Halaman

11 February 2014

Demi maruah dan harga diri : MB

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mempertahankan tindakan melafaz sumpah dengan al-Quran sebagai menegakkan kebenaran, membersihkan nama, menjaga maruah dan harga diri rakyat Terengganu serta individu yang terlibat.

“Tindakan kita bukan untuk mempermainkan kitab suci al-Quran yang menjadi sumber rujukan umat Islam, apabila timbul pertikaian yang melibatkan maruah, harga diri rakyat Terengganu dan harga diri pihak tertentu, maka kita tiada pilhan. Kerana dalam dunia hari ini masing-masing hendak mengaku mereka tidak bersalah dan mereka tidak buat.


“Sebab itu saya lebih teruja untuk menyaksikan acara ini dilaksanakan kerana pada peringkat awal saya tidak menjangkakannya akan dibuat. Tetapi apabila saya tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku, apabila JDT (Johor Darul Takzim) membuat laporan polis mengatakan kejadian ini tidak benar, termasuk pengakuan yang dibuat oleh pemain T-Team sendiri, Irfan Abd Ghani yang berasal dari Johor mengatakan ini tidak berlaku, jadi saya tercabar, seolah-olah anak buah saya, mungkin pemain T-Team ini sudah menipu dan membohongi saya serta rakyat Terengganu.

“Jadi untuk membuktikan kebenaran perkara ini dan mereka tidak berbohong, apatah lagi bercakap menerusi televisyen ke seluruh negara, seolah-olah kita menipu orang. Jadi jalan terbaik, kita mengadakan sumpah pada malam ini, bagi membuktikannya,” kata beliau kepada pemberita di Majlis Perjumpaan YAB Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemain Bola Sepak Liga Super Terengganu, di Hotel Tabung Haji, Kuala Terengganu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat; Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif T-Team, Encik Ab Rashid Jusoh.

Menteri Besar juga terharu dengan keberanian dan ketegasan penolong jurulatih, Azlan Johar dan pemain T-Team, Khairan Ezuan Razali selaku saksi kejadian yang sanggup bersumpah walaupun menyedari risiko sekiranya berbohong.

Dalam pada itu, Dato’ Seri Haji Ahmad juga sudah mendapatkan pandangan dan merujuk pakar agama mengenai tindakan bersumpah, malah menyedari natijah yang boleh terjadi sekiranya mempermainkan al-Quran.

“Kita nak berbohong jangan main-main, kita berbohong dengan manusia boleh, menipu manusia boleh, tetapi jangan kita menipu tuhan dengan bersaksikan al-Quran. Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui, sebab itulah mahu membuktikan jika mereka tidak nampak jangan bersumpah. Jika tidak saya panggil satu pasukan bersumpah.

"Sebab tadi saya kata yang nampak sahaja kita minta bersumpah..jangan main-main, ini bukan perkara kecil sebab apabila orang mengatakan kita berbohong, pihak JDT juga membuat laporan polis, kenapa kita harus berbohong? Orang ramai saksi, mungkin termasuk anggota keselamatan. Kita bercakap tentang hak,” katanya.

Tambah beliau, terpulang kepada JDT untuk bersumpah atau tidak, tetapi yang lebih penting T-Team sudah melafaz sumpah bagi membuktikan insiden itu benar-benar berlaku.

Bagaimanapun, pemain sensasi T-Team,  Irfan Abd Ghani tidak muncul di majlis itu. Dia yang bertindak menafikan insiden itu menerusi sidang media dan laporan polis di Johor Bahru, sebelum itu dikatakan gagal dijejaki pihak media di negeri itu.

Tindakan Irfan itu juga mendorong Menteri Besar mengarahkan pemain T-Team melakukan lafaz sumpah dengan al-Quran bagi membuktikan kejadian `Terowong Larkin’ itu.

Pada 1 Februari lalu, perlawanan antara T-Team dengan JDT dalam babak kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Dato’ Hassan Yunos, Larkin terpaksa ditangguhkan ketika JDT mendahului 2-1.

T-Team menarik diri daripada meneruskan perlawanan itu pada babak kedua untuk langkah keselamatan apabila Rodrigues dipukul pengurusan tertinggi JDT, sementara jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo turut dikasari dalam terowong menuju ke bilik persalinan.