Halaman

05 February 2014

157 anggota JPJ bantu `Ops TBC’

Oleh: Suriati Ali

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menempatkan 157 anggota terutama di 11 lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan di Terengganu sepanjang dua minggu Operasi Penguatkuasaan Tahun Baru Cina (Ops TBC) yang berakhir 9 Februari ini.

 Pengarahnya, Abdul Rahman Emang Anyie berkata, ini termasuklah di Kilometer (KM) 40 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Sungai Tong, KM30 Kuala Terengganu- Kuantan, Kampung Pulau Kerengga, Marang, KM40 Kuala Terengganu-Ajil, KM90 Kuala Terengganu-Kota Bharu, Kampung Gerai, Jabi dan KM74 Kuala Terengganu ke Kota Bharu.

 Katanya, anggota turut ditempatkan di KM60 Kuala Terengganu-Kota Bharu, Belara, KM60 Kuala Terengganu-Kuantan Kampung Jara, Dungun, KM76 Jalan Bukit Besi-Kuala Terengganu, KM138 Jalan Jerangau-Jabor, Simpang 3 Kampung Air Putih, Kemaman, KM90 Kuala Terengganu-Kuantan, Kampung Nyior, Paka dan KM82 Jalan Kuantan-Kijal, Kemaman.

"Pihak JPJ bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan sekali gus bagi memastikan pengguna jalan raya memandu dengan berhemah," katanya.

Abdul Rahman turut memberitahu, bagi memastikan kelancaran lalu-lintas, pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ akan turut mengadakan penguatkuasaan secara statik dengan memasang 'tuntun mata' di 120 lokasi iaitu setiap jarak 30km di jalan utama negeri.

 Katanya, langkah itu supaya persepsi 'kemungkinan ditahan' dapat dipertingkat kepada pengguna jalan raya selaras usaha mengurangkan kadar kemalangan sempena musim perayaan tahun ini.

 “JPJ juga mengadakan pemeriksaan bas di depoh atau bengkel, di terminal-terminal bas serta mengadakan kerjasama dengan PDRM untuk menjalankan pemeriksaan urin,” katanya.

 

No comments: