas menerusi peruntukan sedia ada itu.

Tambah beliau, program itu menumpukan kepada pelajar Tingkatan Dua, Tiga dan Empat, memandangkan kumpulan pelajar berkenaan akan berdepan dengan peperiksaan awam pada tahun seterusnya.

Menurutnya, peperiksaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun depan menjadi penilaian kepada keberkesanan program itu selepas setahun dilaksanakan nanti. 

“Kita mahu melihat perubahan dalam penguasaan BI di kalangan pelajar yang terlibat dan hasilnya mungkin pada peperiksaan awam 2016. Di sini kita mahu mereka menggunakan ruang dan peluang mempraktikkan BI dalam suasana yang santai dengan pemantauan guru berpengalaman selepas waktu persekolahan biasa.

“Program itu akan memberi penekanan terhadap aspek komunikasi yang dikesan menjadi kelemahan besar pelajar negeri ini,”katanya.

Selain itu, katanya program perintis itu akan menumpukan kepada pelajar di kawasan luar bandar di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), berikutan pencapaian BI mereka agak terkebelakang berbanding sekolah bandar.





No comments: