Halaman

29 January 2014

YPU jadi pusat latihan pemandu pelancong bertauliah

Oleh: Aida Abd Rahman dan Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bersedia menjadi pusat melahirkan lebih ramai pemandu pelancong bertauliah sebagai usaha membantu sektor pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pelawat dari luar negara ke Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Razali Adis, berkata pihaknya mengambil peranan membantu sektor pelancongan negeri memandangkan jumlah pemandu pelancong di negeri ini masih berkurangan.

"YPU boleh menjadi agensi yang menyediakan latihan kepada penggiat dan agen-agen pelancongan seperti mewujudkan lebih ramai pemandu pelancong sama ada di luar dan juga dalam bandar di seluruh Terengganu,” katanya kepada media selepas program Jejak Usahawan Terengganu, di Kilang SME Bank, Chendering, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, YB Roslee Daud.

Dalam pada itu, YPU juga menyokong kerajaan negeri bagi mempertimbangkan cadangan menyediakan pembiayaan khusus kepada pengusaha pelancongan di Terengganu.

“Satu bengkel (Bengkel Hala Tuju Pelancongan Terengganu) yang baru selesai semalam, juga memutuskan seharusnya kerajaan negeri berperanan menyediakan pinjaman kepada pengusaha pelancongan juga mungkin boleh diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan.

“Rata-rata agen pelancongan seolah-olah berkata mereka tiada tempat untuk mendapatkan pinjaman, malah mungkin mereka kekurangan dokumen yang boleh menyokong untuk memberi keyakinan kepada mana-mana bank atau agensi kerajaan bagi membolehkan mereka mendapat pembiayaan berkenaan,” katanya.

Selain itu, YPU menerusi Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu sedang menimbang cadangan bagi menambah baik jenama Terengganu seperti T-Shoppe, T-Dagang dan T-Lekor dalam usaha memberi lebih impak positif kepada industri peruncitan di negeri ini pada masa depan.