Halaman

14 February 2014

‘ANAK POK ID ‘TURUN PADANG DI KAMPUNG SENDIRI-ORANG KAMPUNG TELUK KALONG BERSYUKUR ANAK KELAHIRAN KAMPUNGNYA MENJADI PEMIMPIN UTAMA NEGERI TERENGGANU


video

 Seorang yang sentiasa menjiwai rakyat, prihatin kepada masyarakat terutama yang memerlukan bantuan, yang derita dibantu, yang menghadapi kesukaran dicari jalan penyelesaian, semangat tolong menolong, pemimpin dan rakyat- bagai aur dengan tebing- demikian Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri To’ Puan Hajah Norliza Mahmud.


Hari ini Dato’ Seri Haji Ahmad bersama isteri meneruskan tradisi turun padang ziarah pesakit dan warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, khususnya di kampong asal Menteri Besar Terengganu itu yang sudah pasti amat bermakna dan penuh nostalgia.

Bersama turut serta ialah Prof Dr Selvaraj Y Subramaniam yang membantu membuat rawatan kepada pesakit yang dilawati.



Beliau memulakan kunjungan ke rumah warga yang paling tua, iaitu Omar bin Mohamad berusia 95 tahun di Kampung Telok Kalong.

Menteri Besar kelihatan amat gembira dan penuh nostalgik kerana orang tua itu dikenalinya sejak lama dulu iaitu kampong asal beliau.

Beliau juga kemudiannya melawat dua beradik yang menghidap penyakit saraf juga di Teluk Kalong, Kemaman.

Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Seri melawat Mohd Masudi Razali, 29, yang menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu dan adiknya Mohd Ashamudin Razali, 26, yang menghidapnya dua tahun lepas yang membuatkan mereka tidak dapat berjalan dan berdiri ekoran otot yang lemah dan tidak berfungsi dengan baik.

 "Mereka yang menerima rawatan hari ini akan diberikan rawatan susulan oleh doktor jika perlu dan semua kos akan ditanggung oleh saya secara peribadi.

"Ada sesetengah pesakit yang perlukan kerusi roda, kita bagi kerusi roda hari ini dan ada yang kita berikan ubat-ubatan dan ini akan dijadikan lawatan rutin saya.

"Insya-Allah lepas ini saya akan ke Bukit Kuang pula untuk melawat penduduk yang mengalami masalah kesihatan," katanya.

Kedua-dua adik-beradik tersebut melahirkan rasa terharu dengan kunjungan MB dan isteri. "Saya bersyukur sangat hari ni menteri besar sudi datang ke rumah saya dan memberi bantuan stok makanan kering dan membawa doktor untuk periksa kami.

Kami harap sangat supaya dapat kembali sihat dan berjalan seperti biasa supaya dapat kembali bekerja," kata Mohd Masudi.Adek Jusof, 54, turut terkejut dengan kunjungan Dato’ Seri Ahmad ke atas keluarganya buat kali kedua.

"Tahun lepas beliau datang ke rumah saya untuk menyampaikan sumbangan bantuan kerusi roda dan lampin pakai buang untuk anak saya yang tergolong dalam kalangan kanak-kanak spastik.

"Tapi tahun ini, beliau datang untuk memberi sumbangan dan melawat ibu saya, Zaharah Selamah Abu Bakar, 66, yang menghidap penyakit paru-paru berair.

Syukur dan saya sangat berterima kasih pada Menteri Besar yang sangat prihatin ini," katanya dengan penuh gembira berbaur terharu kerana pemimpin nombor satu negeri itu adalah anak kampungnya.

Sebanyak Sembilan buah rumah sempat dilawati Menteri Besar dan isteri pada hari ini 14 Februari dan ia merupakan hari yang amat bermakna bagi keluarga yang mendapat perhatian Dato’ Seri Ahmad yang merupakan pemimpin utama Terengganu yang berasal dari kampong mereka.

Dalam hati mereka yang mengenali Menteri Besar sedari kecil lagi, apatah lagi Dato’ Seri Ahmad adalah anak “Pok Id” yang amat rapat dengan penduduk di situ.



No comments: