Halaman

27 February 2014

Cadang inap desa dijadikan pilihan penginapan

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Homestay Terengganu mencadangkan badan kerajaan, swasta dan orang perseorangan agar menjadikan inap desa di negeri ini sebagai destinasi pilihan untuk dijadikan tempat penginapan apabila mengunjungi Terengganu.

Pengerusinya Md Azmi Abd Aziz berkata, saranan itu adalah untuk lebih memperkenalkan inap desa di Terengganu selain mengeratkan hubungan masyarakat dengan orang luar.

"Kalau badan kerajaan, swasta dan orang perseorangan menjadikan homestay sebagai tempat penginapan semasa mereka ke Terengganu sama ada atas urusan kerja seperti mesyuarat atau untuk bercuti, sekurang-kurangnya mereka dapat mengenali dan mendalami hidup masyarakat kampung kerana konsep homestay adalah tinggal bersama dengan keluarga tuan rumah pengusaha homestay tersebut.

 "Mereka juga berpeluang untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung dan kebudayaan atau paling tidak pun, mereka akan mendapat keluarga angkat yang baharu di negeri ini," katanya.

Menurutnya sehingga kini, Terengganu mempunyai lapan perkampungan homestay berdaftar dengan Kementerian Pelancongan yang membabitkan 153 buah rumah.

Antara kampung menyediakan perkhidmatan homestay ialah Homestay Teluk Ketapang (44 buah rumah) dan Homestay Pulau Duyung (7 buah) di Kuala Terengganu, di Dungun ia melibatkan Homestay Pasir Raja (30 buah) serta Homestay Kampung Jerangau (10 buah), di Setiu Homestay Kampung Rhu Sepuluh (17 buah) serta Homestay Felda Selasih (18 buah), Homestay Kampung Buluh, Hulu Terengganu (11 buah) serta Homestay Felda Keruak (10 buah) di Besut.

Md Azmi berkata, setiap homestay mempunyai keistimewaan masing-masing dimana pengunjung berpeluang menikmati keindahan semula jadi serta merasai suasana kehidupan masyarakat kampung serta mempelajari kebudayaan dan tradisi masyarakat setempat.

 "Di Dungun, kita ada Homestay Pasir Raja, yang mempunyai suasana kampung yang harmoni, ada sungai dan pengunjung boleh merasai pengalaman sebegini yang tak mungkin ada di mana-mana negeri. Kalau mereka nak menikmati keindahan pantai, mereka boleh ke Homestay Rhu Sepuluh di Setiu ataupun Homestay Teluk Ketapang di Kuala Terengganu.

 "Setiap homestay menyediakan kemudahan yang lengkap dengan tandas, dapur, bilik tidur serta ruang makan yang selesa. Malah pengunjung juga boleh menikmati suasana hidup dalam satu keluarga dengan keluarga pengusaha dan masyarakat setempat," katanya.

Menurutnya, pengunjung juga tidak perlu risau untuk menjadikan homestay di Terengganu sebagai penginapan kerana pengusaha homestay juga sudah terlatih dan diberikan kursus-kursus asas mengenai cara pengurusan dan mereka juga turut menyertai kelas bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan pelancong luar negara.

Katanya bagi tahun ini umpamanya, sekurang-kurangnya pihaknya menyasarkan satu perkampungan homestay dapat menarik 100 pengunjung luar negara dan 700 pengunjung dalam negara bagi satu kampung dan mereka juga sedang giat mempromosikan homestay yang ada bagi tujuan ini.

 "Sekarang banyak pengusaha yang menyediakan kemudahan rumah sewa atau penginapan menggunakan istilah inap desa atau homestay dan ini menimbulkan kekeliruan kepada pelancong dan berharap selepas ini tidak ada kekeliruan yang timbul.

 "Saya harap pengunjung perlu tahu konsep homestay di Terengganu adalah tinggal bersama keluarga pengusaha dan ianya menjanjikan pengalaman yang baharu kepada pengunjung dan bukannya berkonsepkan rumah rehat," katanya.

 

No comments: