Halaman

27 January 2014

Umno Bahagian Marang lantik biro bantu perkasa parti

Oleh: Amirullah Othman dan Noraini Jusoh

Umno Bahagian Marang melantik 12 biro mengikut bidang tugas masing-masing untuk membantu memperkasakan parti dan merampas kembali kerusi yang ditawan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Biro yang dilantik ialah Biro Politik; Penerangan; Media Baru; Pendidikan; Latihan dan Pengkaderan; Hal Ehwal Belia; Hal Ehwal Wanita/ Perayu Undi/ K5; Pengurusan; Ekonomi dan Pengurusan; Agama dan Kebajikan; Hal Ehwal Daftar Pemilih dan Pengundi Luar serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Berangan, YB A Latiff Awang berkata, pelantikan biro-biro berkenaan bertujuan mewujudkan satu organisasi bagi mengatur aktiviti serta program yang mampu memberi manfaat kepada parti serta ahli.

“Dengan adanya jawatankuasa yang kuat dan perancangan yang strategik sejak awal, saya percaya Barisan Nasional (BN) dan Umno dapat kembali menawan Parlimen Marang pada PRU14,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelantikan Biro-Biro Umno Bahagian Marang di Dewan Majlis Daerah Marang, Kampung Paya, baru-baru ini.

YB A. Latiff yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri berkata, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Alor Limbat dan Rhu Rendang serta Parlimen Marang yang dimenangi pembangkang pada PRU13 lalu berjaya dikembalikan kepada BN semula sekiranya semua jentera parti bersatu.

“Dengan adanya jentera parti yang bekerja kuat demi kemenangan parti sejak awal, saya percaya ketiga-tiga DUN berkenaan akan kembali ditawan BN termasuk mengekalkan kemenangan di DUN Pengkalan Berangan,” katanya.

Tambah beliau, biro-biro yang dilantik juga perlu bijak merancang program berbentuk sosial, perpaduan dan yang dapat mewujudkan persefahaman antara semua pihak untuk memastikan rakyat sentiasa menyokong BN dan Umno demi kelangsungan parti yang membela agama, bangsa dan negara itu.

 

No comments: