Halaman

03 February 2014

16 pesilat Terengganu berguru di Batam

Sebanyak 16 atlet Persatuan Seni Silat Terengganu (Pesilat) yang mempunyai peluang cerah menyumbangkan pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) Perlis, Mei ini, akan menjalani latihan di Batam, Indonesia.

Setiausaha Pesilat Rani Mustaffa berkata atlet terbabit terdiri 10 lelaki dan enam wanita akan menjalani latihan di Ikatan Pencak Silat Indonesia (IPSI) Kota Batam selama 10 hari mulai 18 Februari ini.

Latihan itu sebagai persediaan bagi memastikan lima pingat emas seperti disasarkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dicapai, katanya.

Pada edisi Sukma 2012 di Pahang, atlet silat Terengganu berjaya memperoleh enam pingat emas dan akan cuba mempertahankan kedudukan itu, katanya.

Sementara itu, Pesilat akan menerima kunjungan pesilat dari Selangor, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pertandingan persahabatan pada 14-16 Februari ini di Gerbang Persilatan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Rani berkata ini juga sebagai satu daripada persiapan pemanas badan untuk menghadapi Sukma Perlis selain pendedahan menerusi kejohanan di peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Pasukan pesilat Terengganu dilatih oleh Shahrul Fahmi Abu Bakar bersama-sama dua pembantunya.

No comments: