Halaman

15 February 2014

2,335 murid Tahun Lima daerah dungun terima e-Book

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 2,335 murid Tahun Lima di daerah Dungun menerima seunit e-Book yang memuatkan sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), baru-baru ini.

 E-Book sebuah komputer mini yang dilengkapi perisian akademik mengikut sukatan Kementerian Pelajaran itu mula diberi sejak tahun 2009 bertujuan memudahkan proses pembelajaran di dalam kelas, sekaligus mengurangkan beban murid untuk membawa buku ke sekolah.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Dungun, Idris Bidin berkata, pembahagian e-Book berkenaan melibatkan 43 buah sekolah di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Dun Bukit Besi, Dun Rantau Abang serta Dun Paka.

 "Murid yang menerima e-Book ini sepatutnya menerimanya pada tahun lepas kerana kebiasaanya pembahagian e-books ini diberikan ketika murid berkenaan (penerima) di tahun empat, tetapi disebabkan berlakunya kekangan seperti banjir pada tahun lepas, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said minta untuk tangguhkan dulu pembahagiannya.

 "Walaupun e-book ini diberikan lambat sedikit, ia tidak menjejaskan sesi pengajaran kerana ia dibahagikan awal tahun dan masih dikira awal," katanya.

Idris Bidin berkata, murid tahun lima di Dun Sura telah menerima e-book ini pada tahun lalu dan kini kesemua murid tahun lima di daerah Dungun telah memiliki e-book setiap seorang. 

Majlis pembahagian e-book berkenaan telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi, Roslee Daud merangkap ADUN Bukit Besi.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Dungun, Bakar Jusoh.

 "Bagi murid tahun empat pada tahun ini, mereka juga akan menerima e-book untuk setiap seorang kerana setiap murid di tahun empat layak menerimanya, tetapi tarikhnya masih belum diketahui," katanya.

 

No comments: