Halaman

13 February 2014

2379 murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus terima e-Book

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 2379 murid Tahun Lima di 27 sekolah rendah Parlimen Kuala Nerus menerima e-Book (komputer riba) yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, hari ini.

“Ke arah usaha mewujudkan Terengganu sebagai Negeri Anjung Ilmu, kerajaan negeri dari semasa ke semasa melakukan penambahbaikan terhadap program e-Book yang diperkenalkan sejak 2009.

“Selain isi kandungan dan perisiannya yang semakin meluas, program teks digital yang bersifat interaktif juga diperkenalkan Kementerian Pendidikan bagi lebih menarik minat pelajar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan e.Book Murid Tahun Lima Parlimen Kuala Nerus di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.

Dato’ Ahmad Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, beliau yakin dengan apa yang dibuat kerajaan negeri ini akan mengubah lanskap pendidikan di Terengganu.

“Walaupun ada segelintir pihak yang tidak puas hati dan sering melemparkan persepsi negatif terhadap apa yang dilaksanakan kerajaan negeri, saya percaya apa yang kita laksanakan ini akan berjaya pada masa akan datang sekali gus memberi lonjakan hebat terhadap penggunaan teknologi maklumat di kalangan anak-anak Terengganu,” katanya.

Dato’ Ahmad Razif juga mengharapkan rakyat Terengganu berfikir secara terbuka dan sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam memartabatkan bidang pendidikan demi kecemerlangan anak-anak Terengganu.